Kapten Kedah bakal ikut SD TFC ‘u-turn’ ke Pantai Timur?


  • Podium
  • Ahad, 25 Feb 2024

Manny Ott merupakan ketua pasukan Kedah bagi musim 2023. — KDA FC

PEMERGIAN bekas pengurus Kedah Darul Aman FC, Zul Fadzli Rozi ke Terengganu FC dijangka akan memberikan impak besar kepada kedua-dua kelab.

Selepas menerima tawaran naik pangkat dengan menjadi pengarah sukan kelab Pantai Timur itu, Zul Fadzli atau lebih dikenali sebagai Joe Rozi dilihat bakal menggunakan pengaruhnya di Kedah untuk manfaat Terengganu.

Hal ini kerana, berkemungkinan faktor pemergian Joe ke Terengganu akan menarik sekali ketua pasukan Kedah untuk pulang semula ke Pantai Timur.

Dikhabarkan, selain Joe, Terengganu akan membawa pulang bekas pemain mereka yang kini adalah ketua pasukan Kedah iaitu Manuel Ott.

Pemain skuad kebangsaan Filipina itu dikatakan bakal mengikuti Joe pulang semula ke Terengganu selepas semusim beraksi di Alor Setar.

BACA LAGI: Liridon senaraikan 4 pilihan kelab baharu termasuk Kedah dan Selangor

Pemain berusia 31 tahun tersebut dilihat tidak mahu melepaskan peluang untuk kembali semula ke Terengganu dengan potensi dapat melupakan isu tunggakan gaji bersama Sang Kenari.

Bagaimana pun, untuk mendapatkan khidmat Ott, Terengganu perlu menebus kontrak pemain tersebut kerana pemain itu masih mempunyai kontrak sehingga akhir tahun 2024.

Dengan statusnya sebagai ketua pasukan dan pemain antarabangsa, sudah pasti Terengganu harus membayar sejumlah nilai yang tinggi bagi membawa pulang Ott ke Pantai Timur.

1955770

Manny Ott dijangka bakal ke Terengganu. — KDA FC

BACA LAGI: Cara JDT ke Selangor? MFL mesti pilih benarkan 'gentlemen's agreement' atau sebaliknya

Jika berjaya dibawa pulang, Terengganu akan memperoleh pemain tengah yang mampu mengawal bahagian tersebut dengan baik. Lebih menarik, dia turut mempunyai kebolehan untuk melakukan rembatan dari jarak jauh yang boleh menguntungkan Terengganu.

Sementara buat Kedah, seandainya mereka hilang Ott, mereka perlu mencari pengganti yang kompeten untuk mengisi kekosongan tersebut. Ditambah pula, mereka perlu menamakan ketua pasukan baharu apabila Ott memilih untuk tidak bersama mereka.

Perkara ini dilihat merupakan satu tamparan hebat buat Kedah yang masih mengalami masalah tunggakan gaji dengan dijangka mereka bakal berwajah baharu untuk memastikan kewangan kelab tidak terjejas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram