Tetap doakan yang terbaik, KDA FC 'tutup pintu' rundingan bersama Mahsuri Medical Centre, enggan jual 100 peratus saham


  • Podium
  • Isnin, 11 Nov 2024

Perkara itu diumumkan menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan kelab di laman media sosial rasmi mereka. — Facebook/KDA FC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC mengambil keputusan menolak usaha Mahsuri Medical Centre yang difahamkan berminat meraih 100 peratus saham kelab itu menerusi kenyataan di laman media sosial mereka pada Isnin.

"Pihak KDA FC mengantar surat kepada Mahsuri Medical Centre pada hari ini (11 November) untuk memaklumkan bahawa pihak KDA FC memutuskan untuk tidak meneruskan perbincangan tentang penjualan 100 peratus saham KDA FC.

"Pihak KDA FC mendoakan yang terbaik kepada Mahsuri Medical Centre dalam pembangunan perniagaan di masa hadapan," tulisnya pada Isnin.

BACA LAGI: Ambil alih 100 peratus, Kedah ada masa 7 hari terima tawaran anak syarikat DSAT

BACA LAGI: Kedah sedia terima 'pinangan' DSAT siap pakej logo baharu, rupanya sudah dirisik sekian lama

WhatsApp Image 2024-11-11 at 3.10.56 PM

Kedah mengambil keputusan menolak usaha Mahsuri Medical Centre. — Facebook/KDA FC

Mahsuri Medical Centre yang merupakan anak syarikat kepada DSAT Group sebelum ini mengumumkan pihaknya berminat untuk menjadi pemegang saham Kedah berikutan isu kewangan kronik dialami mereka.

Syarikat dimiliki Datuk Seri Azizul Tandek itu difahamkan pernah bertemu pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar mengenai hasratnya yang mahu menjadi pemegang saham kelab.

Bagaimanapun, usaha itu ditolak berikutan desakan penyokong yang kurang yakin dengan kredibiliti usahawan kelahiran Tawau, Sabah tersebut yang dianggap masih 'hijau' dalam pengurusan kelab bola sepak.

Penolakan berkenaan kemudian mencetuskan perdebatan hangat di media sosial apabila Azizul beberapa kali memuat naik hantaran berbaur sindiran terhadap Daud Bakar.

Tindakan itu hanya mengeruhkan keadaan sehingga menyebabkan penyokong sebulat suara menolak kehadiran DSAT Group selain berhasrat untuk terus memberi sokongan kepada pihak atasan KDA FC ketika ini.

Namun, pengurusan kelab tidak boleh berasa selesa mengenainya kerana tunggakan gaji pemain dan staf pasukan perlu diselesaikan bagi menambah baik prestasi skuad Sang Kenari di atas padang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram