[VIDEO] 'Lebih baik panggil yang bawa nama Malaysia', fans persoal kembali pemilihan pemain tiket VIP


  • Podium
  • Isnin, 22 Jan 2024

Syafiq Ahmad (kapten) antara pemain yang digugurkan daripada skuad kebangsaan untuk ke Piala Asia. — Facebook/FAM

PERMULAAN hambar skuad kebangsaan dalam kempen Piala Asia 2023 mengundang pelbagai kritikan daripada penyokong terutama lagi faktor pemilihan pemain yang tidak memberikan sumbangan besar kepada Harimau Malaya.

Kesilapan percaturan taktikal ketua jurulatih, Kim Pan-gon ketika menentang Jordan pada aksi pembukaan Kumpulan E menyaksikan skuad kebangsaan dibelasah dengan empat jaringan tanpa balas pada 16 Januari lalu.

Dalam perlawanan menentang Bahrain pula, Pan-gon menurunkan lima pemain pertahanan serta Syamer Kutty Abba supaya dapat membantu Stuart Wilkin di kawasan tengah.

Taktikal separuh masa pertama skuad kebangsaan cukup menarik apabila beberapa halangan dan asakan berjaya dilakukan pemain-pemain Harimau Malaya.

Namun begitu, kemasukan pemain senior, Natxo Insa yang menggantikan Syamer Kutty pada babak aksi kedua merencatkan corak permainan Harimau Malaya yang sebelum itu dilihat lebih agresif.

Meskipun sudah berhempas pulas cuba mendapatkan satu mata menentang pasukan yang berada di ranking 86 dunia itu, jaringan akhir Ali Madan pada masa tambahan menghancurkan impian skuad kebangsaan untuk terus beraksi dalam Piasa Asia.

BACA LAGI: [VIDEO] Lahir di Liverpool tapi 'buatan' akademi Man United, Malaysia dah jumpa pengganti Natxo Insa?

Natxo Insa

Natxo (kiri) mempunyai banyak pengalaman beraksi di Liga Sepanyol. — Agensi

Disebabkan prestasi tidak baik Natxo, penyokong kembali mempersoalkan pemilihan pemain berusia 37 tahun yang tidak beraksi selama setahun bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim lalu akibat kecederaan.

Antara komen yang dilontarkan oleh penyokong mengenai pemilihan skuad kebangsaan adalah mereka lebih suka melihat jika Pan-gon memilih pemain yang sudah membantu Harimau Malaya layak ke Piala Asia berbanding naturalisasi.

“Pemain yang membantu bawa Malaysia ke Piala Asia tidak dipanggil, pemain baharu dinaturalisasi dipanggil.”

Untuk rekod, tujuh pemain yang berjaya membawa Malaysia ke Piala Asia selepas 42 tahun tidak layak secara merit tidak dipanggil oleh Pan-gon untuk dibawa ke Qatar.

Antara pemain-pemain tersebut adalah Nazmi Faiz, Safiq Rahim, Khairulazhan Khalid, Guilherme De Paula, Syafiq Ahmad, V.Ruventhiran dan Nor Azam Azih.

Natxo Insa dan Romel Morales pula mendapat tiket ke Qatar pada minit-minit akhir meskipun tidak pernah beraksi bersama skuad kebangsaan sejak kempen kelayakan Piala Asia itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Kualiti Malaysia masih rendah, ada syarat jika mahu ikut Indonesia buru pemain warisan gred A

Jadi apakah langkah seterusnya yang akan dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas melihat negara jiran, Thailand dan Indonesia lebih mampu bersaing di pentas Asia?

Adakah FAM akan mengikuti Indonesia dan Filipina untuk memburu pemain warisan berkualiti tinggi bagi menyarung jersi Harimau Malaya di masa akan datang?

Ataupun fokus kepada pembangunan akar umbi untuk menghasilkan pemain yang lebih baik daripada bintang muda JDT, Arif Aiman Hanapi?

Semua persoalan dan jawapan ada pada FAM selaku badan induk yang bertanggungjawab menjaga sukan nombor satu rakyat Malaysia itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram