STL 2024: Tiga import Thailand 'padu' berjaya curi perhatian penyokong


  • Podium
  • Jumaat, 11 Okt 2024

Sebahagian aksi menarik apabila perejam Terengganu Turtles, Kritsada (jersi putih) menghalang libasan daripada Penang Black Panther aksi GP Terengganu September lalu.

KEHADIRAN pemain import Thailand dalam sukan sepak takraw tanah air banyak memberikan impak positif kepada perkembangan sukan tersebut di Malaysia.

Dengan kemahiran tinggi dan disiplin permainan yang luar biasa, kehadiran pemain import dapat membantu pemain tempatan mempamerkan aksi yang agresif dan kreatif.

Bukan itu sahaja, kebanyakan pemain Thailand memiliki keupayaan untuk membaca permainan dan menambah keunikan kepada permainan mereka.

BACA LAGI: No 18 jadi klu, bekas tekong negara hampir sertai Johor Tigris

BACA LAGI: [VIDEO] STL 2024: Dulu dikecam kini disayang, import Perak Bison cemerlang tundukkan Selangor Pistons

WhatsApp Image 2024-10-10 at 18.46.08

Tekong Perak Bison, Kritsada (tengah) ketika melakukan servis.

Seperti yang dilihat dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL), banyak pasukan mengambil keputusan untuk membawa masuk import dari Thailand untuk memperkuatkan pasukan masing-masing.

Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga import Thailand yang menampilkan persembahan cemerlang selepas berakhirnya Grand Prix (GP) Selangor dan GP Terengganu.

1. Kritsada Sungvung (Perak Bison)

Kehadiran tekong import Perak Bison, Kritsada Sungvung nyata tidak mengecewakan penyokong skuad Seladang apabila sentiasa tampil dengan persembahan yang cukup memukau dalam dua GP sebelum ini.

Kritsada yang merupakan import Thailand itu memainkan peranan yang sangat penting apabila berfungsi sebagai penggerak utama yang mengatur permainan dan mencipta peluang untuk Perak Bison.

Kebolehannya untuk membaca situasi permainan dan membuat keputusan cepat menjadikannya pemain tersebut sangat berharga bagi Perak Bison.

Bukan sahaja membantu bahagian servis dan serangan namun dia juga memainkan peranan penting dalam pertahanan.

Sepanjang dua GP berlangsung, Kritsada sudahpun membantu Perak Bison mara ke final bagi GP Selangor meskipun tewas 0-2 (7-15,12-15) kepada Kuala Lumpur Thunder.

WhatsApp Image 2024-10-10 at 18.23.16

Sutthikiart (kiri) beraksi cemerlang sebagai pertahanan untuk menghalang bola.

2. Sutthikiart Panseankaew (Terengganu Turtles)

Apit kanan Terengganu Turtles, Sutthikiart Panseankaew merupakan pemain import yang dibawa masuk musim ini.

Beraksi bersama Terengganu Turtles, Sutthikiart dikenali kerana kepantasannya, ketepatan dalam mengarah bola dan kemampuan untuk melakukan rejaman yang mengagumkan.

Bukan itu sahaja, Sutthikiart yang beraksi sebagai perejam itu mampu merancang serangan dan membaca pergerakan lawan menjadikannya salah satu tonggak dalam pasukan.

Dengan kehadirannya, Terengganu Turtles dilihat menjadi antara pasukan yang digeruni selain dibarisi oleh bekas tekong negara, Zulkifli Abd Razak atau lebih dikenali sebagai Sobey dan Zulhusni Basri (apit kiri).

Antara kejayaan Sutthikiart adalah ketika menjadi watak penting buat Terengganu Turtles apabila berjaya membantu pasukan itu mara ke final bertemu KL Thunder dalam GP Terengganu sebelum ini meskipun tewas straight set (7-15,11-15).

WhatsApp Image 2024-10-10 at 18.45.45

Nonthanan selaku perejam Selangor Pistons sentiasa tampil aksi cemerlang untuk membantu pasukan Lembah Klang itu.

3. Nonthanan Sombatlay (Selangor Pistons)

Perejam Selangor Pistons, Nonthanan Sombatlay dikenali dengan kemahiran luar biasa dan gaya permainan yang dinamik.

Beraksi sebagai perejam, Nonthanan memiliki kemampuan untuk melakukan pukulan yang kuat dan tepat sekali gus mampu menjadi ancaman utama kepada lawan.

Sepanjang dua pusingan GP musim ini, Nonthanan sering menjadi pilihan pasukan untuk mengisi posisi apit kanan kerana kebijaksanaan dalam membaca permainan dengan baik.

Kehadiran Nonthanan nyata memberikan impak besar kepada pasukannya apabila membantu Selangor Pistons yang beraksi dalam Divisyen 1 berjaya mencuri slot ke Liga Premier musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram