[VIDEO] Jaringan Brendan Gan imbau derita bersejarah Indonesia


  • Podium
  • Jumaat, 27 Sep 2024

Antara aksi Piala ACC antara KL City dan Borneo FC di Stadium Kuala Lumpur pada Khamis (26 September).

PASUKAN yang sedang mengalami masalah tunggakan gaji, Kuala Lumpur City (KL City) FC berjaya menewaskan kelab Indonesia, Borneo FC Samarinda dengan keputusan 1-0 di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis (26 September).

Jaringan tunggal Brendan Gan pada babak kedua membolehkan KL City merakam kemenangan kedua dalam Kumpulan B Kejuaraan Kelab Asean (ACC).

Dalam perlawanan itu, KL City yang menang 1-0 ke atas kelab Filipina, Kaya Iloilo sebelum ini menguasai aksi babak pertama dengan beberapa gerakan merbahaya ke kubu pelawat.

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah cecah nilai lebih 1 juta Euro, saham 3 pemain prolifik jatuh mendadak selepas sertai Liga Super

BACA LAGI: [VIDEO] Sebelum Nazmi, ada lagi pengadil Malaysia pernah dapat pujian dari negara jiran

Bersambung separuh masa kedua, lawan yang menghuni tangga kedua Liga 1 Indonesia ketika ini tampil lebih tersusun untuk menguasai penuh aksi dengan anak buah Miroslav Kuljanac lebih banyak bertahan.

Selepas beberapa percubaan, akhirnya gol yang dicari menjelma pada minit ke-77 menerusi Brendan yang menerima lorongan Zhafri Yahya selepas berjaya mengatasi dua pertahanan lawan.

Gol tunggal itu bertahan hingga wisel penamat, sekali gus membolehkan naib juara Piala AFC 2022 itu mengekalkan rekod bersih kempen ACC ini.

Namun begitu disebalik cerita jaringan Brendan Gan itu penyokong Malaysia pasti pernah melihat hasil gerakan yang dimulakan Zhafri Yahya dalam skuad Harimau Malaya 14 tahun lepas.

Jika dimbas kembali lorongan Zhafri Yahya selepas berjaya mengatasi dua pertahanan lawan itu mirip Norshahrul Idlan Talaha dalam perlawanan akhir Piala AFF 2010 sebelum menghantar bola kepada Safee Sali untuk menjaringkan gol kemenangan Harimau Malaya.

Dalam perlawanan akhir pertama Piala AFF itu Malaysia berkelebihan dengan tiga gol selepas menewaskan Sang Garuda di Stadium Nasional Bukit Jalil hasil dua jaringan Safee dan Ashaari Samsuddin.

Manakala dalam perlawanan akhir kedua, skuad kebangsaan terpaksa akur apabila tewas dengan keputusan 2-1 di tangan Indonesia namun menang 4-2 secara agregat.

Edisi Piala AFF 2010 itu Safee dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan apabila meledak lima gol untuk menewaskan pencabar terdekat Cristian Gonzales dan Muhammad Ridwan (Indonesia).

Pemain Malaysia lain yang mencetak dalam kejohanan itu ialah Mahali Jasuli, Ashaari Shamsuddin dan Amirul Hadi (satu gol)

Manakala Amri Yahyah dan Norshahrul tersenari dalam penjaring dua gol bersama-sama legenda Asia Tenggara lain seperti Nguyen Anh Duc (Vietnam), Bambang Pamungkas (Indonesia) dan Aleksandar Duric (Singapura). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram