Malaysia ada peluang cipta sejarah, jurulatih New Zealand harap bintang EPL 'kacau' Harimau Malaya


  • Podium
  • Isnin, 14 Okt 2024

Sebahagian sesi latihan Harimau Malaya yang pastinya mahu mendapatkan keputusan positif aksi berdepan New Zealand. — Facebook/FAM

MENGHUNI kedudukan di bawah nombor 130 dalam senarai ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan mahu menewaskan New Zealand menjadi motivasi Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan mereka.

Jurulatih negara, Pau Marti Vicente menyedari bukan mudah untuk menumpaskan pasukan gergasi Oceanic berkenaan dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium North Harbour dekat Auckland, New Zealand pada Isnin.

Pau Marti optimis bahawa Harimau Malaya mampu menewaskan skuad All Whites, sekali gus meningkatkan lagi kedudukan ranking dunia mereka.

BACA LAGI: Aktif kali terakhir berdepan New Zealand, 3 bekas bintang HM masih ligat dalam dunia bola sepak

BACA LAGI: [VIDEO] Kejohanan 7s Asia: Ekor panas hati bintang Filipina 'tackle' legenda Harimau Malaya

Malaysia kini berada di kedudukan ke-132 dunia manakala New Zealand berada di tangga ke-95 dalam senarai terkini ranking FIFA.

"Setiap perlawanan adalah istimewa apabila membabitkan pasukan kebangsaan. Kami boleh mencipta sejarah kerana jika kami menewaskan mereka, kami pasti akan berada di bawah 130 dalam ranking selepas sekian lama.

"Ini adalah satu langkah ke arah yang betul untuk pemain yang menyarung jersi Malaysia. Itu motivasi kami iaitu untuk menunjukkan kami mahu meningkat dalam permainan.

"Kami memberi tumpuan kepada diri sendiri dan merancang menjadi lebih baik untuk perlawanan akan datang. Kami mahu melaksanakan gaya permainan kami, melihat pendekatan terbaik dan menilai cara lawan kami bermain.

"Kami juga membetulkan beberapa perkara daripada perlawanan sebelumnya dan kami akan menggunakan pilihan terbaik kami untuk melakukannya dengan baik kali ini,” katanya.

Sebelum perlawanan menentang New Zealand, Malaysia mengadakan perlawanan latihan menentang kelab Liga-A Auckland 1-1 pada Jumaat lepas dengan menyaksikan keputusan seri 1-1 dicatat.

Pau Marti berkata, New Zealand mempunyai beberapa pemain berkualiti tinggi dan ia semestinya akan memberikan masalah kepada skuad kebangsaan.

“Saya menjangkakan perlawanan yang sukar kerana kebanyakan pemain New Zealand berpangkalan di Eropah dan mereka telah bermain dalam persekitaran peringkat tinggi.

“Kami juga sedar bahawa New Zealand tidak kerap bermain di tempat sendiri, mereka sering berada di tempat lawan.

“Jadi berada di sini akan menjadi motivasi tambahan untuk mereka kerana mereka bermain di hadapan orang ramai. Mereka pasti mahu menang menentang kami,” tambahnya.

Dalam pada itu, pengendali kelahiran Sepanyol itu berkongsi bahawa kesemua 26 pemain akan tersedia untuk perlawanan itu tanpa kecederaan.

WhatsApp Image 2024-10-14 at 10.39.58

Pengendali New Zealand, Darren Bazeley.

Sementara itu, jurulatih New Zealand, Darren Bazeley berkata, anak-anak buahnya tidak sabar untuk bermain di Auckland sambil berkongsi keadaan padang mereka sesuai digunakan dan cuacanya sempurna.

“Sudah 18 bulan sejak kami bermain di gelanggang sendiri. Kami telah bermain banyak perlawanan di tempat lawan sebelum ini, jadi ia berasa seronok untuk bermain di hadapan rakan dan keluarga di Auckland,” kata jurulatih kelahiran England yang berpangkalan di New Zealand sejak 2005.

Bazeley berkata, Chris Wood dijangka akan menjadi pemain utama mereka memandangkan pemain itu sedang berada pada prestasi terbaik sekiranya dia diturunkan.

“Dia menjaringkan gol untuk Nottingham Forest dalam Liga Perdana Inggeris, jadi kami berharap kami dapat membantunya dengan mencipta peluang semasa perlawanan menentang Malaysia.

“Perlawanan ini juga penting untuk Malaysia, jadi kami perlu memberikan cabaran yang baik untuk mereka.

“Pemain-pemain amat sedar bermain gaya bola sepak yang kita mahukan dan menjaringkan gol. Ia adalah cara terbaik untuk berhubung dengan orang ramai selepas sekian lama berada di luar rumah,” jelasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram