Sang Garuda ditewaskan China, usikan nakal ekor Harimau Malaya lebih berbisa dibandingkan skuad ‘Belanda’


  • Podium
  • Rabu, 16 Okt 2024

Indonesia tewas 1-2 di tangan China dalam kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Bola Sepak Qingdao Youth dekat Shindong, China pada Selasa.

CHINA menamatkan rentetan tiga kekalahan berturut-turut dengan kemenangan 2-1 ke atas Indonesia dalam kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Bola Sepak Qingdao Youth dekat Shindong, China pada Selasa.

Negara Tembok Besar itu meledak gol pertama menerusi jaringan Behram Abduwelli pada minit ke-23 sebelum Yuning Zhang melebarkan jurang dengan gol kedua pada minit ke-44.

Manakala, skuad kendalian Shin Tae-yong sekadar mampu pulang gol saguhati dengan jaringan dari pemain tengah warisan mereka iaitu Thom Haye pada minit ke-86.

BACA LAGI: Harimau Malaya 'lemau' di New Zealand, baiki dulu kompetitif Liga Super — Legenda kebangsaan

BACA LAGI: Malaysia ada peluang cipta sejarah, jurulatih New Zealand harap bintang EPL 'kacau' Harimau Malaya

Keputusan tersebut menyaksikan Indonesia dan China berkongsi tiga mata selepas mengharungi empat perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 ketika ini.

Kekalahan berkenaan menyaksikan kali pertama buat Indonesia tidak berhasil meraih tiga mata selepas tiga keputusan seri dicatatkan sewaktu bertemu Arab Saudi (1-1), Australia (0-0) dan Bahrain (2-2).

Keputusan itu menyaksikan penyokong bola sepak Indonesia memenuhi ruangan komen di media sosial dengan mengatakan skuad Tae-yong itu tidak berada dalam landasan terbaik ketika ini.

Namun, menariknya, peminat Harimau Malaya juga tidak terkecuali daripada memberikan respons terhadap skuad Garuda atas kekalahan dialami mereka itu.

“Kalah dengan China ke tu. Kiranya Malaysia lebih hebat lah kan,” kata penyokong skuad kebangsaan, Pasad.

“Pasukan skuad Belanda gred C pun masih kalah,” tambah penyokong Harimau Malaya, Ghazali Zul yang menyindir Indonesia menggunakan khidmat ramai pemain warisan berdaran Belanda.

“Nampaknya Malaysia memang dah jauh lebih hebat Garuda sebab dapat seri lawan China,” komen penyokong skuad kebangsaan, leandrovdberg.

Perseteruan atas talian antara penyokong bola sepak negara dan Indonesia bukanlah sesuatu yang baharu kerana sejak dahulu, masing-masing enggan melepaskan peluang melontar kata-kata usikan antara satu sama lain.

Namun, diharapkan gurauan itu tidak membawa kepada hal serius kerana ia hanya akan mengeruhkan arena bola sepak yang giat membangun di Asia Tenggara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram