PENGERUSI Eksekutif DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek seperti sudah berputus asa untuk mengambil alih Kedah Darul Aman (KDA) FC dan kini mula mengalih perhatian terhadap Sabah FC.
Ini selepas usahawan kelahiran Tawau, Sabah itu mengeluarkan kenyataan berbaur sinis yang mengatakan skuad Sang Kenari boleh berdiri sendiri meskipun kini mengalami isu kewangan serius.
"KDA FC masih membisu, hutang RM43 juta bermakna kelab boleh buat duit, cuma masalahnya duit bocor keluar. Bukan pergi ke kelab, tetapi lari ke tempat lain. Terima kasih Sabah FC, keluarkan lah surat tawaran tu segera," tulisnya.
BACA LAGI: Ambil alih 100 peratus, Kedah ada masa 7 hari terima tawaran anak syarikat DSAT
BACA LAGI: Kedah sedia terima 'pinangan' DSAT siap pakej logo baharu, rupanya sudah dirisik sekian lama
Azizul (kiri) difahamkan sudah bertemu Daud Bakar sebanyak beberapa kali sebelum ini.
Sebelum ini, Azizul sudah beberapa kali menyatakan hasrat untuk memperolehi saham majoriti kelab Utara tanah air itu apabila sudah bertemu figura penting di sebalik kelab berkenaan.
Bagaimanapun, hasrat itu seperti tidak kesampaian kerana pemiliknya, Tan Sri Daud Bakar seperti sudah menolak tawaran berkenaan meskipun menerima desakan daripada penyokong.
Kesukaran berkenaan menyaksikan pemilik DSAT Group itu kemudiannya memilih untuk mengalih tumpuan ke arah skuad Sang Badak yang merupakan kelab di negeri kelahirannya.
Namun, hasratnya untuk menjadi pemilik skuad Sang Badak juga seakan-akan tidak kesampaian selepas kelab itu mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak akan dijual ke mana-mana pihak.
Dalam satu hantaran di laman media sosial Sabah FC, mereka menegaskan pasukan berkenaan bukan untuk dijual selain menjelaskan tiada pihak yang sudah menemui mereka.
"SAFA (Persatuan Bola Sepak Sabah) tidak pernah berunding dengan pihak yang mendakwa menerima tawaran penjualan saham Sabah FC. Presiden SAFA tidak pernah bertemu individu atau mana-mana wakil bagi pihak yang mendakwa mendapat tawaran penjualan saham Sabah FC.
"Kenyataan ini dikeluarkan untuk menjelaskan pendirian SAFA dan Sabah FC bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau salah faham berkaitan isu ini," tulisnya.
Hantaran itu sudah tentu menjadi satu bentuk tamparan kepada Azizul serta DSAT Group sendiri yang sebelum ini cukup bersemangat untuk menceburi bidang bola sepak.
Mereka bagaimanapun masih boleh mengadakan pertemuan rasmi dengan kelab berkenaan sekiranya serius atas hasrat tersebut dalam misi Sabah FC menjadi pasukan stabil dalam Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram