Dakwaan beri layanan buruk, FAM perlu segera respons demi imej bola sepak


  • Podium
  • Rabu, 16 Okt 2024

Pucuk pimpinan FAM perlu memberikan jawapan pantas mengenai dakwaan yang bertebaran di media sosial itu. — Facebook/FAM

IMEJ Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekali lagi tercalar selepas seorang pengguna media sosial mendakwa organisasi tersebut tidak memberi layanan baik terhadap pasukan lawan yang bertandang.

Berdasarkan satu ciapan dikeluarkan pada Selasa, individu itu menerusi akaun Piang Shankly menceritakan hospitaliti diterima negara luar tidak menerima standard ditetapkan.

"Tahukah anda, beberapa pasukan pernah lari keluar dari hotel yang disediakan Kelana Jaya (FAM) kerana tidak berpuas hati dengan servis yang disediakan? Perkara ini sudah menjadi buah mulut dalam kalangan persatuan bola sepak antarabangsa, siapa nak datang main persahabatan?" tulisnya.

BACA LAGI: Malaysia ada peluang cipta sejarah, jurulatih New Zealand harap bintang EPL 'kacau' Harimau Malaya

BACA LAGI: Lama sebelum bertemu Harimau Malaya, bek otai New Zealand pernah cuba nasib di Pahang

Kenyataan itu diberikan sebagai respons terhadap ciapan terdahulunya yang mengatakan organisasi bola sepak luar negara tidak berpuas hati dengan sikap barisan pengurusan FAM.

Hal berkenaan pasti akan mencalarkan imej bola sepak negara yang kian merosot beberapa bulan kebelakangan ini berikutan prestasi merudum daripada Harimau Malaya.

Persoalannya, adakah dakwaan Piang Shankly itu benar memandangkan FAM sudah menerima imbuhan jutaan ringgit daripada kerajaan sebelum ini dengan ia boleh digunakan bagi perancangan tersendiri.

Sekiranya dakwaan sedemikian tidak benar, badan induk berkenaan sepatutnya segera mengeluarkan kenyataan balas dengan menepis tohmahan berkenaan bagi mengelak pandangan orang ramai terhadap mereka semakin serong.

Tetapi, setakat ini, mereka masih belum memberikan sebarang jawapan dengan perkara tersebut sekali gus menimbulkan persepsi akan layanan tidak memuaskan diberikan.

2286471

Imej Harimau Malaya juga akan terkesan sekiranya FAM terus 'membisu'. Facebook/FAM

Jadi, untuk memastikan imej FAM terjaga, satu balasan proaktif perlu diberikan bagi menjawab pandangan orang ramai dengan hal itu turut diakui pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli.

"Apa pun tuduhan itu sama ada benar atau tidak, jika sememangnya ia benar berlaku, maka FAM harus menerima hakikat ini untuk memperbaiki kelemahan.

"Kita bakal menguruskan Piala AFF November nanti. Jika tuduhan ini tidak betul, maka FAM juga perlu mengeluarkan kenyataan balas untuk menjelaskan keadaan sebenar untuk membersihkan nama yang tercemar," katanya kepada Majoriti.

Selain cuba mendapatkan pandangan pemerhati, Majoriti juga sudah menghubungi Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, namun masih belum menerima respons.

2951717

Imej FAM sudah cukup tercalar kebelakangan ini. Facebook/FAM

Tambah Pekan lagi, jawapan daripada organisasi berkenaan boleh menepis pandangan serong orang ramai yang beranggapan pasukan luar sudah tidak mahu mengadakan aksi persahabatan menentang Harimau Malaya di laman sendiri.

Malah, berdasarkan pengalamannya yang bertahun-tahun dalam arena sukan tanah air, tiada pandangan negatif diberikan kerana respons cukup baik sering diberikan, termasuk dalam landskap bola sepak.

"Dalam hal-hal berkaitan pengurusan acara, layanan tetamu luar negara dalam pelbagai skala penganjuran peringkat antarabangsa, khususnya kita diakui antara penganjur terbaik dan terpuji serta jarang menghampakan," katanya.

Bagaimanapun, kenyataan balas perlu segera diberikan memandangkan dakwaan sedemikian sudah menerima perhatian ramai yang hanya akan menyebabkan kesan besar terhadap FAM sendiri.

Aksi terdekat buat Harimau Malaya di laman sendiri adalah ketika mereka menerima kunjungan Timor Leste dalam aksi kumpulan Piala AFF pada 11 Disember nanti dengan venue perlawanan masih belum ditetapkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram