KECEDERAAN ligamen anterior krusiat (ACL) merupakan satu mimpi ngeri buat seorang pemain bola sepak kerana ia menyukarkan mereka kembali ke tahap terbaik meskipun sudah menerima rawatan terbaik.
Lihatlah sahaja bagaimana kecederaan itu pernah meranapkan karier bintang berkelas dunia seperti Alan Shearer, Radamel Falcao serta Ruud van Nistelrooy yang masing-masing terpaksa berehat untuk tempoh masa yang lama.
Namun, ada juga yang tidak bernasib baik apabila mengalami isu tersebut pada kedua-dua belah lutut dengan ia boleh mendesak mereka untuk menggantung but lebih awal.
BACA LAGI: TBG terus kempunan cipta kemenangan sulung di Ipoh, fans persoal tahap 'fitness' pemain
BACA LAGI: 'Jangan salahkan seseorang dalam pasukan', hantaran Insta Story Wan Zack cetus tanda tanya
Wan Zack mengalami kecederaan ACL ketika berada di Selangor FC.
Salah seorang yang pernah mengalami situasi buruk itu ialah bekas pemain sayap negara, Wan Zack Haikal Wan Noor dengan kecederaan itu acap kali menghantuinya.
Manakan tidak, ketika beraksi di Jepun, dia pernah mengalami kecederaan berkenaan sehingga memaksanya untuk pulang sebelum ia berulang di lutut sebelah beberapa tahun selepas itu.
Tetapi, tekad dan keazaman ditunjukkan menyaksikannya dapat kembali ke tahap terbaik dengan dia kini masih beraksi di tahap tertinggi buat Perak FC dalam Liga Super.
Bagaimanapun, kecederaan ACL itu masih meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya apabila baru-baru ini, Wan Zack berkongsi pengalaman memeritkan tersebut di laman Instagram peribadinya.
Dalam video berkenaan, dia berkongsi bagaimana dia dibawa ke bilik pembedahan untuk menerima rawatan, namun sempat mengerjakan solat ketika sedang terbaring.
"Segala puji bagi-Mu ya ALLAH, terima kasih untuk segalanya. Perjuanganku belum tamat. Semangatku masih tegar. Kau rahmatilah perjalanan hidupku untuk terus bernafas dlam karierku," tulisnya.
Perkongsian itu diikuti beberapa klip memaparkannya kembali ke atas padang dengan ia sedikit sebanyak membuktikan kesungguhan pemain berusia 33 tahun berkenaan selepas mengharungi dugaan terbabit.
Kali terakhir Wan Zack mengalami kecederaan ACL adalah pada 2018 ketika masih bersama Selangor FC yang kemudian memaksanya untuk berehat selama kira-kira dua tahun.
Selepas mencapai tahap kesembuhan terbaik, pemain berkenaan memilih untuk menyertai skuad The Bos Gaurus (TBG) dengan dia terus menjadi watak utama kelab Utara tanah air tersebut.
Musim ini, dia sekali lagi menjadi watak utama Yusri Che Lah dengan dua gol dan dua bantuan jaringan sudah direkodkan sepanjang mencetak lapan penampilan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram