[VIDEO] 'First ball' teruk, balingan bola tak serasi punca NS Antlers kalah kepada KL Thunder


  • Podium
  • Sabtu, 12 Okt 2024

NS Antlers kalah dalam pertarungan tiga set bertemu KL Thunder.

PERJALANAN Negeri Sembilan Antlers di GP Perak bagi saingan Sepak Takraw League (STL) berakhir di suku akhir apabila mereka tumpas kepada Kuala Lumpur Thunder menerusi rubber game.

Aksi yang berlangsung dalam tiga set itu menyaksikan NS Antlers tewas 8-15, 15-13 dan 6-15 untuk menamatkan persembahan mereka di Perak dengan kekecewaan.

Perkara itu diakui oleh pemain NS Antlers sendiri iaitu Hafizul Hayazi. Pemain tersebut mengatakan yang kualiti bola pertama (first ball) daripada pasukannya tidak berada pada tahap terbaik.

BACA LAGI: [VIDEO] Dua tonggak TBG minat jadi 'killer', pamer kemahiran sambil support Perak Bisons di STL

BACA LAGI: STL 2024: Tiga import Thailand 'padu' berjaya curi perhatian penyokong

"Dari segi first ball, memang nampak kurang sangatlah untuk di (GP) Perak ini berbanding di Terengganu," ujar Hafizul selepas perlawanan.

Dalam masa yang sama, Hafizul yang bermain sebagai killer turut mengatakan keserasian ketika melakukan balingan semasa servis juga memberikan kesan kepada kualiti persembahan NS Antlers.

Katanya, ketiadaan apit kiri, Zulefendi Sumari bersama NS Antlers kali ini sedikit sebanyak menganggu servis yang diberikan kepada tekong, Haziq Hairul Nizam.

"Zulefendi tidak bersama NS Antlers jadi yang baling bola kepada Haziq adalah Fame Abd Jalil. Jadi, tak dapat nak beri balingan sempurna buat Haziq," ujarnya.

Walaupun tidak beraksi baik, tetapi NS Antlers membaiki rekod mereka dekat GP Perak selepas terkandas di peringkat kumpulan semasa GP Terengganu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram