Tak perlu pengganti luar, Selangor perlu jelaskan misteri pemergian Conor Nestor kepada fans Gergasi Merah


  • Podium
  • Rabu, 09 Okt 2024

Nestor (kanan) kini tidak lagi bersama-sama Selangor.

SAAT kem Selangor FC dalam keadaan baik terutamanya dalam saingan Liga Super serta perjuangan mereka di Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), mereka dihimpit dengan berita pemergian pembantu kepada Nidzam Jamil iaitu Conor Nestor.

Pembantu jurulatih dari Ireland itu meninggalkan Selangor ketika pertengahan musim untuk menyertai kelab Kemboja, Boeung Ket FC.

Pemergiannya menimbulkan misteri dalam kalangan penyokong. Hal ini kerana, saat kelab Kemboja itu sudah mengumumkan ketibaannya, Selangor hingga kini masih membisu.

BACA LAGI: [VIDEO] Orang kuat Selangor tinggalkan Nidzam Jamil kembang karier di Kemboja, nama Marcote kembali jadi sebutan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya nak main untuk Selangor', Razman Roslan kata bukan hanya sebab Hamidin suruh keluar

Bagi Presiden Anak Selangor Fan Club (ASFC), Faizal Wahid, gergasi Liga Super itu sebenarnya 'berhutang' penjelasan dengan penyokong mengenai pemergian Nestor.

Walaupun Nestor bukanlah ketua jurulatih, tetapi tugasnya sebagai pembantu sangat penting dalam membantu Selangor bergerak sebagai pasukan yang digeruni.

"Sebagai penyokong tentunya tertanya-tanya apa sebabnya, mungkin Selangor kena beritahu (kepada penyokong) apa puncanya dan berikan penjelasan apa yang berlaku," kata Faizal kepada Majoriti.

Dengan perginya Nestor, ia pasti membuka ruang untuk Selangor mendapatkan pembantu baharu bagi menolong Nidzam.

Jika ia hendak diisi, Faizal berasakan tiada keperluan untuk Selangor mendapatkan pembantu baharu daripada luar. Cukup untuk Selangor menggunakan tenaga tempatan bagi menolong Nidzam.

"Sudah pasti bagi saya Nidzam Jamil tidak perlu dibantu oleh jurulatih dari luar kerana pada saya tidak begitu sesuai.

"Bagi saya, beri peluang kepada bekas pemain untuk bantu Nidzam," ujar Faizal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram