Akui sukar tolak peluang kembali ke Liga Super, bintang NSFC tak sabar gempur kubu Kuching City


  • Podium
  • Isnin, 07 Okt 2024

Avanzini (tiga dari kiri) sudah menjadi watak utama buat skuad Jang selepas menyertai kelab itu pada jendela perpindahan kedua musim ini. — Facebook/Negeri Sembilan FC

TONGGAK baharu Negeri Sembilan FC, Sebastian Avanzini akui berasa teruja apabila diberikan tawaran kembali mewarnai saingan Liga Malaysia, apatah lagi setelah menampilkan aksi cemerlang dalam dua perlawanan setakat ini.

Sepanjang diturunkan untuk kelab berkenaan, pemain itu tidak menunggu lama untuk memberikan impak dengan dua gol sudah dicatatkan, iaitu ketika berdepan Penang FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC.

Pemain berusia 29 tahun itu juga menegaskan peluang beraksi dalam Liga Super sukar ditolak dengan sumbangannya cukup ditagih skuad Jang yang berada di kedudukan tercorot ketika ini.

BACA LAGI: Nanthakumar tampil selaku penyelamat musim buat Negeri Sembilan FC

BACA LAGI: Kelantan Darul Naim FC sasar angin perubahan kedua

461498350_977841794356537_918748570193620139_n

Avanzini (kiri) memulakan karier bersama skuad Jang dengan langkah kanan. — Facebook/Negeri Sembilan FC

"Memang ada dalam perancangan saya untuk meneruskan karier kembali dalam Liga Malaysia. Jadi, saya boleh katakan tawaran dari Negeri Sembilan ini hadir pada waktu yang tepat.

"Meskipun sebelum ini saya tidak mempunyai kontrak bersama mana-mana kelab, namun saya tetap disiplin menjaga kecergasan dan sentiasa mengisi masa lapang dengan bermain bola sepak," katanya.

Sebelum beraksi untuk skuad Jang, Avanzini juga berpengalaman dalam Liga Super ketika meluangkan tempoh semusim beraksi buat Kuala Lumpur (KL) City FC dengan dia membantu mereka layak ke pentas akhir Piala Malaysia 2023.

Walaupun tidak memberikan ancaman kerap di hadapan pintu gol lawan, pemain kelahiran Itali berkenaan sering memikul peranan untuk mengawal momentum pasukan semasa situasi menyerang.

Ketika ditanya berkenaan cabaran beraksi dalam kancah bola sepak negara, Avanzini menyatakan bahawa Liga Super kini semakin kompetitif sambil sempat meluahkan perasaan gembira melihat perkembangan akar umbi yang sedang berlaku.

461436210_18281194669233453_8292398041547740746_n

Skuad The Cats tidak boleh dipandang enteng musim ini. — Facebook/Kuching City FC

"Sentiasa ada banyak perkara baik yang boleh diambil daripada liga ini. Secara peribadi, Malaysia adalah sebuah negara yang memiliki pembangunan bola sepak yang baik dan banyak bakat tempatan yang mampu digilap.

Malah, Avanzini juga tekad untuk membantu Negeri Sembilan FC kembali mendaki carta Liga Super, sekali gus menjadi pencabar kepada pasukan-pasukan lain.

"Sasaran kelab dan sasaran saya adalah sama. Itu sebabnya saya menandatangani kontrak di sini. Kami tahu bahawa kami tidak seharusnya berada di kedudukan kedua terakhir dalam liga.

"Saya rasa tiada pasukan yang mahu berada di situ jadi kami akan mencuba sehabis baik untuk membawa Negeri Sembilan kembali berada di landasan yang tepat," katanya.

Ketika ini, skuad Jang yang dikendalikan K Nanthakumar berada di kedudukan tercorot Liga Super dengan hanya lima mata dikutip selepas mengharungi 11 perlawanan.

Mereka selepas ini akan berdepan Kuching City FC yang merekodkan keputusan cemerlang untuk membolehkan mereka berada di kedudukan keenam hasil 14 mata yang dikutip. — MFL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram