[VIDEO] Temui rentak lepas tinggalkan Terengganu, gol berkelas dunia Hakimi pikat hati fans


  • Podium
  • Khamis, 10 Okt 2024

Hakimi sudah diturunkan sebanyak dua kali dan mencetak satu gol sejak menyertai skuad Kijang Emas. — Facebook/KDN FC

PADA jendela perpindahan kedua Liga Super 2024/25, Kelantan Darul Naim (KDN) FC menjadi salah sebuah pasukan paling sibuk membawa masuk pemain baharu bagi memperbaiki kedudukan dalam carta.

Selain menggantikan beberapa import, skuad Kijang Emas turut menyambar khidmat bintang lokal yang kurang bersinar di kelab masing-masing dengan ada daripada mereka dibawa masuk secara pinjaman.

Antara rekrut kelab Pantai Timur itu ialah Hakimi Abdullah yang sebelum ini beraksi buat Terengganu FC, namun lebih kerap diletakkan di bangku simpanan berikutan lambakan pemain berkualiti.

BACA LAGI: Tonggak Sang Penyu ucap selamat tinggal, rugi kalau Kedah, Penang dan Kelantan tak sambar

BACA LAGI: Kurang hangat diperkatakan, 3 perpindahan tak cukup saga termasuk bintang muda JDT

2892436

Hakimi hanya diletakkan di bangku simpanan sepanjang setengah musim bersama skuad Sang Penyu.

Dia yang selesa beraksi sebagai penyerang sayap atau di belakang penyerang pernah mencuri nama sebagai prospek terhangat buat skuad Sang Penyu sebelum isu kecederaan berulang menimpanya.

Jadi, tidak hairanlah apabila sepanjang kempen musim ini, pemain berusia 24 tahun tersebut tidak pernah meraih penampilan dalam Liga Super sepanjang berada di bawah bimbingan Tomislav Steinbruckner.

Namun, situasi berbeza disaksikan sejak dia berkelana ke KDN FC dengan dia sudah diturunkan sebanyak dua kali, termasuk ketika pasukan berkenaan meraih kemenangan kedua dalam liga menentang Negeri Sembilan FC.

Menariknya, dia yang berada dalam kesebelasan utama menjadi watak penting dalam aksi di tempat lawan tersebut selepas meledak satu gol pada minit ke-14 menerusi rembatan kaki kiri dari luar kotak.

Percubaan berkenaan jelas mengelirukan penjaga gol skuad Jang, Aqil Razak yang gagal menepis bola untuk meletakkan skuad Kijang Emas di hadapan selain memberikan Hakimi gol pertama musim ini.

Malah, peminat bola sepak tanah air turut mengagumi jaringan berkenaan apabila ia diundi sebagai gol terbaik bagi minggu ke-12 Liga Super selepas meraih undian mencecah 62.11 peratus.

Perkara itu pasti akan menaikkan lagi motivasi pemain kelahiran Kelantan terbabit untuk kembali ke tahap terbaik setelah kira-kira tiga musim bergelut dengan isu kecederaan.

Dia juga sudah tentu akan terus meraih kepercayaan pengendali KDN FC, Park Jae-hong yang bercita-cita tinggi meletakkan pasukan Pantai Timur itu ke kedudukan lebih baik dalam carta.

Selepas ini, mereka akan berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan pada 18 Oktober dengan kemenangan akan membawa pasukan terbabit terikat dengan Kedah Darul Aman FC di tangga ke-11. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram