PEMAIN sayap Terengganu FC, Hakimi Abdullah dikhabarkan bakal meninggalkan kelab Pantai Timur pada jendela perpindahan kedua nanti.
Meskipun belum ada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pasukan Terengganu namun pemain sayap kiri itu sudah memuatnaik ucapan selamat tinggal kepada penyokong dan rakan sepasukannya.
Hakimi memuatnaik ucapan berkenaan menerusi Instastory miliknya pada Rabu.
BACA LAGI: Sabah FC, NSFC dan Pantai Timur perlu bertindak segera berebut khidmat Kalamullah
BACA LAGI: Adik keeper pinjaman Perak ikut jejak langkah, mahu bukti bakat di pentas SUKMA
Tangkap layar Insta Story Hakimi Abdullah.
"Untuk yang terakhir dalam skuad, selamat tinggal TFC, ada rezeki jumpa lagi," tulisnya.
Meskipun Hakimi tidak mendedahkan identiti majikan baharunya namun terdapat beberapa kelab Liga Super dijangka akan menjadi destinasi baharu pemain berkenaan.
Sepanjang empat tahun bersama Peteh, Hakimi merekodkan 50 penampilan, 10 gol dan empat bantuan gol mengikut data Transfermarkt.
Walau bagaimanapun, Hakimi tidak merekodkan sebarang penampilan dalam Liga Malaysia (Liga M) 2024/25 kerana menghadapi persaingan sengit untuk merebut slot pemain sayap.
Bukan sahaja bersaing dengan dua bintang Harimau Malaya, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid, malah Hakimi juga perlu menghadapi saingan sengit dengan Nor Hakim Hassan, Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim dan Syafik Ismail.
Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga kelab tanah air yang perlu memanfaatkan peluang itu untuk memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.
1. Kedah Darul Aman FC
Kedah Darul Aman (KDA) FC dianggap menjadi pasukan sesuai untuk menggunakan khidmat Hakimi dengan pengendalinya sebelum ini, Nafuzi Zain sering memberi kepercayaan kepada anak jati Kelantan itu untuk menjadi 'super sub'.
Di bawah kendalian Nafuzi sebelum ini, Hakimi mencetak tiga gol dan dua hantaran bantuan dalam sembilan aksi Liga Super dia diturunkan pada musim 2022/23.
Malah, Hakimi menjadi satu-satunya pemain yang berjaya meleburkan rekod tanpa kalah Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super bagi musim 2021.
Kebergantungan terhadap Milos Gordic dan Syafiq Ahmad belum menghasilkan keputusan seperti diharapkan, sementara Ebenezer Assifuah kerap diketepikan atas sebab tersendiri.
Melihat kepada prestasi cemerlang bersama Nafuzi, sudah pasti kem Sang Kenari antara destinasi yang sesuai buat pemain sayap berketinggian 1.70 meter itu.
Pemain sayap Terengganu FC, Hakimi Abdullah (kiri).
2. Penang FC
Penang FC antara pasukan Liga M yang kini dilihat memerlukan penyerang tempatan bagi memperkuatkan barisan serangan menjelang jendela perpindahan kedua nanti.
Ia berikutan kerana sejak kebelakangan ini, Harimau Kumbang sering kurang bernasib baik apabila melibatkan penyerang import yang dianggap kurang menyerlah.
Hanya mencetak sembilan gol selepas lapan perlawanan Liga Super musim ini, Penang nyata amat memerlukan seorang penyerang untuk membantu skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli itu.
Dalam pada itu, dengan pengalaman dan kepantasan yang ada pada Hakimi, sudah pasti dia akan membantu menyelesaikan masalah pasukan tersebut.
Penang FC pastinya memerlukan khidmat Hakimi kerana dilihat mampu mengucar-ngacirkan benteng pertahanan pihak lawan.
Hakimi Abdullah sering mencetak gol sebagai pemain gantian.
3. Kelantan Darul Naim
Kelantan Darul Naim FC antara kelab tempatan yang wajar menyambar khidmat pemain sayap berusia 24 tahun itu ketika ini.
Menghuni tangga tercorot liga ketika ini, sudah pasti Kelantan memerlukan ramuan baharu bagi memperbaiki kedudukan dalam liga.
Dalam pada itu, ia adalah masa sesuai untuk skuad Kijang Emas itu menyambut kehadiran Hakimi sebagai pemain sayap baharu untuk membantu mempertajamkan jentera serangan Harimau Kumbang.
Hakimi yang pernah menjadi wira buat Sang Penyu dilihat berpeluang untuk memperbaiki prestasinya yang sekali gus membantu Kelantan mencetak jaringan sekiranya menyertai kelab tersebut.
Jaringan pemain sayap kiri itu membantu skuad Sang Penyu menewaskan Harimau Selatan dengan keputusan 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim dan ia adalah kekalahan pertama yang direkodkan di laman JDT.
Meskipun jarang diturunkan sebagai kesebelasan utama ketika bersama TFC namun Hakimi sering mencetak gol sebagai pemain gantian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram