Belanjawan 2025: Masih banyak kelemahan, 3 sebab sukan futsal perlu terima lebih dana


  • Podium
  • Khamis, 17 Okt 2024

Kerajaan diharap memperuntukkan sejumlah wang sebagai solusi untuk memperbaiki prestasi skuad futsal kebangsaan. — Facebook/FAM

MENJELANG pembentangan Belanjawan 2025 yang akan diadakan pada Jumaat ini, pasti semua lapisan masyarakat tidak sabar untuk mendengar cadangan dan idea bakal disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Industri sukan juga pastinya antara yang menunggu-menunggu lontaran cadangan dari kerajaan sama ada pembentangan tersebut akan berpotensi memberi kesan yang signifikan dalam membangunkan sukan.

Apabila bercakap mengenai pembahagian peruntukan bajet yang diberi kerajaan untuk industri sukan, bola sepak dan badminton boleh dianggap dua sukan utama akan diberi perhatian lebih pada setiap tahun.

BACA LAGI: Emas Olimpik boleh disumbangkan sesiapa saja, jangan sekadar tertumpu atlet jagaan BAM

BACA LAGI: Belanjawan 2025: Suntikan dana KPT, KBS boleh jadikan SUKIPT, MASUM tahun depan lebih 'bernyawa'

Jarang sekali kita mendengar sukan yang tidak mempunyai ramai peminat seperti futsal mendapat peruntukan berskala besar dari kerajaan, paling pun akan mendapat bajet untuk menaik taraf fasiliti usang.

Misalnya, Belanjawan 2023 menyaksikan peruntukan diberi untuk membaik pulih atau menaik taraf fasiliti gelanggang futsal sedia ada untuk memastikan ia mudah diakses bukan sahaja buat atlet negara, malah kepada orang awam.

Bukanlah tidak bersyukur dengan bajet diberi namun sudah masanya juga kerajaan memperuntukkan sejumlah wang sebagai solusi untuk memperbaiki prestasi skuad futsal kebangsaan di peringkat antarabangsa.

Dengan itu Majoriti menyenaraikan bukti-bukti yang boleh menunjukkan masalah dana boleh dianggap antara penyebab futsal tidak membawa pencapaian memuaskan meskipun sudah lama bertapak.

1) Masih lemah di Asia Tenggara

futsal

Skuad futsal tanah air tewas 0-6 pada aksi persahabatan yang berlangsung di GOR Amongrogo. — Facebook/FAM

Terlalu jauh untuk memasang impian skuad futsal negara dapat menandingi pasukan Eropah namun sekurang-kurangnya penyokong berharap kembali menandingi negara-negara besar Asia Tenggara seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Sangat menyedihkan apabila Malaysia yang dulunya pernah beraksi di pentas Piala Dunia Futsal 1996, Sepanyol sudah tidak mampu bersaing di rantau Asia apabila tahun lalu menyaksikan skuad negara gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia Futsal 2024 di Thailand.

Baru-baru ini juga menyaksikan skuad futsal Malaysia terpaksa akur dengan kekuatan Indonesia selepas kecundang 0-6 pada aksi persahabatan yang berlangsung di GOR Amongrogo, Yogyakarta, Indonesia.

Dua kekalahan ini sudah cukup membuktikan bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku pengelola skuad kebangsaan perlu mencari perlawanan persahabatan kompetitif untuk menambahbaik mutu dan ia memerlukan dana dari kerajaan menerusi Belanjawan 2025.

2) Tiada organisasi tetap

fam

Skuad futsal negara bernaung di bawah FAM. — Facebook/FAM

Seperti anak angkat dalam sebuah keluarga besar. Demikian situasi sesuai untuk menggambarkan masalah pasukan futsal negara apabila sehingga kini masih tidak mempunyai persatuan sendiri dan diletakkan di bawah payung FAM.

Dengan FAM yang kini banyak memberikan perhatian sepenuhnya kepada pembangunan bola sepak terutama skuad senior, pasukan futsal kebangsaan seolah-olah sukar untuk mendapatkan perancangan jelas.

FAM yang pastinya tidak cukup tangan untuk memastikan semua sukan di bawah pemerhatian berada di landasan tepat, sudah masanya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencadangkan untuk mewujudkan satu badan bagi membantu menguruskan pasukan futsal negara.

Namun, sebelum melaksanakan organiasi baharu untuk pasukan futsal negara, KBS perlu mengelak dari melantik pemimpin yang lebih fokus keuntungan peribadi berbanding tanggungjawab mereka mungkin mengabaikan prestasi sukan.

3) Tiada hala tuju jelas

main pic futsal

Skuad futsal negara mengalami penurunan dua anak tangga dari tempat ke-79 ke kedudukan ke-81 dunia. — Facebook/FAM

Saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) yang dilaksanakan FAM di peringkat domestik yang boleh dikatakan tersusun dengan ia bukan hanya berkisar tentang saingan liga sahaja tetapi wujud kejohanan seperti Piala Futsal Malaysia.

Bagaimanapun, tidak seperti FAM mahupun Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), bakat yang digilap dan dihasilkan dalam liga berkenaan tidak membawa hasil lumayan di peringkat antarabangsa.

Hal tersebut berpunca daripada kekurangan dana yang diterima daripada kerajaan untuk dilaburkan bagi menghubungkan arena MPFL dengan pembangunan arena futsal negara.

Sekiranya isu berkenaan berterusan, harapan peminat futsal untuk melihat pasukan futsal negara ke peringkat lebih tinggi akan terkubur dengan solusi terbaik adalah dengan suntikan dana lebih besar.

Oleh itu, KBS sebagai badan berkepentingan perlu memberi penekananan terhadap sukan berkenaan dengan menyediakan organisasi bebas yang dapat menguruskan kelangsungan antara saingan MPFL dan skuad kebangsaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram