Jurulatih KDN FC lari ke dalam terowong bila NSFC dapat penalti kedua tapi…


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Sabtu, 28 Sep 2024

Rezal berkata, kebangkitan NSFC untuk mengikat kedudukan 2-2 selepas jaringan Hakimi dan Ri-gwan tidak mengubah keyakinannya.

BOLA PEGUN kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

REZAL Zambery Yahya berkongsi bahawa dia masuk ke terowong pemain dan enggan menyaksikan sepakan penalti kedua Negeri Sembilan FC ketika permainan masa sebenar hanya berbaki lima minit di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat.

Pada penolong ketua jurulatih Kelantan Darul Naim (KDN) FC itu, kecewa ya, marahnya pun bertepatan kerana sepakan penalti itu atas ulangan faul dilakukan pemain pertahanannya, Ghaffar Abdul Rahman, yang disempurnakan oleh Jacque Faye membuka laluan untuk tuan rumah bangkit merapatkan kedudukan kepada 1-2.

Lebih dahulu, faul oleh Ghaffar pada minit ke-63 menghadiahkan sepakan penalti yang bagaimanapun disia-siakan oleh Ricardo Pires dengan sepakan yang mirip kepada satu conversion ragbi. Ia harus satu pengalaman terburuk buat pemain import dari Brazil itu dalam debut bersama skuad Jang.

BACA LAGI: Sorakan mak cik petir tak berjaya halang Perak pesta gol di Temerloh

BACA LAGI: 'Masih lemah kawal permainan', fans Gergasi Merah tak puas hati biarpun Selangor bawa pulang 3 mata

“Saya keluar bila sepakan (penalti kedua) itu hendak diambil. Saya tak nak tengok kerana tak tertahan rasa marah ketika itu,” katanya.

Pengadil, Fitri Maskon, memberikan sepakan penalti itu selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) dan melayangkan kad kuning terhadap pemain pertahanan, Michal Jerabek, kerana membantah keputusannya.

“Kami sedang mendahului selesa 2-0 dan sepatutnya ‘membunuh’ permainan apabila semua itu berlaku. Bukan satu tapi dua sepakan penalti dihadiahkan kepada lawan, pada saya itu sedikit keterlaluan. Tergerak juga hati apakah tiada rezeki lagi (raih kemenangan) untuk kami kali ini.

“Tapi saya tak salahkan pemain pertahanan saya (Ghafar). Dalam situasi bola mati, tolak-menolak dan tarik-menarik dalam kotak penalti perkara biasa. Cuma dia tak bernasib baik dihukum pengadil... bukan sekali tapi dua,” katanya kepada Bola Pegun.

Sepakan penalti itu membakar semangat pemain-pemain NSFC untuk terus mengasak dan memperoleh gol kedua mereka menerusi tandukan Sebastian Avanzini daripada sepakan sudut Hadin Azman pada minit ke-89 bagi mengikat kedudukan 2-2.

Namun, malang buat tuan rumah itu dan ketua jurulatihnya, K. Nanthakumar – yang masih ketiadaan kemenangan dalam empat perlawanan mengendalikan pasukan selepas mengambil alih daripada Azzmi Aziz, 15 Ogos lalu – kerana KDN FC punya rencana kebangkitannya sendiri.

Daripada satu sepakan percuma di sebelah kiri petak penalti pasukan tuan rumah selepas Fazrul Amir dikasari, kapten skuad Kijang Emas, Oday Kharoub, melencongkan sepakannya yang tidak disentuh mana-mana pemain, termasuk penjaga gol, Aqil Razak, lalu menerjah ke jaring, empat minit dalam masa pemberhentian untuk kemenangan 3-2.

“Bilik persalinan kami macam nak runtuh dengan teriakan pemain selepas perlawanan, maklumlah kami dah lama tak menang. Dua pemain pertahanan, Ghaffar dan Jerabek yang dapat kad kuning (digantung untuk perlawanan selepas ini), minta maaf atas kesalahan masing-masing.

“Tapi semua itu dah dilupakan dalam keseronokan pemain-pemain meraikan kemenangan ini. Ya, ia suatu perasaan yang sama-sekali berbeza bila menang. Dan bagi saya, kami memang berhak kepada tiga mata ini,” tambahnya.

Rezal berkata kebangkitan NSFC untuk mengikat kedudukan 2-2 selepas jaringan Hakimi Abdullah (m-14) dan Kim Ri-gwan (m-37) tidak mengubah keyakinannya bahawa kemenangan kedua yang dicari-cari – selepas menundukkan PDRM FC 1-0 pada 23 Jun lalu – masih dalam jangkauan mereka.

“Memang ada rasa ralat sedikit selepas membenarkan lawan kembali dalam permainan. Tapi saya tengok komitmen pemain tak kendurkan permainan. Dari awal, pemain-pemain menunjukkan mentaliti untuk menang.

“Syukur sangat-sangat kerana penambahbaikan yang dilakukan dalam jendela perpindahan kedua dah mula menunjukkan hasil. Tentunya kemenangan ini beri kami semangat untuk terus perbaiki kedudukan,” katanya.

KDN FC sebelum ini menamatkan kontrak Chadrack Muzungu, Valdumar Augusto Te dan David Ribera dan membawa masuk Layth Kharoub, Washington Brandao dan Aung Kaung Mann dalam usaha mengukuhkan pasukan dalam fasa yang dianggap angin perubahan kedua.

“Dengan berbaki 14 perlawanan lagi dalam liga yang masih panjang (sehingga April tahun depan), hasrat kami ialah menggunakan setiap kesempatan yang ada untuk memperbaiki kedudukan,” katanya yang mengakui dua tonggak import, Oday dan Jerabek, sengaja tidak disenaraikan dalam perlawanan dengan JDT seminggu lalu.

Ini bagi mengelakkan layangan kad ke atas kedua-duanya yang akan mengakibatkan penggantungan dalam aksi berdepan Negeri Sembilan FC.

“Nampaknya perancangan kami merehatkan kedua-duanya dalam perlawanan dengan JDT itu berhasil. Tapi dengan kad kuning terbaru Oday dan Jerabek (ketika menentang NSFC), kedua-duanya tidak boleh diturunkan apabila bertemu KL City (di Kota Bharu pada 18 Oktober),” tambahnya.

Bagi Rezal, biarlah perkara itu dibimbangkan kemudian kerana ketika ini KDN FC mahu meraikan dahulu kemenangan terbaru mereka yang mengirimkan NSFC ke dasar liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram