Manfaat dapat 'cuti rehat' liga, JDT bertolak awal ke Korea Selatan


  • Podium
  • Jumaat, 18 Okt 2024

Skuad JDT dalam perjalanan ke Korea Selatan untuk bertemu Gwangju.

TEMPOH bola sepak antarabangsa sudah tamat dan ini bermakna aksi kompetitif di peringkat domestik kembali bersambung di pelbagai negara termasuk Malaysia.

Ini bermakna, saingan Liga Super kembali bersambung dengan kesemua kelab kembali fokus untuk memburu tiga mata dan membaiki kedudukan masing-masing.

Namun begitu, saat semua sedang fokus kepada liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) menghalakan tumpuan mereka kepada tugasan di luar negara.

BACA LAGI: 'Pentas ACLE, ACL 2 lebih mencabar, Selangor dan JDT bakal hadapi nasib serupa'

BACA LAGI: Tukar venue di ACLE patut jadi manual MFL elak kontroversi Perak-JDT berulang

Dalam hebahan terkini kelab itu, skuad JDT berada dalam perjalanan ke Korea Selatan untuk berdepan Gwangju dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit.

Walaupun perlawanan diadakan pada 22 Oktober (Selasa), tetapi Harimau Selatan memilih untuk bergerak lebih awal ke Korea Selatan dengan mereka menjadikan Incheon sebagai destinasi.

Perlawanan antara kedua-dua kelab diadakan Yongin Citizen Sports Park, Yongin kerana stadium asal mereka iaitu Gwangju Football Stadium tidak berada dalam keadaan baik.

JDT dilihat mengambil kesempatan di atas 'cuti rehat' diperoleh mereka dalam Liga Super untuk terbang lebih awal ke Korea Selatan pada Jumaat supaya persiapan yang lebih sesuai dengan cuaca di sana dapat dilakukan.

Ditambah pula dengan prestasi Gwangju yang baik dalam saingan domestik Korea Selatan. Adalah logik untuk Harimau Selatan terbang lebih awal supaya dapat melakukan persiapan rapi sebelum bertarung menentang mereka.

Sebagai rekod, Gwangju kini mendahului kumpulan penyingkiran (relegation group) K-League dengan liga itu sudah memasuki fasa kedua selepas fasa liga (league phase).

Walaupun berada di kumpulan penyingkiran dan tidak berpeluang menjadi juara liga, tetapi Gwangju cukup ampuh dalam saingan ACLE.

Selepas dua perlawanan ACLE, Gwangju mendahului fasa liga bagi zon Timur dengan menjadi satu-satunya kelab mempunyai rekod 100 peratus selepas dua perlawanan.

Mereka mengejutkan wakil Jepun, Yokohama F. Marinos 7-3 dan Kawasaki Frontale 1-0. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram