Bangkit daripada jadi mangsa buli, bekas pemain Harimau Muda kini bina syarikat tumpu bangunkan MMA di Malaysia


  • Bizz
  • Selasa, 01 Okt 2024

Chee yang juga bekas petarung MMA kini giat mendokumentasikan dan menganjurkan acara pertarungan melalui syarikatnya, Southpaw.

SEBAGAI seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, Dan Chee sering menjadi mangsa buli oleh pelajar lebih senior di sekolahnya.

Selain wangnya dicuri, telefon bimbit miliknya juga acap kali diambil tanpa kebenaran.

“Setiap kali insiden itu berlaku, saya akan pulang ke rumah, memberitahu ibu saya mengenainya dan dia akan menasihati saya untuk memaklumkan kepada guru disiplin.

“Tetapi apabila saya melakukannya, ia sering memburukkan keadaan. Pembuli akan membalas dendam selepas ditegur atau dihukum, dan lebih menganggu saya.

“Itulah sebab mendorong saya menceburi bidang seni mempertahankan diri... kerana saya merasakan perlu belajar bagaimana mempertahankan diri,” dedah Chee yang juga pengasas Southpaw, sebuah rumah penerbitan tempatan yang memfokuskan pada dokumentari dan acara pertarungan.

Pada waktu itu, dia yang berasal dari Subang Jaya, Selangor bertanya kepada ibu bapanya untuk mengambil kelas tae kwan do.

Walaupun kedua-dua orang tuanya tidak membenarkannya menyertai pertandingan pada masa itu, dia berjaya lulus dengan tali pinggang hitam pada usia 17 tahun.

Chee yang kini berusia 29 tahun berkata, ramai ahli seni pertahanan diri sebenarnya mengalami pengalaman dibuli.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

(online) Chee (left) is a certified personal trainer in MMA.

Chee (kiri) ialah jurulatih peribadi bertauliah MMA. — Instagram/Dan Chee

"Buli sentiasa menjadi sebahagian daripada perkara yang membelenggu hidup semasa saya membesar.

"Ia menjadi lebih teruk kerana saya secara semula jadi adalah individu yang lebih suka menyendiri.

“Buli juga berterusan apabila saya menyertai pasukan bola sepak. Malangnya, ia adalah sebahagian daripada budaya. Jika seseorang itu bukan sebahagian daripada kumpulan, dia cenderung untuk dipilih bagi dibuli," tambahnya.

Tetapi Chee bernasib baik apabila kecemerlangan dalam sukan membolehkannya menyertai Harimau Muda C, iaitu pasukan kebangsaan bola sepak Malaysia bawah 19 tahun.

Sejak daripada itu, insiden buli yang dihadapinya semakin berkurangan.

Ujarnya, insiden buli terhadapnya juga mula terhenti apabila orang ramai tahu bahawa dia mempelajari seni mempertahankan diri dan boleh melawan.

“Pembuli cenderung memilih mereka yang mereka lihat lebih lemah. Mereka tidak berani memilih seseorang yang rakan sebaya mereka atau lebih kuat daripada mereka, dan mereka tidak akan memilih mereka yang tahu bagaimana untuk melawan, "katanya yang juga jurulatih bertauliah seni mempertahankan diri campuran (MMA).

Gerakan pertarungan yang pelik

(2nd) Chee (centre) says MMA is like a 'rapid chess game' where you need to be able to 'think five to 10 steps ahead of your opponent'. — Photos: Instagram/Dan Chee

Chee (tengah) menyifatkan MMA ibarat seperti ‘permainan catur pantas’ dengan petarung perlu ‘berfikir lima hingga 10 langkah ke hadapan’ untuk mengatasi lawan. — Instagram/Dan Chee

Minat Chee dalam MMA bermula semasa dia berusia 18 iaitu ketika berada di universiti dan melihat seorang rakannya melakukan beberapa gerakan 'pelik' semasa dalam satu pertarungan.

"Apabila saya melihat mereka, saya ingin tahu dan bertanya kepadanya, 'Apa awak lakukan?'

“Dia memberitahu saya mereka melakukan jujitsu dan menjemput saya melawat Kelab Jujitsu mereka di universiti untuk mencuba.

“Sebagai pemegang tali pinggang hitam tae kwan do, saya fikir saya ‘kebal’, tetapi hakikatnya tali pinggang putih dalam jujitsu boleh meletakkan saya tertiarap di atas lantai dan tidak berdaya melawan.

“Walaupun saya rasa dah ada semua pengetahuan sebagai pemegang tali pinggang hitam, terdapat aspek pertarungan yang tidak pernah saya fikirkan, iaitu 'bertarung di atas lantai apabila anda jatuh'.

"Ini memberi inspirasi kepada saya untuk mempelajari seni mempertahankan diri ini dan menggabungkannya kepada apa yang saya sudah tahu iaitu MMA,” tambahnya.

Dalam pada itu, Chee berpendapat jujitsu adalah seni mempertahankan diri terbaik untuk melindungi diri daripada ancaman serangan.

Ini kerana menurutnya, Jujitsu turut mengajar teknik menumbangkan seseorang yang dua atau tiga kali ganda lebih besar atau berat.

"Jadi, saya akan mengesyorkan ini untuk wanita kerana kebanyakan wanita berdepan penyerang lebih besar daripada mereka secara fizikal," ujarnya.

Bagaimanapun, Chee mengakui dia mempunyai minat mendalam terhadap MMA.

“Walaupun kickboxing (tomoi) adalah salah satu kegemaran saya, saya suka hampir semua jenis seni mempertahankan diri yang ada.

“Saya berlatih gusti, judo, jujitsu, tae kwan do, kickboxing, tinju, Muay Thai, dan juga seni mempertahankan diri Filipina seperti Arnis/Kali.

"Saya seronok mempelajari apa-apa bentuk seni mempertahankan diri yang boleh meningkatkan pertahanan diri fizikal saya atau diri saya sebagai seorang manusia," ujarnya.

Pada masa sama dia mengenali jujitsu, Chee juga menemui Ultimate Fighting Championship (UFC) yang menampilkan MMA, iaitu seni mempertahankan diri yang cukup digemarinya.

“Sukan tarung yang meliputi semua jenis seni mempertahankan diri ini adalah sangat indah bagi saya.

“Bagi sesetengah orang, ia 'hanya sekadar sukan yang ganas', tetapi bagi saya, ia seperti 'permainan catur pantas yang maju'.

“Anda melihat lawan anda membuat satu gerakan, dan anda mesti mempunyai dua atau tiga gerakan yang dirancang di dalam kepala.

"Dan, anda sentiasa perlu berfikir lima hingga sepuluh langkah ke hadapan," ujarnya.

Membangunkan sukan tempur

(online) Chee spent his previous Christmas doing what he loves. — Instagram/Dan Chee

Chee kini menumpukan masanya untuk melakukan membangunkan sukan digemarinya. — Instagram/Dan Chee

Chee pernah bergelar petarung MMA profesional selama kira-kira sembilan hingga 10 tahun lalu.

Dia turut melakukan lima pertarungan profesional di Malaysia dan memenangi empat daripadanya.

Salah satunya ialah Malaysian Invasion untuk Hari Sukan Belia sebagai perlawanan pameran di Putrajaya.

Pada waktu ini, dia masih berlatih tetapi mengakui sudah tidak bertarung secara profesional kerana kecederaan.

Chee berdepan dengan dua insiden kecederaan bahu yang memaksanya menjalani pembedahan untuk sembuh.

“Menurut doktor, secara teknikalnya, saya boleh bersaing tetapi saya memilih untuk tidak melakukannya kerana kos dari segi masa pemulihan jika cedera tidak berbaloi,” akuinya.

Kini, Chee telah mengalihkan fokusnya untuk membangunkan arena sukan tempur di Malaysia.

“Sukan tempur sebagai kerjaya di Malaysia masih dalam 'peringkat pembangunan' – terutamanya tomoi dan MMA – walaupun Muay Thai telah berjaya dan kita boleh lihat ini dari pencapaian Johan Ghazali, satu contoh terbaik yang boleh diperoleh oleh petarung Muay Thai tempatan kita yang memperolehi kontrak profesional di luar negara,” kongsinya.

(pls use) Chee (centre) is a certified personal trainer in MMA.

Chee (tengah) ketika melatih peserta yang mahu mempelajari sukan MMA. — Instagram/Dan Chee

Chee – yang pernah bekerja di acara persekutuan MMA antarabangsa melibatkan lebih 600 atlet dan 100 negara di Bahrain dan Abu Dhabi – berkata, matlamatnya adalah untuk membantu membolehkan atlet sukan tempur di Malaysia mencapai pendedahan di arena antarabangsa.

Salah satu cara untuk melakukannya ialah dengan mencipta dan menghasilkan kisah tentang atlet petarung dan acara pertarungan yang berlangsung.

Ujarnya, keperluan terhadap perkara itu juga menjadi sebab kepada langkahnya bagi menubuhkan syarikat, Southpaw.

"Memandangkan saya sudah pergi ke hampir setiap acara pertarungan di Malaysia kerana ia adalah minat saya, saya memutuskan untuk memulakan pusat media ini untuk atlet bela diri dan acara pertarungan," kongsinya.

Melalui Southpaw – yang bermula sebagai saluran YouTube di kancah pertarungan di Malaysia – dia telah berkembang untuk menganjurkan acara pertarungan, termasuk mencipta format kejohanan, penstriman langsung dan pendokumentasian.

Chee juga membuat dokumentari tentang petarung yang menurutnya antara projek cukup disukai.

“Fokus saya adalah pada MMA dan kickboxing kerana kedua-dua sukan di Malaysia ini mempunyai ruang untuk berkembang dari segi organisasi dan profesionalisme.

“Saya percaya atlet sukan tempur Malaysia kita berpotensi untuk berkembang dan mencapai standard untuk dapat bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya. — The Star/MING TEOH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram