Penat tunggu status Wan Kuzain, kehadiran ‘ubi muda’ Selangor, JDT pengubat hati ekor HM jumpa New Zealand


  • Podium
  • Khamis, 03 Okt 2024

Haykal Danish ketika aksi kelayakan Piala Asia B-20 tahun baru-baru ini. — Facebook/HaykalDanish

PASUKAN kendalian Pau Marti Vicente tampak berani mempertaruhkan dua pemain muda menjelang perlawanan menentang New Zealand bagi menghadapi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium North Harbour, Auckland pada 14 Oktober 2024.

Dalam senarai 27 pemain yang dipanggil ke kem latihan, Pau Marti bersama pembantunya iaitu Juan Torres Garrido memberi kepercayaan kepada 'ubi muda' Selangor FC, Haykal Danish Mohd Haizon dan penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Haziq Aiman Mohd Esa.

Dua pemain berkenaan merupakan antara tonggak yang menyerlah dalam kelayakan Piala Asia B-20 tahun baru-baru ini meskipun Malaysia gagal untuk melayakkan diri ke saingan tahun hadapan.

BACA LAGI: 'Belajar dengan kelab Eropah', fans lepas geram terhadap admin KDN, tak pasal-pasal didenda MFL

BACA LAGI: Perubahan tarikh Piala AFF sukarkan MFL 'adjust' jadual baki musim 2024/25

Kehadiran dua pemain muda yang masing-masing beraksi bersama pasukan Bawah-23 (B-23) tahun itu nyata mendapat pujian daripada peminat bola sepak domestik dengan ramai beranggapan ia boleh menjadi platform terbaik untuk memberi mereka pengalaman berbeza.

Bukan itu sahaja, sesetengah 'pemain ke-12' Harimau Malaya juga melihat memberi peluang kepada pemain muda seperti Haykal Danish dan Haziq Aiman jauh lebih baik daripada menunggu status pemain warisan yang tidak pasti.

"Bagus juga panggil pemain muda, sekurang-kurangnya dapat juga mereka merasai pengalaman berlatih dengan pemain utama," kata penyokong Harimau Malaya, Roslan Ali.

"Wahhhh ada Haykal Danish, permata baharu bola sepak tanah air ini, inshaaALLAH boleh jadi Arif Aiman yang seterusnya," tambah penyokong skuad kebangsaan, Muhammad Rafie.

"Mana Wan Kuzain (Wan Ahmad Kamal) itu mana? Tapi tidak apa ada pemain muda macam Haykal Danish," kata peminat Harimau Malaya, Bujang Senang yang masih menunggu status pemain warisan berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzain.

Nama Wan Kuzain dicari-cari penyokong skuad kebangsaan selepas Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mendedahkan keinginan pemain berkenaan untuk membantu memperkuatkan Harimau Malaya.

Bagaimanapun, kecederaan yang dialami tonggak liga profesional Amerika Syarikat bersama St Louis City 2 itu merencatkan proses untuk Malaysia menggunakan khidmat pemain tengah kreatif dan berpengalaman itu.

Selain itu, penjaga gol Selangor FC, Azim Al Amin Kamaruddin juga merupakan satu lagi wajah baharu yang dipanggil ke kem Harimau Malaya selepas cemerlang membantu Gergasi Merah mengutip satu mata menentang Muangthong United dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

azim

Azim mempamer persembahan baik berdepan Muangtong. — Facebook/SelangorFC

Dalam pada itu, Pau Marti memilih untuk mengekalkan seramai 23 daripada 26 pemain dari skuad yang menjuarai Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada September lepas.

Pemain tengah Sabah FC, Stuart Wilkin yang tidak bersama pasukan ketika Pestabola Merdeka 2024 susulan kecederaan dialaminya juga kembali dipanggil ke kem latihan induk untuk menentang New Zealand nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram