Hazwan Bakri enggan terburu-buru cetak gol peribadi bersama The Cats, jadikan aksi JDT tonik elak cicir mata jumpa NSFC


  • Podium
  • Jumaat, 18 Okt 2024

Hazwan berharap agar mendapatkan semula kecergasan pada tahap terbaik bagi memastikan dirinya memperolehi minit permainan yang lebih banyak musim ini. — Facebook/Kuchingcityfc

PENYERANG Kuching City FC, Ahmad Hazwan Bakri tekad ingin mendapatkan semula prestasi terbaik selepas melengkapkan perpindahan ke Kuching City FC, lapor MFL.

Membuat penampilan pertama ketika berdepan Johor Darul Ta'zim baru-baru ini, Hazwan akui peluang itu merupakan motivasi terbaik untuk dirinya selepas lama berehat akibat kecederaan.

"Alhamdulillah saya sudah pulih dan berada dalam keadaan yang baik. Kita tahu kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) ini ambil masa untuk pulih. Jadi saya buat beberapa latihan tambahan untuk pertingkatkan kecergasan.

"Bersama pengendali Aidil Shahrin Sahak di Kuching City, semua persiapan berjalan dengan baik. Mudah untuk saya ikut arahan serta taktikal beliau dan para pemain juga memberikan kerjasama yang baik,” katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Minta maaf saya kepala', import Selangor Pistons salah baca 'arahan'

BACA LAGI: Jemput skuad Sang Badak di Bayan Lepas, Baddrol Bakhtiar ubat kerinduan penyokong The Rhinos

WhatsApp Image 2024-10-18 at 16.37.08

Menurut Hazwan, kemasukan beberapa tonggak baharu ke Kuching City FC merupakan langkah terbaik. Facebook/Kuchingcityfc

Pemain berusia 33 tahun tersebut berharap untuk mendapatkan semula kecergasan pada tahap terbaik bagi memastikan dirinya memperolehi minit permainan yang lebih banyak dalam saingan liga musim ini.

"Untuk musim ini, saya berharap saya mendapatkan semula prestasi sebenar saya. Saya mahu beraksi dalam banyak perlawanan namun saya tidak tergesa untuk mencatat sebarang rekod peribadi,” jelasnya.

Dalam pada itu, kemasukan beberapa tonggak baharu ke Kuching City FC merupakan langkah terbaik.

Menurut Hazwan, kehadiran pemain-pemain berkenaan dilihat sebagai nilai tambah buat pasukan.

Tambahnya lagi, fokus Kuching City FC kini adalah untuk mengelak dari keciciran mata dalam mana-mana perlawanan akan datang.

"Saya kira kemasukan beberapa pemain baharu ke Kuching City FC sedikit sebanyak memberi impak positif untuk pasukan. Mereka ini amat membantu untuk kami mempertingkatkan prestasi pasukan musim ini.

"Untuk perlawanan menentang Negeri Sembilan FC nanti kita tak mahu kehilangan mata. Kita tak boleh memandang mudah cabaran Negeri Sembilan kerana di atas padang nanti, apa-apa boleh terjadi. Jadi kita akan lalukan yang terbaik untuk pasukan," ujarnya.

Kuching City FC di bawah kendalian Aidil Shahrin kini menghuni kedudukan keenam dalam carta Liga Super Malaysia 2024/2025 dan bakal berdepan Negeri Sembilan FC di Stadium Negeri, Kuching pada Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram