Pentas final Piala MFL medan Nistelrooy, Nazul, jelmaan Roberto Baggio naik pangkat ke Liga Super


  • Podium
  • Rabu, 08 Nov 2023

Najmuddin antara pemain tumpuan yang bakal menjadi rebutan kelab Liga Super pada musim depan. — Facebook/TFCII

DEBARAN saingan Piala MFL kian terasa apabila dua kuasa besar bola sepak tanah air iaitu Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) dijadualkan akan bertemu dalam pusingan akhir bagi merebut trofi kejuaraan edisi pertama kejohanan itu.

Walaupun ia tidaklah segah pentas akhir Piala Malaysia, namun perlawanan terakhir Piala MFL itu pastinya mempunyai penyokong tersendiri terutamanya yang menantikan pasukan manakah mempunyai pemain muda berkualiti.

Seperti sedia maklum, Piala MFL merupakan kejohanan terbaharu diperkenalkan MFL pada tahun dengan ia dikhususkan kepada pasukan bawah 23 tahun bagi setiap pasukan yang bertanding di Liga Super.

Sepanjang 21 perlawanan Piala MFL, penganjuran itu juga akan banyak memberi impak positif kepada pemain liga simpanan terutamanya untuk pemain muda mendapat lebih banyak minit permainan dan perhatian.

Oleh itu, tidak hairanlah jika ada dalam kalangan pemain Piala MFL mula menarik minat kelab Liga Super dan dijangka ramai ubi muda daripada skuad simpanan bakal mendapat peluang untuk membuat debut bersama pasukan utama pada musim depan.

Dengan kejohanan akhir antara JDT II dan TFC II akan berlangsung pada Sabtu ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pasti ramai pemain akan menjadi tumpuan oleh pemilik-pemilik kelab dan jurulatih untuk direkrut sebagai tonggak baharu pada musim depan.

Oleh itu, sempena perlawanan akhir Piala MFL antara JDT II dan TFC II pada Sabtu ini, Majoriti menyenaraikan tiga pemain tumpuan yang bakal menjadi rebutan kelab Liga Super pada musim depan;

1) Gabriel Nistelrooy

gabriel

Nistelrooy mencetak 13 gol dalam saingan Piala MFL musim ini. — Facebook/JDT

Gabriel Nistelrooy Tamin antara penyerang liga simpanan JDT yang kian meningkat naik berikutan prestasi cemerlangnya membantu pasukan dalam mencetak 13 jaringan gol dari 18 aksi Piala MFL dia diturunkan.

Pemain yang diberi jolokan nama 'Apai Sarawak' itu mula menyertai JDT IV pada 2019 selepas berjaya memikat ketua jurulatih, Gonzalo Sanz Zaballos dan dinaikkan pangkat ke skuad JDT II untuk saingan Liga Perdana pada musim 2021.

Penyerang berusia 22 tahun itu sememangnya belum mendapat tempat di skuad senior seperti rakannya lain iaitu Adam Farhan, Daryl Sham dan Aysar Hadi namun Nistelrooy sudah dipanggil menyertai latihan Esteban Solari pada September lalu.

Jika Nistelrooy sukar untuk mendapat peluang untuk menembusi skuad utama kerana lambakan penyerang jauh lebih berpengalaman seperti Bergson da Silva dan Syafiq Ahmad, pemain muda kelahiran Sarawak perlu berani untuk mencari kelab Liga Super lain.

Antara kelab Liga Super yang boleh dipertimbangkan Nistelrooy adalah Perak FC kerana pengendalinya, Yusri Che Lah sememangnya dikenali gemar memberi peluang kepada bakat muda untuk beraksi dalam 90 minit permainan.

2) Najmuddin Akmal

najdmuddin

Najmuddin merupakan antara pemain tengah berpotensi dimiliki skuad JDT II. — Facebook/JDT

Nama pemain tengah JDT II, Najmuddin Akmal mula meniti di bibir penyokong apabila pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon meletakkan dia dalam senarai bersedia ke kem latihan pusat Harimau Malaya pada saingan King’s Cup 2022 di Chiangmai, Thailand pada 2022.

Selepas itu, pemain berusia 20 tahun tersebut sekali lagi mencuri tumpuan apabila membantu skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara meledak satu gol untuk membantu Malaysia muncul juara di saingan Merlion Cup pada Mac lalu.

Bukan hanya cemerlang ketika tugasan negara, graduan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) itu juga menampilkan aksi konsisten bersama JDT II dan dari segi data jaringan, Najmuddin sudah meledak tiga gol dalam 16 aksi dia diturunkan.

Senasib dengan Nistelrooy, bekas pemain skuad B-19 negara itu juga belum berkesempatan debut bersama JDT namun peluang pasti akan muncul kerana barisan kejurulatihan Harimau Selatan sering membuka pintu untuk pemain muda mendapatkan pengalaman.

Sekalipun Najmuddin bergelut untuk memikat hati Solari, bekas pemain JDT III yang disamakan dengan legenda bola sepak Itali, Roberto Baggio itu boleh bertukar angin ke kelab lain seperti Negeri Sembilan untuk mendapat peluang menjadi kesebelasan utama.

3) Nazul Izamil Zulkifli

nazul

Antara aksi Nazul Izamil dalam saingan Piala MFL musim ini. — Facebook/TFCII

Penjaga gol TFC II, Nazul Izamil Zulkifli mempunyai masa depan yang cerah untuk mendapatkan slot ke skuad utama Terengganu selepas menampilkan persembahan cemerlang menjaga gawang pasukannya pada saingan Piala MFL musim ini.

Pemain berusia 21 tahun itu mula menyertai TFC II selepas menimba pengalaman bersama pasukan bawah 19 tahun Sri Pahang FC dan merupakan antara watak utama ketika saingan Piala Belia 2022 yang menyaksikan skuad belia Tok Gajah tewas agregat 2-1 di tangan Selangor.

Penjaga gawang yang mempunyai ketinggian 1.93 meter itu diberi kepercayaan oleh jurulatih TFC II, Hairuddin Omar untuk menjadi kubu terakhir Terengganu dalam 18 perlawanan Piala MFL musim ini.

Dengan prestasi penjaga gol kedua skuad utama, Rahadiazli Rahalim yang sering mendapat kritikan kerana membuat kesilapan mudah, pasti membuka mata Tomislav Steinbruckner untuk mencuba khidmat prospek tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram