PROSES pengambilalihan saham Kedah Darul Aman (KDA) FC semakin rancak apabila Mahsuri Medical Centre yang merupakan anak syarikat kepada DSAT Group memberi sokongan penuh kepada Pengerusi Eksekutif mereka, Datuk Seri Azizul Tandek.
Dalam satu surat yang diterbitkan pada Ahad, syarikat berkenaan memberi tempoh tujuh hari kepada pihak pengurusan kelab supaya memberi maklum balas segera mengenai hasrat konglomerat kelahiran Tawau, Sabah itu.
Mereka turut menjelaskan pertemuan sudah diadakan antara Azizul Tandek dengan Exco Belia dan Sukan Kedah, Radhi Mat Din pada 24 Oktober lalu bagi meluahkan hasrat tersebut.
BACA LAGI: Follower naik mendadak, fans Kedah korek habis maklumat bakal pemilik baharu, takut kena scam
Surat daripada Mahsuri Medical Centre yang mula tular di media sosial.
"Kami dengan sukacitanya bersetuju untuk menerima tawaran yang dibuat pemegang saham KDA FC, Radhi Mat Din untuk pengambilalihan 100 peratus saham KDA FC serta liabilitinya, tertakluk dengan terma dan syarat perjanjian.
"Pihak kami, Mahsuri Medical Centre yang merupakan anak syarikat DSAT Group Sdn Bhd mendapat arahan daripada Azizul Tandek sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan bagi menyatakan minat pengambilalihan saham KDA FC," tulisnya.
Surat yang kini bertebaran di media sosial itu ditulis Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mahsuri Medical Centre, Dr Zaki Zamani Abd Rashid kepada CEO Kedah, Mohamad Faidhi Rohdzi.
Sebelum ini, Azizul yang mewakili syarikatnya meluahkan hasrat meraih saham majoriti kelab, namun tawaran dibuatnya seakan-akan ditolak pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar.
Hal itu mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan penyokong yang mempersoalkan tindakan usahawan tempatan berkenaan kerana enggan berbuat demikian meskipun situasi kelab tidak mengizinkan beberapa bulan kebelakangan ini.
Desakan tersebut pasti sedikit sebanyak mengubah pendirian Daud Bakar, lebih-lebih lagi apabila DSAT Group menerusi Mahsuri Medical Centre memberi tarikh akhir bagi menerima tawaran berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram