MUSIM 2022 boleh dikategorikan sebagai musim terbaik buat Johor Darul Takzim (JDT) yang membolot kesemua kejohanan dipertandingkan di peringkat domestik.
Dalam saingan Liga Super, skuad Harimau Selatan membuktikan cengkaman mereka apabila mengumpul 56 mata dalam 22 perlawanan, sekali gus meninggalkan pencabar terdekat, Terengganu FC dengan perbezaan 12 mata.
Lebih menarik lagi, pasukan tersebut tidak mencatatkan sebarang kekalahan dan hanya gagal untuk membawa pulang tiga mata penuh dalam lima perlawanan.
Selain itu, bagi membuktikan lagi kekuasaan mereka dalam Liga Malaysia, JDT turut menjulang Piala FA, Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia, lalu menempa nama kelab tersebut dalam sejarah bola sepak tempatan.
Oleh itu, semangat yang pastinya berkobar-kobar itu diharapkan dapat diteruskan untuk 2023 dengan memastikan pasukan lebih bersedia, baik dari segi fizikal mahupun mental.
Namun, sebelum ini, pemilik pasukan, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim dilaporkan berkata, skuad Harimau Selatan bakal dibarisi bakat-bakat baharu untuk musim akan datang.
Jelas Baginda, mereka tidak akan melakukan pelaburan secara besar-besaran dengan menganggap skuad tersebut sudah lengkap di samping mahu memberi peluang kepada graduan akademi mereka.
Arif Aiman (kiri) merupakan antara produk terbaik dihasilkan JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Hal itu dilihat bertepatan dengan agenda yang sebelum ini direncanakan apabila mereka kerap menurunkan pemain-pemain muda, termasuk penyerang berusia 20 tahun, Arif Aiman Hanapi.
Musim ini pula, barisan kejurulatihan turut memberi kepercayaan kepada beberapa lagi produk skuad simpanan, terutamanya pertahanan tengah, Feroz Baharuddin yang cukup cemerlang dalam posisinya.
Jadi, tidak hairanlah sekiranya pihak pengurusan memilih untuk membawa masuk wajah-wajah baharu ke dalam pasukan senior bagi merealisasikan sasaran TMJ itu.
Melihat kepada barisan pemain yang dimiliki JDT II musim lalu, terdapat lambakan 'ubi-ubi muda' yang berkualiti apabila mereka berjaya muncul sebagai juara Liga Perdana.
Bagaimanapun, terdapat tiga pemain yang dirasakan sesuai dengan taktikal pasukan ketika ini di samping dilihat bersedia dalam membuktikan kebolehan mereka pada tahap lebih tinggi.
1. Gabriel Nistelrooy Tamin
Ketika jendela perpindahan pertama musim lepas, nama penyerang berusia 22 tahun, Gabriel Nistelrooy Tamin mula meniti di bibir penyokong bola sepak tempatan.
Hal itu adalah kerana namanya seakan-akan sama dengan legenda bola sepak Belanda, Ruud van Nistelrooy meskipun kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang pertalian darah.
Namun, melihat kepada kehadiran bakat yang terpendam di sebalik Gabriel, pasti tidak timbul sebarang keraguan sekiranya dia bakal menjadi salah satu pemain terbaik pada masa akan datang.
Dalam saingan Liga Perdana, penyerang muda itu diturunkan sebanyak 16 kali, yang mana dia berjaya mencetak tiga gol peribadi sepanjang musim.
Tiga gol berjaya diperolehi Gabriel dalam Liga Perdana musim lalu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Walaupun statistik tersebut dilihat kurang meyakinkan, ia tidak menghalang ketua jurulatih, Mariano Echeverria untuk terus memberikannya minit-minit permainan.
Selain itu, pemain berasal dari Miri, Sarawak itu juga mempamerkan kematangan setiap kali beraksi, termasuk ketika menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Selangor FC II pada Mei lalu.
Jadi, dengan Liga Perdana tidak akan lagi dipertandingkan musim depan, Gabriel dilihat bakal dibawa masuk ke dalam skuad senior, apatah lagi apabila terdapat peningkatan dari jumlah aksi liga daripada 22 kepada 28.
Meskipun skuad Harimau Selatan mempunyai Bergson da Silva dan Syafiq Ahmad ketika ini, kemasukan graduan akademi JDT itu dilihat bakal memberi masa berharga dalam mengekalkan tahap kecergasan kedua-dua penyerang itu.
2. Daryl Sham
Selain Gabriel, JDT II turut memiliki seorang lagi prospek terbaik dalam jentera serangan mereka, iaitu Daryl Sham KK George yang memikul tanggungjawab berat dalam menyudahkan gerakan serangan pasukan.
Bagaimanapun, amanah yang diberikan barisan kejurulatihan dilihat berjaya dilaksanakan dengan baik apabila pemain berusia 20 tahun itu muncul sebagai penyerang terbaik Liga Perdana musim lalu.
Perkara itu dibuktikan selepas dia membawa pulang anugerah penjaring terbanyak bagi kategori pemain tempatan di samping penyerang Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani.
Musim lalu, anak jati Johor itu menjaringkan sembilan gol dalam 16 penampilan meskipun dia ada kalanya diturunkan sebagai pemain sayap bagi menggantikan ketiadaan pemain.
Daryl Sham merupakan prospek terbaik dimiliki JDT ketika ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Selain itu, prestasi tersebut turut memberikannya lebih banyak pendedahan dalam arena bola sepak tempatan apabila dia semakin kerap dipanggil untuk mewakili skuad remaja Harimau Malaya.
Oleh itu, dengan pencapaian dan statistik yang semakin membanggakan, Daryl dilihat bakal menjadi antara pemain muda dalam skuad utama JDT bagi kempen Liga Super akan datang.
Hal tersebut adalah kerana penyerang sayap, Safawi Rasid disahkan tidak akan bersama pasukan itu selepas dipinjamkan ke kelab Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC.
Jadi, dengan kemampuan Daryl semakin terbukti ketika ini, barisan kejurulatihan pastinya bercadang untuk memberikannya lebih banyak peluang bersama pasukan utama pada 2023.
Persoalannya, dengan JDT difahamkan bakal menyambar khidmat pemain baharu di posisi menyerang, terdapat juga persoalan daripada penyokong mengenai peluang untuknya diturunkan secara lebih kerap.
3. Adam Farhan
Selepas bertahun-tahun bersama skuad Harimau Selatan, kemampuan dan kelibat pertahanan kiri, Corbin Ong dalam skuad pasti sukar untuk dicari galang ganti.
Ketika ini, pemain berdarah kacukan England-Malaysia itu masih beraksi di tahap terbaik dengan dia berjaya mencetak enam bantuan gol dalam 22 penampilan Liga Super musim lalu.
Bagaimanapun, usianya yang ketika ini sudah mencecah 31 tahun pasti akan serba sedikit menjejaskan prestasinya di atas padang, lebih-lebih lagi dengan taktikal pasukan yang mengerah keringat sepanjang 90 minit perlawanan.
Oleh itu, JDT pastinya sedang melakukan perancangan secara teliti untuk medapatkan pertahanan kiri baharu bagi meneruskan legasi yang bakal ditinggalkan pemain itu pada bila-bila masa.
Adakah Adam Farhan bakal menjadi pengganti kepada Corbin Ong? — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Musim ini, bekas pemain Selangor FC, Syahmi Safari kerap diberi peluang termasuk beberapa aksi dalam kesebelasan utama ketika kempen Piala FA dan Piala Malaysia.
Namun, baru-baru ini, satu lagi nama mula disebut-sebut sebagai antara calon untuk menggantikan Corbin Ong untuk jangka masa panjang, iaitu pemain JDT II, Adam Farhan.
Kemampuannya sebelum ini dapat diperhatikan apabila dia diturunkan ketika berdepan Kelantan FC dalam suku akhir Piala Malaysia bagi menggantikan Matt Davies.
Adam sekali lagi diberi pendedahan bersama pasukan utama semasa aksi persahabatan bersama kelab Indonesia, Persis Solo dengan dia dikatakan tenang, namun ligat ketika mengawal bola.
Meskipun dia kerap diberi kepercayaan untuk beraksi sebagai pertahanan kanan, acuan daripada barisan kejurulatihan boleh menjadikannya sebagai pengganti kepada Corbin Ong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram