Kontrak DOKS tidak disambung, bola sepak Sabah akan terkubur?


  • Podium
  • Selasa, 05 Nov 2024

Kontrak Kim Swee akan tamat pada 30 November ini selepas bersama pasukan itu sejak 2021. — Facebook/SabahFC

SABAH FC kini sedang berada dalam fasa terbaik mereka apabila melakar empat kemenangan berturut-turut Liga Super dan berhasil memanjat naik ke kedudukan ketiga dengan memungut 26 mata.

Kemenangan itu bermula dengan menewaskan Perak FC 4-2 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak pada 19 Oktober lepas dan Penang FC 4-0 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, 25 Oktober.

Kejayaan mendapatkan tiga mata diteruskan dengan menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 5-2 di Stadium Likas di sini pada Selasa lepas dan kemenangan 4-1 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada Ahad.

BACA LAGI: Muncul ketika kecemasan, 3 kuda tua buktikan umur bukan penghalang jadi nadi pasukan

BACA LAGI: Terlalu awal fikir kedudukan liga, saya lebih risau jumlah gol bolos Sabah — Kim Swee

Dua kemenangan sebagai pasukan pelawat dan dua di laman sendiri itu membuatkan majoriti penyokong memberi kredit kepada pengendali pasukan iaitu Datuk Ong Kim Swee kerana taktikal digunakannya berhasil memberi 12 mata buat Sabah.

Bagaimanapun, prestasi konsisten yang diberikan Kim Swee tidak memberi jaminan kepada masa depannya selaku ketua jurulatih apabila didakwa pihak pengurusan Sabah membuat keputusan tidak menyambung kontraknya.

"Esok (Selasa) mereka (pihak pengurusan) meeting. Kalau tiada perancangan, DOKS (Datuk Ong Kim Swee) tidak disambung sampai 2026. Rasanya terkuburlah bola sepak Sabah ini," memetik sumber Majoriti.

Difahamkan, Kim Swee kini masih menunggu keputusan pengurusan Sabah FC berhubung statusnya kerana kontrak pengendali berusia 53 tahun itu akan tamat pada 30 November ini selepas bersama pasukan itu sejak 2021.

Dalam pada itu, Kim Swee menyatakan hasratnya untuk kekal bersama Sabah FC sebagai pilihan utama untuk meneruskan tugasnya sebagai pengendali skuad itu pada musim akan datang.

Bagaimanapun, beliau hanya mampu merancang dan selebihnya akan menghormati apa saja keputusan yang akan dibuat oleh pengurusan Sabah FC sama ada untuk mengekalkannya atau sebaliknya.

"Saya sudah dimaklumkan oleh Pengurus Sabah FC Rafie Robert bahawa pengurusan akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan hala tuju pihak pengurusan.

"Bagi saya, saya sudah katakan dari awal bahawa Sabah FC adalah pilihan utama dan saya harus menghormati apa juga keputusan sama ada saya kekal atau tidak.

"Saya percaya ini akan memberi banyak spekulasi dan bagi saya tugas saya hanya akan berakhir buat masa ini, pada penghujung November," katanya memetik laporan Bernama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram