[VIDEO] Rekod JDT, Kedah, Terengganu 'tiup semangat' buat Selangor tak perlu gentar bertemu wakil Filipina di laman sendiri


  • Podium
  • Rabu, 02 Okt 2024

Skuad Gergasi Merah pasti mahu meneruskan rentak cemerlang dalam saingan peringkat kumpulan ACL2. — Facebook/Selangor FC

SELEPAS memulakan aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 dengan keputusan seri, tiga mata penuh sudah tentu ditagih Selangor FC dalam perlawanan di laman sendiri pada Khamis ini.

Mereka yang berkunjung ke Thailand minggu lalu untuk berdepan Muangthong United hanya boleh berpuas hati dengan satu mata yang masih belum cukup di mata penyokong.

Jadi, keputusan lebih baik sudah tentu diharapkan dapat direkodkan ketika kelab Lembah Klang berkenaan menerima kunjungan wakil Filipina, Cebu FC di Stadium MBPJ, Selangor.

BACA LAGI: [VIDEO] Kukuhkan benteng Gergasi Merah, Nidzam Jamil yakin Niko Jambor boleh beri 'real fight'

BACA LAGI: Kutip satu mata berharga, Ronnie jangka aksi lebih sukar buat Selangor

460616411_1050370713761323_8672114331125500032_n

Keputusan seri 1-1 dicatatkan ketika skuad Gergasi Merah berdepan Muangthong United. Facebook/Selangor FC

Kelebihan sudah tentu berpihak kepada tuan rumah memandangkan lawan mereka itu mengalami kekalahan teruk 0-6 dalam aksi pembukaan menentang Jeonbuk Hyundai Motors dari Korea Selatan.

Bagaimanapun, situasi terlalu yakin kerap memakan diri buat Selangor FC yang tewas sebanyak beberapa kali ketika berdepan pasukan yang kurang memberi ancaman.

Tetapi, melihat kepada rekod terdahulu, pasukan Liga Super tidak pernah berdepan sebarang kesukaran semasa menerima kunjungan kelab Filipina dalam mana-mana pertandingan anjuran AFC.

Melihat kepada rekod terdahulu, berikut merupakan tiga keputusan positif dicatatkan pasukan tanah air ketika berdepan lawan dari negara itu beberapa tahun kebelakangan ini.

1. JDT 7-2 Kaya FC

Sebelum menjadi pasukan regular dalam kempen ACL, Johor Darul Ta'zim (JDT) kerap bersaing dalam Piala AFC dengan aksi berdepan pasukan sekitar Asia Tenggara.

Wakil dari Filipina merupakan antara lawan yang pernah dihadapi skuad Harimau Selatan sepanjang bersaing dalam pertandingan tersebut, seperti ketika pertembungan di pusingan 16 pasukan pada 2016.

Ketika itu, mereka yang beraksi di Stadium Larkin, Johor menerima kunjungan Kaya FC dengan kelebihan berpihak kepada JDT yang mencatatkan kemenangan dalam semua aksi peringkat kumpulan.

Jadi, seperti diramal, skuad Harimau Selatan tidak berdepan sebarang masalah apabila mereka mudah menundukkan lawan mereka berkenaan dengan kemenangan 7-2 direkodkan.

Penyerang kelahiran Argentina, Juan Martin Lucero mencuri perhatian dalam pertembungan itu dengan jaringan hatrik berjaya dicatatkan sementara Azamuddin Akil menjaringkan dua gol.

Jorge Pereyra Diaz serta Mahali Jasuli turut pulang dengan gol peribadi masing-masing yang menyaksikan JDT mara ke pusingan seterusnya sebelum perjalanan mereka dalam Piala AFC 2016 berakhir di tangan kelab India, Bengaluru FC.

2. KDA FC 4-1 Kaya Iloilo

Kedah Darul Aman (KDA) FC juga memiliki pengalaman beraksi di pentas Asia dalam beberapa tahun kebelakangan ini ketika mereka masih merupakan pencabar utama Liga Super.

Bagaimanapun, pada kempen terakhir mereka di peringkat berkenaan, skuad Sang Kenari menutup perjalanan dengan kekecewaan selepas disingkirkan kelab Indonesia, PSM Makassar.

Namun, kenangan manis masih sempat dilakar ketika kelab Utara tanah air itu berdepan Kaya Iloilo di peringkat kumpulan Piala AFC 2022 di Stadium Darul Aman, Kedah.

290147822_453736499921039_54217827478359009_n

Skuad Sang Kenari tidak berdepan masalah ketika menundukkan Kaya FC. Facebook/KDA FC

Perlawanan itu boleh dikatakan 'wajib menang' buat Kedah yang tewas dalam aksi pembukaan menentang Bali United dengan tiga mata penuh adalah satu-satunya cara bagi mereka lolos ke pusingan seterusnya.

Harapan berkenaan mudah dicapai anak-anak buah Aidil Sharin Sahak yang mencatatkan kemenangan 4-1 dengan pemain sayap, Fayadh Zulkifli Amin menyumbat dua gol.

Dua lagi jaringan dalam aksi itu dicatatkan Mahmoud Al-Mardi dan Ronald Ngah Wanja dengan kejayaan itu menaikkan lagi semangat skuad Sang Kenari dalam aksi berbaki berdepan Visakha FC dari Kemboja.

3. Terengganu 2-2 Stallion Laguna

Penantian skuad Sang Penyu untuk beraksi di pentas Asia berakhir pada musim lalu hasil kejayaan pasukan Pantai Timur tersebut menamatkan kempen Liga Super 2022 di tangga kedua.

Cabaran cukup hebat menanti Terengganu FC di peringkat kumpulan kerana mereka diundi dalam kumpulan yang mengandungi Central Coast Mariners (Australia), Bali United (Indonesia) dan Stallion Laguna (Filipina).

Meskipun skuad Sang Penyu memiliki kualiti tersendiri, kebolehan lawan dihadapi tidak boleh dipandang remeh, lebih-lebih lagi kerana mereka sudah lama tidak beraksi di pentas Asia.

395890984_318729860868455_3537092334364773871_n

Skuad Sang Penyu berkongsi mata ketika berdepan Stallion Laguna. Facebook/Terengganu FC

Bagaimanapun, mereka tidak berdepan sebarang masalah apabila tidak mengalami sebarang kekalahan meskipun rekod itu hampir dicalarkan Stallion Laguna dalam aksi berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

Gol Sony Norde dan Adisak Kraisorn pada penghujung babak pertama dan kedua membolehkan Terengganu FC mengekalkan prestasi cemerlang selepas mengharungi tiga perlawanan.

Keputusan positif itu bagaimanapun gagal membantu skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner untuk mara ke pusingan seterusnya apabila mereka hanya berada di kedudukan naib johan kumpulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram