HARIMAU Malaya terpaksa menelan kepahitan apabila mereka tumpas 0-4 kepada New Zealand dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Isnin.
Kekalahan besar yang ditanggung Malaysia itu sukar untuk diterima penyokong walaupun lawan yang mereka hadapi jauh lebih berkualiti dengan ramai pemain beraksi di Eropah.
Akan tetapi, tidak mahu semudahnya mengatakan pihak lawan lebih baik. Sebaliknya, masih ada yang perlu dibaiki Harimau Malaya untuk lebih garang pada masa akan datang.
BACA LAGI: 'CEO kelab lokal boleh apply', Reduan cadang Selangor dan JDT boleh cuba jaga 'national team'
BACA LAGI: Bukan Uzbekistan hebat, tapi Harimau Muda main tak cukup bagus — Reduan Abdullah
Marti (dua dari kanan) perlu mempunyai corak permainan ampuh diterapkan dalam Harimau Malaya.
Perkara utama perlu dibaiki oleh Marti untuk Harimau Malaya adalah mendapatkan corak permainan yang tersendiri selain mempelbagaikannya bagi mengelirukan pihak lawan.
Bagi bekas pemain kebangsaan, Reduan Abdullah, tahap antara Malaysia dan New Zealand tidaklah terlalu jauh tetapi Marti harus ada corak permainan yang jelas supaya boleh memerangkap pihak lawan.
"Dari segi tahap, kita masih boleh beri saingan. Tapi corak permainan itu yang menjadi kerisauan. Corak permainan itu mesti diadakan oleh jurulatih. Dia nak main tiki-taka, hantar bola jauh? Terpulang pada jurulatih.
"Selain itu, corak permainan itu juga perlu dipelbagaikan. Kalau ada satu saja corak permainan, kita boleh kena balik dengan pihak lawan. Pihak lawan boleh baca pergerakan kita," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Reduan juga turut mengatakan aksi longlai daripada pemain-pemain Malaysia disebabkan faktor saingan liga tidak kompetitif.
Reduan berkata, aturan jadual yang menyaksikan jarak antara dua perlawanan terlalu jauh sedikit sebanyak memberi kesan kepada pemain-pemain Liga Malaysia yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan.
Jarak perlawanan liga yang terlalu jauh menjadi punca Harimau Malaya tidak beraksi baik di peringkat antarabangsa.
"Datangnya pemain yang baik adalah dari liga yang baik. Liga kita bukannya tak elok, cuma kompetitifnya itu tidak ada.
"Lihat di Jepun atau Korea Selatan, liga tempatan mereka menghasilkan pemain untuk skuad kebangsaan. Sebab itu kita perlukan liga yang berkualiti.
"Ini liga pun kadang-kadang berhenti, kejap ada kejap tak ada. Liga kita ni dijalankan dengan betul tak? Kalau liga pun tak dijalankan dengan betul, macam mana kita nak lahirkan pemain yang baik untuk skuad kebangsaan?," soal Reduan.
Bagi Reduan, permasalahan melibatkan Liga Super itu antara punca kenapa Harimau Malaya kurang menyerlah di peringkat antarabangsa.
Oleh itu, dia berpendapat, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebagai penganjur liga harus membaiki aturan jadual supaya ia membuatkan saingan menjadi lebih kompetitif sekali gus memberi manfaat buat Harimau Malaya.
Selepas perlawanan bertemu New Zealand, aksi Liga Super akan bersambung dengan perlawanan melibatkan Kuching City FC bertemu Negeri Sembilan FC serta Kelantan Darul Naim FC berjumpa Kuala Lumpur City FC diadakan pada 18 Oktober. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram