[VIDEO] LTK rupanya watak penting tarik Hadi Fayyadh ke Perak


  • Podium
  • Isnin, 11 Nov 2024

Beraksi sepanjang bersama Perak FC sebelum berhijrah ke PDRM FC, Hadi Fayyadh belum mencetak sebarang jaringan.

KEPULANGAN Hadi Fayyadh Abdul Razak dari Jepun untuk menyertai pasukan Perak FC pada musim 2023 adalah satu berita mengejutkan ramai pihak kerana tiada sebarang khabar angin untuk dirinya pulang ke Malaysia.

Hadi Fayyadh yang kini beraksi bersama PDRM FC musim ini pernah bermain di Liga Jepun selama tiga musim sejak 2019 sebelum pulang ke tanah air menyertai skuad kendalian Datuk Lim Teong Kim ketika itu.

Menurut bekas penyerang skuad Harimau Muda itu, Teong Kim antara individu penting yang memujuknya untuk beraksi bersama Perak FC bagi musim 2023.

BACA LAGI: Mungkin ucap selamat tinggal, tonggak Sang Badak tinggal selangkah ke Selangor FC

BACA LAGI: Fans Perak anggap kalah sudah dalam tangan, 'ekor' JDT ingatkan jangan bagi alasan bila kecundang

Penyerang The Cops itu mendedahkan perkara tersebut dalam satu hantaran video yang dikongsikan oleh Koppa TV di laman Instagram.

"Datuk Lim Teong Kim ada menghubungi saya ketika beliau berada di Jerman, dia mesej saya, Hadi, saya nak pergi Malaysia dan saya mahu kamu berada dalam pasukan saya," jelasnya.

Menurut Hadi, dia pada mulanya terkejut dengan tawaran tersebut namun berasakan ia merupakan peluang keemasan yang perlu diterima.

"Pada mulanya, saya agak terkejut, namun saya ingin berterima kasih kepadanya kerana memberi saya peluang untuk bermain bersamanya.

"Saya rasa ia satu penghormatan untuk beraksi di bawah bimbingannya. Kesungguhan beliau untuk membawa saya kembali ke Malaysia membuatkan saya semakin terfikir tentang peluang ini," ujarnya.

Hadi berkata, kesungguhan Teong Kim memujuknya boleh dikatakan hampir setiap hari bekas jurulatih Perak itu bertanyakan keputusannya.

"Saya lihat, hampir setiap hari beliau akan bertanya, Hadi, bila kamu balik Malaysia? Jom main bersama saya, kita bangunkan semula pasukan ini.

"Visi dan rancangan sudah ada, saya nampak kesungguhan beliau dan berfikir, ini mungkin peluang yang baik untuk saya. Kenapa tidak? Kalau saya tidak buat keputusan ini, saya mungkin akan menyesal pada masa depan. Jadi, saya ambil keputusan untuk kembali," katanya.

WhatsApp Image 2024-11-11 at 20.02.05

Hadi Fayyadh kini menabur bakti bersama skuad Sang Saka Biru.

Namun, langit tidak selalu cerah apabila Teong Kim dipecat oleh pihak pengurusan Perak FC.

"Selepas saya memutuskan untuk kembali tidak disangka beliau tidak lagi bersama Perak. Kadang-kadang, perkara tidak berjalan seperti yang kita harapkan, dan kita perlu menerima hakikat itu.

"Mungkin bukan tahun ini, mungkin bukan tahun depan. Tetapi selama mana kita mengekalkan disiplin, mempunyai pemikiran yang betul, dan terus berusaha keras, saya percaya rezeki itu sudah ditentukan.

"Tetapi yang pasti, selama kita berusaha, suatu hari nanti ALLAH akan memberi ganjarannya," kongsinya.

Bagaimanapun, sepanjang beraksi bersama skuad The Bos Gaurus, Hadi tidak pernah mencetak sebarang jaringan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram