HASRAT Mats Deijl memperkuatkan bahagian benteng skuad bola sepak negara tidak kesampaian apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan tonggak kelab Eredivisie Belanda, Go Ahead Eagles Deventer tidak melepasi syarat.
Jelas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), berdasarkan dokumentasi dilampirkan kepada FIFA didapati pemain berusia 27 tahun itu hanya mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyangnya dan bukannya melalui datuk atau nenek seperti ditetapkan dalam syarat badan induk bola sepak dunia berkenaan.
Ia sekali gus menghadirkan perasaan kecewa penyokong Harimau Malaya yang mengharapkan kemasukan pemain itu dapat menambah kekuatan pasukan.
BACA LAGI: Pemain kacukan Jerman masih tunggu jawapan FAM, sedih tidak dapat pulang beraya di Malaysia
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, pemain warisan Jerman-Malaysia, Armin Maier Rafi berkongsi FAM masih tidak lagi menghubunginya walaupun sudah menghantar segala dokumen kepada badan induk itu.
"Tidak ada kemajuan, FAM langsung tidak menghubungi saya, ia sentiasa menjadi impian dan matlamat saya untuk menjadi rakyat Malaysia dan bermain untuk Harimau Malaya.
"Tetapi buat masa ini ia nampaknya tidak akan berlaku kerana saya memerlukan sokongan FAM.
"Setakat ini hanya TMJ yang cuba membantu dan saya amat berterima kasih kepadanya," katanya kepada Majoriti.
Armin (kiri) kini sedang beraksi bersama FC Albstadt di Liga Jerman.
Tambahnya lagi yang kini beraksi di Liga Jerman berkata, dia sedar usaha FAM untuk membawa masuk lebih ramai pemain warisan ke dalam skuad kebangsaan dan memuji tindakan badan induk itu.
"Saya sedar tentang perkara ini, saya baca mereka kini sedang teliti untuk membawa lebih ramai pemain warisan selepas menyedari Indonesia jauh ke depan dan bertambah baik.
"Saya fikir ini boleh menjadi perkara yang baik, tetapi penting untuk mencari pemain yang benar-benar mengenali Malaysia.
"Bukan hanya bermain untuk kepentingan dan resume mereka sendiri.
"Pemain seperti saya yang bangga mempunyai darah Malaysia, boleh bercakap Bahasa Melayu dan mengenali budaya itu adalah pilihan terbaik.
"Pastinya mereka boleh menambah sesuatu yang berbeza kepada Harimau Malaya kerana kualiti di Eropah sangat berbeza dan jauh lebih tinggi.
"Malah bagi saya sendiri ketika ini, standard di sini (Jerman) jauh lebih tinggi berbanding kebanyakan pasukan dalam Liga Super.
"Buat masa ini, hanya dua bekas kelab saya JDT dan Selangor yang mencapai standard itu.
"Selebihnya masih lagi jauh, bola sepak di Eropah jauh lebih teknikal, taktikal dan fizikal berbanding liga Malaysia," jelasnya.
Untuk rekod, Armin yang berusia 27 tahun kini beraksi untuk FC Albstadt di Liga Jerman sambil mengusahakan akademi sendiri di Jerman.
"Saya kini berada di Jerman yang mana saya bermain untuk kelab berhampiran Stuttgart, dipanggil FC Albstadt, dalam liga Jerman.
"Ia adalah kelab dengan nama besar dan sokongan peminat yang besar di kawasan ini.
"Selain itu saya juga memiliki akademi bola sepak sendiri untuk menyampaikan pengalaman saya kepada generasi akan datang," luahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram