KEDAH Darul Aman FC sebenarnya sudah lama dirisik oleh DSAT Group Sdn Bhd yang diketuai oleh Datuk Seri Azizul Tandek.
Dalam pendedahan Azizul pada Khamis, dia mengatakan yang pihaknya sudah lama menerima cuba untuk mendapatkan pemilikan kelab itu dengan turut menawarkan tawaran menukar logo Sang Kenari yang sedia ada.
Menurut Azizul, sebelum ini pihaknya ditawarkan untuk memperoleh 49 peratus pegangan Kedah oleh pemilik semasa, Tan Sri Dr Daud Bakar.
BACA LAGI: Harapan palsu atau tidak, kepak Kenari pesan DSAT urus Kedah elok-elok jika dapat ambil alih
BACA LAGI: DSAT Group perlu lebih 'berani', sedia ikut syarat jika mahu miliki Kedah
Menurut perkongsian di laman Facebooknya, Azizul mengatakan yang pihaknya sudah ditawarkan untuk memperoleh pegangan di Kedah sejak 2023 lagi.
Namun begitu, pegangan tersebut tidak menjadikannya pemilik majoriti kelab dan kini dia dan DSAT Group bersedia untuk memiliki kawalan sepenuhnya terhadap Sang Kenari.
"Tahun lalu, DSAT Group ditawarkan 49 peratus, tahun ini Insya-ALLAH DSAT Group menawarkan ambil alih 100 peratus.
"Demi bola sepak kita, semoga ALLAH mengizinkan," ujar Azizul.
Surat tawaran pengambil alihan Kedah yang diterima DSAT Group pada 2023.
Dalam masa yang sama, Kedah dalam satu kenyataan menyambut baik usaha murni DSAT Group untuk mengambil alih kelab daripada pemilikan Daud.
Menanggap tindakan DSAT Group sebagai berani, Kedah menjemput entiti itu dan pihak lain yang berminat untuk menghantar surat tunjuk minat terhadap pemilik kelab.
Jemputan itu disambut baik oleh DSAT Group dengan mereka akan menghantar surat itu selewat-lewatnya pada Ahad.
"Kami DSAT Group melalui anak syarikatnya Mahsuri Medical Centre, akan mengutuskan surat minat atau surat tawaran rasmi pengambilalihan keseluruhan saham kepada pihak Tan Sri Daud selaku pemilik majoriti KDA FC selewat-lewatnya pada Ahad ini.
"Dengan kenyataan media dari pemilik majoriti KDA FC ini, ia dilihat memberi harapan kepada kami untuk memiliki KDA FC dan sekali gus dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh pihak Tan Sri.
Azizul turut berkata yang DSAT Group tidak memperoleh apa-apa keuntungan daripada menjadi pemilik Kedah. Sebaliknya, mereka berasa terpanggil untuk meringankan beban ditanggung Daud ketika ini.
Mereka berharap yang Daud akan menerima apa saja tawaran yang diberikan oleh DSAT Group.
"Semua maklum bahawa sekiranya DSAT GROUP mengambil alih KDA FC ini, ia juga tidak mempunyai apa-apa keuntungan yang boleh diperolehi oleh pihak kami, ia cuma hanya ingin membantu pihak Tan Sri selaku pemilik dan penyokong setia KDA FC.
"Di saat tidak ada pihak yang mampu untuk mempertahankan KDA FC di saat menghadapi situasi seperti ini termasuklah daripada pihak kerajaan negeri Kedah.
"Mengambil kira situasi ini, pihak kami mengharapkan agar pihak Tan Sri dapat menerima apa jua tawaran dari pihak kami san sekali gus dapat bersama-sama merealisasikan hasrat untuk melihat KDA FC terus bersinar," kata Azizul. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram