Kutip satu mata berharga, Ronnie jangka aksi lebih sukar buat Selangor


  • Podium
  • Jumaat, 20 Sep 2024

Ronnie juga mahu menajamkan lagi sentuhannya di hadapan pintu gol dalam perlawanan akan datang buat skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC

PENYERANG Selangor FC, Ronnie Fernandez percaya pasukannya perlu menunjukkan peningkatan dalam perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 yang akan datang.

Tonggak kelahiran Chile tersebut menjadi watak utama buat skuad Gergasi Merah yang mencatatkan keputusan 1-1 ketika berdepan wakil Thailand, Muangthong United dalam aksi pembukaan Kumpulan H.

Malah, dia juga berasakan perlawanan lebih sukar akan menanti pasukan Liga Super itu, namun yakin peluang berkenaan akan menaikkan lagi kualiti Selangor FC.

BACA LAGI: 'Lepas ni gaji on time', Kalamullah sah tinggalkan Kedah perkuat Selangor FC

BACA LAGI: 'Siapa yang setuju?', penyokong Terengganu FC berang tak guna peluang balas dendam Selangor

"Ia adalah satu perlawanan sukar, tetapi saya boleh mengatakan aksi sebegini akan menanti kami sepanjang kejohanan ini. Bagi pasukan seperti Selangor, ini adalah pendedahan yang baik dan kami akan terus bersedia.

"Kami perlu mempamerkan peningkatan kerana dalam aksi menentang Muangthong United, kami mempunyai peluang untuk meraih tiga mata. Tetapi, perkara positif daripadanya adalah kita tidak mengalami kekalahan dan pulang dengan mata penting," katanya.

460723546_1050467837084944_8119348167555983043_n

Jaringan Ronnie sudah cukup untuk menghadiahkan mata penting buat skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC

Dalam perlawanan yang berlangsung pada Khamis, Selangor FC mencatatkan keputusan seri dengan Ronnie Fernandez menjaringkan gol buat pasukannya sebelum Purachet Thodsanit mengikat kedudukan pada babak kedua.

Meskipun terdapat beberapa peluang cantik terhidang, anak-anak buah Nidzam Jamil gagal menggegarkan gawang Muangthong United buat kali kedua.

Skuad Gergasi Merah juga perlu berterima kasih kepada penjaga gol muda, Azim Al-Amin yang menampilkan persembahan cemerlang dengan membuat beberapa tepisan penting.

Dalam pada itu, Ronnie yang berusia 33 tahun juga berpendapat persembahan peribadinya juga perlu ditambah baik sekiranya mahu membantu Selangor FC mara ke pusingan seterusnya.

"Saya berpuas hati kerana dapat membuka akaun jaringan dalam pertandingan ini, tetapi saya ada juga terlepas peluang keemasan. Jadi, saya perlu lebih fokus pada perlawanan akan datang," katanya.

Skuad Gergasi Merah bakal berdepan pasukan Filipina, Cebu FC dalam perlawanan kedua Kumpulan H yang akan berlangsung di Stadium MBPJ, Selangor pada 3 Oktober depan. — The Star/T AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram