'Bincanglah secara bersemuka, tidak perlu 'perang' di media sosial'


  • Podium
  • Selasa, 05 Nov 2024

Daud Bakar (kiri) dan Azizul Tandek dinasihati melakukan perbincangan lanjut demi masa depan skuad Sang Kenari. — Facebook/Dato' Seri Azizul Tandek

DRAMA di sebalik proses pengambilalihan Kedah Darul Aman (KDA) FC semakin rancak beberapa hari kebelakangan ini kerana pihak pengurusan ketika ini seperti enggan melepaskan pegangan saham mereka.

Ini selepas pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar seakan-akan hilang kepercayaan kepada Pengerusi Eksekutif DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek yang dikhabarkan berminat untuk mengambil alih pasukan terbabit.

Dalam kenyataan dikeluarkan, pemilik skuad Sang Kenari itu memberi pandangan bahawa meletakkan kepercayaan kepada pihak luar kurang membawa kesan positif dengan luahan berkenaan tidaklah diarahkan kepada mana-mana individu.

BACA LAGI: Ambil alih 100 peratus, Kedah ada masa 7 hari terima tawaran anak syarikat DSAT

BACA LAGI: Kedah sedia terima 'pinangan' DSAT siap pakej logo baharu, rupanya sudah dirisik sekian lama

464972779_589321296782385_2509620860043016485_n

Skuad Sang Kenari dilaporkan masih diselubungi isu kewangan yang serius. Facebook/KDA FC

Namun, Azizul yang merupakan usahawan kelahiran Tawau, Sabah seakan-akan terasa dengan perkara itu sehingga melabel Daud Bakar tidak ubah sepertinya yang dilabel penipu atau 'scammer' oleh pelbagai pihak.

Perbalahan di media sosial itu sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi daripada penyokong yang sebaliknya hanya mengharapkan sesuatu yang terbaik buat KDA FC.

Antara yang memberi pandangan ialah wakil kumpulan peminat Jiwa Legasi Kedah (JLK), Mohd Anuar Shamsudin yang menyatakan kedua-dua pihak itu perlu mengadakan perbincangan secara bersemuka.

"Pada saya, sepatutnya dia (Azizul) bertemu dengan Tan Sri (Daud Bakar) dan tidak perlu menyatakannya terbuka di media sosial. Kami sebagai penyokong akan terus menyokong apa yang terbaik buat pasukan," katanya kepada Majoriti.

Anuar serta kumpulan penyokong itu sememangnya tidak pernah mengalah daripada memberi sorakan buat skuad Sang Kenari meskipun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan bagi perjalanan ke Sabah mahupun Sarawak.

2950443

JLK merupakan kumpulan penyokong yang sanggup mengeluarkan duit sendiri demi sokongan buat pasukan.

Sokongan itu bagaimanapun perlu dihargai pihak pengurusan KDA FC yang sepatutnya menjaga kebajikan pemain bagi memastikan mereka dapat beraksi di tahap terbaik.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pandangan bahawa Azizul terpalit dengan isu penipuan, Anuar enggan memberi komen lebih lanjut kerana tidak tahu situasi sebenar mana-mana pihak.

"Kita sebagai penyokong pun tidak mahu berkata secara berlebihan kerana kita sendiri tidak tahu. Jadi, saya hanya harapkan yang terbaik buat Kedah," katanya lagi.

Sebelum ini, pihak DSAT Group menerusi anak syarikatnya, Mahsuri Medical Centre memberikan tempoh tujuh hari kepada pihak pengurusan KDA FC bagi memberi respons mengenai tawaran diberikan.

Waktu yang hanya akan berakhir pada Sabtu itu sudah tentu dinanti-nantikan kerana situasi skuad Sang Kenari ketika ini ibarat telur di hujung tanduk selepas gaji tertunggak untuk beberapa bulan lamanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram