PERTEMBUNGAN cukup mendebarkan disaksikan dalam kempen Piala MFL baru-baru ini apabila dua pasukan teratas, Selangor FC II dan Johor Darul Takzim (JDT) II di Stadium UiTM, Shah Alam, Selangor.
Skuad muda Harimau Selatan hadir ke perlawanan dengan kelebihan apabila berada di kemuncak selepas mengumpul 21 mata daripada 10 perlawanan diharungi sementara lawannya di tangga kedua.
Tetapi, Selangor FC II yang berada di hadapan terlebih dahulu selepas Aliff Izwan Yuslan menggegarkan gawang pada minit ke-10 untuk memberi tekanan buat pasukan Selatan tanah air berkenaan.
BACA LAGI: Pentas final Piala MFL medan Nistelrooy, Nazul, jelmaan Roberto Baggio naik pangkat ke Liga Super
BACA LAGI: Nistelrooy antara 3 prospek muda JDT, tunggu masa untuk meletup musim depan
Namun, keceriaan skuad muda Gergasi Merah tidak berkekalan kerana pada babak kedua, JDT II bangkit menerusi gol Gabriel Nistelrooy serta Danish Syamer Tajudin.
Kedudukan 2-1 berpihak kepada pasukan pelawat kekal sehingga wisel penamat ditiupkan, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan mereka di puncak carta Piala MFL dengan kelebihan empat mata dimiliki berbanding pencabar terdekat.
Berpuas hati dengan kemenangan itu, penyerang Harimau Selatan, Gabriel Nistelrooy meluahkan rasa bangga dengan bantuan rakan sepasukan atas sumbangannya sepanjang kempen musim ini.
"Pertama kali, saya ingin berterima kasih kepada rakan-rakan kerana tidak berputus asa sehingga ke minit akhir untuk kita memperolehi kemenangan menentang Selangor.
"Mereka bukanlah mudah untuk dilawan, tetapi beraksi demi lambang JDT yang berada di kedudukan nombor satu dalam hati semua pemain," katanya kepada MFL.
Skuad muda Harimau Selatan berada dalam prestasi cemerlang musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Ketika ini, penyerang kelahiran Sarawak itu sudah menjaringkan 11 gol untuk membolehkannya berada di kedudukan teratas carta penjaring terbanyak Piala MFL musim ini.
Meskipun sumbangan tersebut dirasakan mencukupi untuknya dipanggil ke dalam skuad senior, Nistelrooy berpendapat masih terdapat kelemahan yang perlu diselesaikan.
"Bagi saya, dalam bilik persalinan, jurulatih mengingatkan tiada tekanan dan meminta kami keluar mencari gol kerana 40 minit berbaki bagi kami memburu jaringan.
"Satu jaringan terhasil tidak boleh mengatakan saya berpuas hati, tetapi saya rasa bersyukur kerana tanpa rakan-rakan saya, saya tidak akan dapat menjaringkan 11 gol dan ini juga berkat doa ibu bapa saya," katanya.
Selepas ini, skuad muda Harimau Selatan akan berdepan Penang FC II di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang dengan momentum cemerlang itu pasti mahu diteruskan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram