KDN FC pertaruh Valdumar segera akhiri kebuntuan jaringan


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Khamis, 25 Jul 2024

Valdumar sudah didesak untuk meninggalkan skuad Kijang Emas selepas gagal membawa pulangan memberangsangkan. — Facebook/Kelantan United FC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.

NAMA Valdumar Augusto belum lagi melekat di minda peminat bola sepak negara kecuali mungkin hanya penyokong Kelantan Darul Naim (KDN) FC. Sebab-sebabnya tidak sukar dimengertikan kerana selepas enam perlawanan, termasuk satu dalam aksi Piala FA, sentuhan pemusnah daripadanya masih dinanti-nantikan.

Namun, bekas penyerang antarabangsa Guinea-Bissau itu boleh dikira masih beruntung kerana kesabaran pegawai-pegawai pasukan – ketua jurulatih, Park Jae-hong, dan penolongnya Rezal Zambery Yahya – masih memihak kepadanya.

Buktinya, penyerang tengah berusia 26 tahun itu terus mendapat kepercayaan beraksi sepenuh masa dalam kelima-lima perlawanan liga setakat ini, termasuk 86 minit dalam aksi Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di tempat lawan pada 15 Jun.

BACA LAGI: TBG, TFC dan KDN antara kelab ideal pikat Allee Putra

BACA LAGI: Kemenangan ranapkan kelab Lembah Klang jadi motivasi penyerang KDN mahu patahkan sayap Sang Kenari

435976390_895199555953033_4001162062905849816_n

Valdumar masih belum menjaringkan sebarang gol buat skuad Sang Kijang Emas. Facebook/Kelantan United FC

Keserasiannya dengan rakan-rakan sepasukan juga didapati semakin baik, cuma Valdumar ditagih agar lebih klinikal dalam sentuhan penyudahnya – sesuatu yang diharap dapat ditunjukkannya ketika berdepan Perak FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam esok.

Kegagalan Valdumar menggegar jaring juga menceritakan perihal KDN FC baru menjaringkan tiga gol setakat ini ketika tewas 2-3 (jaringan Kim Ri-gwan dan Bae Kyung-hwan) kepada Sabah FC di Kota Bharu pada 17 Mei dan menang 1-0 ke atas PDRM FC, juga di Kota Bharu, hasil sepakan penalti Oday Kharoub pada 23 Jun.

Valdumar, pemain berketinggian 1.61 meter, bukanlah penyerang tempelan. Rekod 10 golnya daripada 28 perlawanan ketika bersama kelab Liga Super China, QD West Coast, sebelum perpindahannya ke Kota Bharu menunjukkan apa yang mampu dilakukannya.

“Ya kami masih ternanti-nantikan gol semangat daripadanya,” kongsi Rezal dengan Bola Pegun.

“Kami masih memberikannya peluang kerana dia baru mengharungi enam perlawanan bersama KDN FC.”

438159614_895904899215832_1969723003673967157_n

Rezal (kiri) dan Jae-hong pasti mengharapkan perubahan terhadap pasukan. Facebook/Kelantan United FC

Penolong ketua jurulatih itu tidak mahu terburu-buru menyalahkan Valdumar – penyerang yang memiliki gaya permainan mirip bekas penyerang Kuching City FC, Abu Kamara – kerana beranggapan kegagalan mendapatkan jaringan harus dipertanggungjawabkan kepada seluruh pasukan dan bukan kepada satu-satu pemain.

“Kita pun dah biasa dengar ada penyerang pasukan lain yang lambat panas tapi makin kerap jaringkan gol semakin lama musim berjalan. Kita harap Valdumar juga tergolong sebagai penyerang seperti itu yang menanti masa untuk menunjukkan nilai sebenar dirinya.

“Penyerang tidak mungkin mampu bertindak sendirian. Dia juga memerlukan sokongan baik rakan-rakan sepasukan untuk menghasilkan gol. Setakat ini dia telah menunjukkan usaha keras dalam latihan dan perlawanan... mungkin belum sampai tuahnya untuk meletakkan bola ke dalam jaring,” tambahnya.

Rezal yang kecewa dengan tahap kesungguhan pasukan ketika tunduk 0-3 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, Kedah pada 12 Julai lalu menuntut keseluruhan pemainnya – bukan sekadar Valdumar – meningkatkan permainan ketika berdepan Perak FC.

Sekembali dari Alor Setar, katanya, latihan terus dipertingkatkan setiap hari, termasuk memberi penekanan kepada barisan penyerang untuk lebih menghargai peluang dengan memanfaatkannya.

WhatsApp Image 2024-07-25 at 7.59.09 PM

Skuad Kijang Emas baru sahaja meraih satu kemenangan setakat ini. Facebook/Kelantan United FC

“Tiada perlawanan mudah dalam Liga Super. Lebih-lebih lagi apabila berdepan pasukan kuat, peluang yang didapati mungkin sedikit. Sebab itu setiap peluang perlu dihargai sebaik-baiknya untuk menghasilkan gol.

“Lawan Kedah tempoh hari, memang kita beraksi teruk sedikit. Pemain-pemain tak ikut seperti dirancang. Bila kena gol mudah, pasukan jadi makin tertekan dan bolos dua gol lagi selepas itu. Kita cepat sangat hilang fokus apabila Kedah sentiasa beri tekanan. Hujung-hujungnya kita berasa kecewa sangat,” katanya.

Daripada post-mortem yang dilakukan, cerita Rezal, pemain-pemain akur bahawa terlalu banyak kesilapan yang mereka lakukan di samping tahap kesungguhan juga menurun dengan mendadak apabila usaha mereka mendapatkan gol terus menemui jalan buntu.

Secara keseluruhannya, KDN FC hanya memiliki 38 peratus penguasaan bola dalam perlawanan itu untuk hanya mampu melakukan tujuh percubaan tetapi tiada satu pun tepat ke sasaran berbanding 17 percubaan dan tujuh tepat ke sasaran di pihak tuan rumah.

“Ia bukan sangat kerana kami bermain away. Kadang-kadang ia lebih kepada beberapa perincian kecil yang kita kekurangan. Saya selalu berpesan kepada pemain-pemain, selain menghadapi pasukan lawan, kita juga mesti berlawan dengan diri sendiri, macam mana nak menyesuaikan diri dengan keadaan ketika perlawanan,” katanya.

442471394_895199119286410_5301536206140391503_n

Rezal mendesak anak-anak buahnya untuk terus memberikan aksi terbaik. Facebook/Kelantan United FC

Pertemuan dengan Perak FC mungkin antara dua pasukan dalam kelompok bawahan liga ketika ini tetapi Rezal melihatnya sebagai teramat penting dalam menentukan hala tuju pasukan selepas ini.

“Dua-dua pasukan punya sama mata dan sama-sama nak menang. Bolehlah katakan ini perlawanan dua pasukan yang sama-sama terdesak.

“Tapi bermain di tempat sendiri, kita tak boleh kehilangan mata lagi. Kita kena bangkit semula dan mesti ada perubahan daripada pemain-pemain.

“Saya harap penyokong akan hadir beramai-ramai menyokong kita selepas kali terakhir KDN FC bermain di tempat sendiri menentang PDRM pada 23 Jun, dah lebih sebulan,” katanya.

Rezal tidak sekali-kali memperkecilkan cabaran skuad The Bos Gaurus (TBG) yang disifatkannya sebagai bukan sahaja pasukan yang baik, malah berbahaya berdasarkan keadaan terkini mereka.

“Apa pun, jangkaan kita ialah untuk menang kerana tiga mata akan membolehkan kita melangkau beberapa pasukan dalam carta liga,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram