Kurang hangat diperkatakan, 3 perpindahan tak cukup saga termasuk bintang muda JDT


  • Podium
  • Selasa, 03 Sep 2024

Musim 2021 adalah tahun terbaik Hakimi (dua dari kiri) bersama TFC apabila tampil dalam 21 perlawanan Liga Super, selain mencetak lima jaringan gol. — Facebook/TFC

JENDELA perpindahan kedua yang kini dibuka menyaksikan banyak pasukan tidak melepaskan peluang untuk merekrut wajah-wajah baharu bagi memperkukuhkan pasukan masing-masing.

Badan pengelola Liga Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberi peluang kepada semua pasukan yang berkelayakan untuk membawa masuk pemain baharu.

MFL memberikan tempoh pendaftaran kedua bermula 26 Ogos 2024 hingga 22 September 2024 bagi memberikan laluan kepada kelab memperkasakan pasukan masing-masing.

BACA LAGI: ‘Budak baik’ Australia sah milik Harimau Kumbang, berat dan tinggi persis legenda kelab zaman 90-an

BACA LAGI: Jendela perpindahan dah dibuka, tapi 3 kelab diramal duduk diam 'tak keluar modal'

Bagaimanapun, terdapat beberapa kelab yang kini 'senyap' dalam jendela perpindahan kedua ini antaranya Perak FC, Sri Pahang FC dan Kuching City FC.

Meskipun begitu, ada juga kelab yang sudahpun mengumumkan atau memberi bayangan bahawa kini sudah mendapatkan khidmat pemain baharu dalam skuad.

Bagaimanapun, fokus jendela perpindahan kali ini pastinya tertumpu kepada kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang rancak membawa wajah baharu.

Begitupun, terdapat kelab liga sebelum ini sudahpun membawa masuk beberapa wajah baharu untuk memperkuatkan pasukan masing-masing.

Justeru, Majoriti menyenaraikan tiga perpindahan pemain yang tidak begitu saga sehingga kurang diperkatakan peminat:

Hakimi TFC

Pemain sayap Terengganu FC, Hakimi Abdullah (kiri).

1. Hakimi Abdullah

Selepas hampir empat tahun berkelana bersama pasukan Terengganu FC (TFC), akhirnya Muhammad Hakimi Abdullah dilaporkan akan kembali ke pangkuan negeri kelahirannya, Kelantan.

Bekas pemain kebangsaan itu bakal beraksi bersama pasukan Kelantan Darul Naim (KDN) FC secara pinjaman sehingga berakhir saingan Liga Malaysia musim ini.

Berdasarkan rekod, pemain berketinggian 1.70 itu mula menyarung jersi TFC pada 2021 ketika bawah kendalian jurulatih kelahiran Kelantan, Nafuzi Zain.

Paling diingati pemain itu mencuri tumpuan dalam saingan Liga Super April 2021 apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-57 membantu TFC menewaskan pasukan gergasi, Harimau Selatan 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri, Johor.

Sepanjang empat tahun bersama Peteh, Hakimi merekodkan 50 penampilan, 10 gol dan empat bantuan gol mengikut data Transfermarkt.

Pedro

Kemasukan Pedro melengkapkan lapan pemain import dimiliki Sabah.

2. Joao Pedro

Sabah FC yang sebelum ini mengumumkan kehadiran pemain import terbaharu, Joao Pedro Boiera Duarte dijangka mampu menyelesaikan ketumpulan jentera bahagian serangan The Rhinos.

Pemain berusia 24 tahun itu telah mengikat kontrak selama sembilan bulan berkuat kuasa 15 Ogos hingga 30 April 2025.

Pedro sebelum ini menghabiskan kariernya di liga daerah Brazil, Campeonato Gaúcho bersama dua kelab Sociedade Esportiva Juventude (MA) dan Guarany de Bage FC sebelum mendapat peluang beraksi dalam liga divisyen keempat (Campeonato Brasileiro Serie D) negara itu.

Liga Vietnam antara kejohanan tertinggi buat Pedro bersama Viettel FC dan hanya sempat beraksi selama tiga bulan sebelum disambar pihak pengurusan Sabah.

Tierney

Tierney bintang baharu kelab Liga 2 Thailand, Chonburi FC. — Facebook/JDT

3. Fergus Tierney

Penyerang muda JDT, Fergus Tierney membuat kejutan apabila diumumkan sebagai bintang baharu kelab Liga 2 Thailand, Chonburi FC bagi membantu memperkasakan lagi jentera serangan pasukan itu.

Nama Tierney bukan lagi suatu yang asing buat para peminat bola sepak tempatan, selepas dia menyerlah buat JDT II di kejohanan Piala MFL sehingga akhirnya berhasil memikat kem skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara.

Selepas kira-kira seminggu bersama Chonburi, Tierney membuktikan sentuhan penyudahnya di saingan Liga Thailand apabila membuka akaun jaringan ketika aksi persahabatan menentang VRN Muangnont.

Selepas itu, penyerang berusia 21 tahun berkenaan diletakkan pula dalam kesebelasan utama sebanyak dua kali berturut-turut, termasuk ketika dia mencetak jaringan peribadi pertama saingan Liga Thailand ketika berdepan Dragon Pathumwan Kanchanaburi FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram