Jurulatih baharu, semangat pun baharu, tapi bersedialah untuk apa saja


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Rabu, 24 Apr 2024

Nidzam Jamil dilantik sebagai pengganti Cheng Hoe pada musim depan.

BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.

Datuk Lim Teong Kim, sama seperti jurulatih baharu bersama pasukan-pasukan dalam saingan Liga Super 2024/25, menanti permulaan musim baharu dengan penuh harapan. Cuma, keutamaannya berbeza selepas apa yang didakwanya pemecatan secara tidak adil oleh Perak FC pada 25 Mei 2023.

Dia tidak pernah menduga kesudahan seperti itu yang akan menimpanya selepas Perak FC dan dirinya bersetuju dari awal untuk menampilkan pasukan dengan diperkuatkan pemain muda tempatan dan harus menunggu sehingga penghujung kontrak dua tahun jurulatih itu untuk melihat hasilnya.

"Tapi rupa-rupanya sesetengah orang tidak punya kesabaran dan enggan hormati proses. Disebabkan tekanan penyokong dan mahukan kejayaan segera, perancangan asal untuk bergantung kepada pemain muda dicampak ke luar tingkap. Kesudahannya hanya jurulatih dipersalahkan dan tiada sesiapa yang lain mahu ambil tanggungjawab,” katanya dalam perbualan telefon dari Munich, Jerman baru-baru ini.

Teong Kim, yang mengharapkan keadilan akan memihaknya dalam tuntutan pampasan di Mahkamah Perusahaan dalam masa terdekat ini, tidak memberi nasihat secara khusus kepada jurulatih pasukan Liga Super pada musim baharu bermula bulan depan tapi secara tersirat bermaksud jurulatih kesudahannya hanya menyerahkan nasib kepada belas ihsan majikan.

Musim lalu, sekurang-kurangnya enam jurulatih dipecat -- atau mengikut istilah dalam liga domestik sebagai “direhatkan”. Apa pun istilah digunakan, ia bermaksud jurulatih terbabit dilucutkan daripada tanggungjawab dan gaji untuk terus mengendalikan pasukan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Lagi penting ilmu di kepala, berbanding warna rambut', Subramaniam tegur Harimau Muda

Moon-sik

Moon-sik menjadi jurulatih pertama dipecat dalam Liga M musim lepas.

Kelantan FC mendahului giliran musim lalu dengan merehatkan jurulatihnya dari Korea Selatan, Choi Moon-sik, pada 4 Apr 2023 selepas hanya enam perlawanan. The Red Warriors ketika itu hanya mencatat satu kemenangan, seri sekali dan tewas empat kali untuk menghuni tangga ke-11 dengan hanya empat mata.

“Pasukan ini nampak hebat dari luar tetapi bahagian dalaman mereka lebih teruk daripada pasukan amatur,” kata Leo Jeong, ejen yang membawa Moon-sik ke Kelantan. “Mereka telah memecat jurulatih dan memilih pemain untuk perlawanan tanpa merujuk kepada ketua jurulatih.”

Dengan memanjangkan kes pemecatannya kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Moon-sik memenangi kes tuntutan ke atas bekas majikannya itu yang perlu membayarnya pampasan gaji selama semusim selain memulangkan kos tiket penerbangan pulangnya ke Korea.

Frank Bernhardt yang didatangkan sebagai pengganti Moon-sik, turut mengalami nasib serupa pada 21 Jun 2023. Lebih malang, dia dilaporkan mengharungi kesempitan hidup di ibu kota dan terpaksa menginap di sebuah stor milik rakannya sementara menanti Kelantan FC membelikannya tiket penerbangan pulang ke Jerman. Laporan itu kemudian dinafikan Bernhardt.

‘Trend’ penyisihan jurulatih kemudian menimpa Teong Kim, Tomas Trucha (Kelantan United FC) dan Azzmi Aziz (PDRM FC).

Penang FC paling terkemudian merehatkan jurulatih, Chong Yee Fatt, dan penolong jurulatih, Manzoor Azwira Abdul Wahid, pada 7 Nov lalu susulan kegagalan skuad Harimau Kumbang itu melayakkan diri ke final Piala Cabaran MFL dan prestasi membimbangkan dalam Liga Super. Akmal Rizal Ahmad Rakhli dinamakan sebagai jurulatih sementara bagi baki tiga perlawanan musim lalu.

Akmal Rizal

Akmal akan membimbing Penang FC pada musim depan.

Bagi musim baharu ini, Akmal yakin Penang FC yang membariskan lima pemain baharu, enam pemain dari skuad bawah 23 tahun dan 14 pemain dikekalkan dari skuad musim lalu dapat bersaing secara sihat untuk merebut slot kesebelasan utama.

"Saya harap pemain sudah bersedia untuk bersama-sama saya untuk kita gabungkan satu elemen baharu dalam bola sepak Pulau Pinang dan seperti apa yang semua sudah lihat pengumuman sebelum ini, kita ada ramai pemain muda berpengalaman.

"Bagaimanapun, saya tak boleh lagi meletakkan sasaran (kedudukan) sebab kita perlu realistik dengan pemain serta apa yang kita ada dengan hanya tinggal dua pemain import yang belum diumumkan," kata bekas penyerang kebangsaan berusia 42 tahun itu baru-baru ini.

Di mana Akmal enggan menetapkan sasaran, jurulatih baharu Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Park Jae-hong, pula menuntut pemain-pemainnya mengakhiri musim dalam kelompok lima teratas – satu peningkatan amat ketara dibandingkan dengan tangga ke-12 musim lalu ketika pasukan itu masih bergelar Kelantan United FC.

"Saya akan memastikan pasukan ini melonjak sekurang-kurangnya berada dalam senarai tengah dalam kalangan pasukan lawan," kata jurulatih dari Korea Selatan itu yang bagaimanapun mengakui banyak yang perlu diperbaiki selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pasukan KDN FC di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Jumaat lalu.

Miroslav Kuljanac, pengganti Nenad Bacina sebagai jurulatih Kuala Lumpur City (KL City) FC pula berharap untuk meneruskan legasi Bojan Hodak dalam terus mengangkat skuad warga kota itu selaku antara pencabar gelaran di sebalik bajet terhad.

“Kami adalah sebuah kelab yang sedang membangun dengan jiwa besar yang dapat bersaing pada tahap tertinggi seperti mana yang kami lakukan sepanjang tiga musim lepas. Kami percaya dapat memberi sesuatu untuk menceriakan penyokong KL City,” katanya.

BACA LAGI: Tenang, ciri-ciri midfield sebenar antara kriteria dimiliki Nooa Laine bantu Selangor cabar takhta Liga Super

Azzmi Aziz

Azzmi menyambung kerjaya kejurulatihannya bersama Negeri Sembilan selepas dipecat PDRM.

Azzmi, yang dapat menyambung kerjaya kejurulatihannya bersama Negeri Sembilan FC selepas dipecat PDRM FC secara penuh kontroversi pertengahan musim lalu, harus mempunyai sesuatu yang mahu dibuktikannya musim ini.

Pernah melatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan pada 2020-2022, pelantikannya diumpamakan dengan sirih pulang ke gagang. Harap-harap itu dibuktikan benar pada penghujung musim nanti berbanding hanya cakap kosong.

"Beberapa pemain lama seperti Nasrullah Hanif, Barathkumar, Afiq Fitri dan Amirul Hakimi pernah bersama saya sebelum ini.

"Adalah sangat penting untuk saya bekerja dengan pemain yang saya kenal. Berbekalkan sokongan semua pihak, Insya-Allah kami akan dapat persembahkan bola sepak yang lebih baik dan mendapat keputusan lebih," katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

"Saya hanya mengikuti program yang diberikan oleh (Tan) Cheng Hoe sebelum dia berpindah ke (kelab Police Tero) Thailand," kata Nidzam Jamil pula, yang di bahunya tergalas harapan besar untuk mengulangi kecemerlangan tampil selaku naib juara liga musim lalu selain menyasarkan satu piala.

"Kami menghormati keputusannya (Cheng Hoe mencari cabaran baru). Menjadi tugas saya sekarang untuk memastikan semua orang berada dalam arah yang sama semasa pramusim. Semua orang dalam pasukan tahu apa peranan mereka untuk musim baharu," katanya seperti dipetik The Star.

Barangkali paling tidak dicemburui pencabar ialah Hector Bidoglio yang dilantik semula sebagai jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) menggantikan Esteban Solari yang kini menjaja kemahirannya di Chile.

Bukan pun seorang jurulatih baharu buat kelab itu, Bidoglio, jurulatih JDT dari Julai-November 2022 sebelum menjadi pengarah teknikal, hanya perlu mengenakan semula pakaian seragam lamanya untuk mengecapi semula rentetan kejayaan seperti musim-musim terdahulu.

“Hector pernah berkhidmat seketika sebagai ketua jurulatih JDT dari Julai-November 2022 sebelum menjadi Pengarah Teknikal JDT. Beliau telah membimbing Harimau Selatan menjadi juara dalam Liga Super Malaysia, Piala Malaysia dan Piala FA pada tahun lepas (2022),” tulis Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards, dalam pengumuman pada 29 Disember 2023.

Selebihnya umpama memenuhi formaliti.

Namun, seperti yang diungkapkan Teong Kim awal tadi, kesudahan buat seorang jurulatih tetap bergantung kepada belas ihsan majikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram