'Terima kasih banyak bantu saya', bekas penyerang TFC, bek Sabah sebak lihat Shahrom Kalam sertai Selangor


  • Podium
  • Selasa, 15 Okt 2024

Kehadiran Shahrom Kalam pasti akan membuka lembaran baharu buat skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC

PENGUMUMAN Selangor FC yang membawa masuk bekas pemain dan kapten pasukan, Shahrom Kalam mendapat respons bercampur-baur daripada penyokong kelab Lembah Klang berkenaan.

Ini kerana sesetengah daripada mereka berasakan anak jati Kuala Lumpur itu tidak mempunyai pengalaman mencukupi untuk membawa skuad Gergasi Merah ke tahap lebih tinggi.

Namun, ada pula menepis pandangan tersebut dengan menegaskan pemain pertahanan tersebut memiliki idea yang boleh dicurahkan demi perubahan kelab Lembah Klang berkenaan di peringkat domestik mahupun Asia.

BACA LAGI: Pemergian Conor Nestor buka ruang 3 legenda Selangor bergabung dengan Nidzam Jamil

BACA LAGI: Berdua lebih baik, gandingan duo Pahang, Selangor kian dilupakan lepas capai Misi 33 dan 'double'

Shahrom-Kalam-Gombak-FC-24-25-1024x1024

Shahrom Kalam berpengalaman sebagai jurulatih di Gombak FC. Facebook/AFL

Kepercayaan itu diberikan selepas mengetahui Shahrom pernah meraih pengalaman sebagai jurulatih ketika bersama-sama Gombak FC dalam saingan Liga A1 Semi Pro sejak awal musim.

Selain itu, Shahrom yang menghabiskan masa tiga musim beraksi buat Selangor pasti mengenali identiti pasukan tersebut yang sudah bertahun-tahun mendahagakan kejayaan di atas padang.

Pandangan terbabit dikuatkan lagi dengan beberapa ucapan maju jaya yang diberikan buat jurulatih berusia 39 tahun itu berdasarkan perkongsian di laman Instagram peribadinya.

Antara yang berbuat demikian ialah bekas penyerang Terengganu FC II, Isa Raman yang menyarung jersi Gombak FC sejak awal musim selepas khidmatnya tidak lagi didambakan kelab Pantai Timur berkenaan.

WhatsApp Image 2024-10-15 at 3.08.47 PM

Shahrom Kalam dan Isa Raman berganding selama beberapa bulan di Gombak FC.

"Selamat maju jaya, coach (merangkap) ketua. Terima kasih atas segala ilmu, motivasi dan kepercayaan selama ini," katanya.

Bekas pertahanan tengah Sabah FC, Gerald Gadit juga sempat memberikan ucapan sedemikian meskipun hanya meluangkan masa beberapa bulan bersama Shahrom Kalam di kelab semi pro itu.

"Semoga maju jaya, coach. Terima kasih kerana banyak tolong saya," tulisnya sambil menyertakan sekeping gambar memaparkan kedua-dua mereka di padang latihan.

Khidmat dicurahkan Shahrom Kalam buat Gombak FC menyaksikan kelab berkenaan berada di kedudukan kelapan Liga A1 Semi Pro selepas 15 aksi hasil 23 mata direkodkan.

WhatsApp Image 2024-10-15 at 3.08.40 PM

Ucapan perpisahan diberikan Gerald Gadit kepada Shahrom Kalam.

Meskipun tidak dapat mencipta prestasi cemerlang, ia sedikit sebanyak memberi gambaran mengenai kebolehan dimilikinya yang baru sahaja menceburi bidang kejurulatihan.

Selain Shahrom Kalam, Selangor FC turut melantik Abdi Hassan yang sebelum ini memikul peranan pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) mereka yang beraksi dalam Piala MFL.

Keputusan membawa masuk kedua-dua mereka dibuat selepas pembantu terdahulu, Conor Nestor bertindak meninggalkan kelab berkenaan setelah menerima tawaran ke kelab Kemboja, Boeung Ket FC kira-kira seminggu lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram