Hanya 300 tiket terjual lawan Kelantan, fans Kedah niat simpan duit untuk JDT


  • Podium
  • Jumaat, 12 Jul 2024

Antara gelagat penyokong Kedah ketika hadir ke stadium bagi memberikan sokongan untuk kelab tercinta. — Facebook/KDA FC

KURANG daripada enam jam sepak mula di antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) sambutan perlawanan itu tampak suram apabila hanya 300 tiket terjual setakat pukul 3:00 petang Jumaat.

Kedah yang melayani kunjungan Kelantan itu berada dalam momentum terbaik untuk mengutip tiga mata penuh selepas berjaya layak ke peringkat separuh akhir Piala FA baru-baru ini.

Namun begitu, Kijang Emas turut mempunyai misi sama untuk membawa pulang tiga mata penuh selepas hanya mencatatkan satu kemenangan dalam empat perlawanan terakhir Liga Super.

BACA LAGI: 'Sifu' Nafuzi Zain optimis, Milos Gordic jadi aset penting Kedah kutip 3 mata lawan Kelantan

BACA LAGI: 'Tak bayar gaji sejak awal liga', kelab Sang Utara turut alami masalah gaji?

Melihat sambutan yang tidak memberangsangkan daripada penyokong Sang Kenari, pihak kelab menerusi media sosial terpaksa mengajak pemain ke-12 turun ke stadium bagi memberikan sokongan buat pasukan kesayangan.

Pihak KDA FC mengharapkan 10,000 penyokong dapat hadir ke perlawanan menentang KDN FC yang dikendalikan oleh jurulatih Korea Selatan, Park Jae-hong.

Meskipun sudah diseru oleh pihak kelab, penyokong Kedah berpendapat mahu simpan duit untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 19 Julai nanti.

Ia sekali gus mungkin menjadi faktor utama penyokong Kedah tidak berminat untuk menyaksikan aksi menentang KDN FC.

"Mereka kata nak simpan duit untuk lawan JDT minggu depan, malam ini (12 Julai) tengok dekat television dulu," kata Muhd Afrod Khir.

"Simpan lawan JDT, duit tak cukup dah," ujar Asyraf Zainon.

"Mungkin mereka fikir juga, hari itu sampai 16,000 penyokong tapi tak ada gol," jelas Azwan Suhardi.

"Lawan JDT minggu depan mesti stadium penuh," luah Rafiqin Shafiee.

Dengan jualan semasa tidak sampai 1,000 tiket, pihak Kedah masih mengharapkan akan ada kejutan daripada penyokong Sang Kenari untuk turun memberikan sokongan keramat buat anak-anak buah Nafuzi Zain.

Untuk rekod, Kedah ketika ini berada di tempat kesembilan Liga Super dengan mencatatkan dua kemenangan dan seri dalam empat perlawanan terakhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram