Yusri Che Lah tak senang duduk, terlompat-lompat demi 3 mata pertama di 'rumah sendiri'


  • Podium
  • Sabtu, 21 Sep 2024

Skuad TBG mengawal permainan dan merekodkan kemenangan menerusi gol tunggal Luka Milunovic. — Facebook/Perak FC

SKUAD The Bos Gaurus (TBG) akhirnya dapat melakar senyuman di laman sendiri apabila merekodkan kemenangan pertama ketika menerima kunjungan Kuala Lumpur (KL) City FC pada Sabtu.

Selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama, Perak FC tidak menunggu lama selepas 45 minit kedua bermula dengan asakan demi asakan terus dibuat ke arah gawang pasukan pelawat.

Usaha itu akhirnya membuahkan hasil selepas penyerang kelahiran Serbia, Luka Milunovic menjaringkan gol menerusi penyudah tenang yang menewaskan penjaga gol skuad Warga Kota, Azri Ghani.

BACA LAGI: Hampir 2 musim bersama Perak, anak jati Sabah beri hint ucap selamat tinggal

BACA LAGI: Ibarat 'reunion', 3 bintang 'balik kampung' menjelang aksi Perak-KL City

460847003_536433265603720_8745833382443208510_n

Yusri kelihatan amat bersemangat di kawasan teknikal skuad TBG. Facebook/Perak FC

Jaringan berkenaan jelas diraikan kesemua skuad TBG, termasuk pengendalinya, Yusri Che Lah yang jelas kelihatan teruja di kawasan teknikal.

Bagaimanapun, gol berkenaan tidak cukup untuk membuatkan jurulatih berkenaan sedikit tenang apabila dia tidak senang duduk sepanjang 90 minit permainan.

Selain tidak henti-henti memberikan arahan, bekas pemain Perak itu beberapa kali meminta anak-anak buahnya untuk terus memberikan perhatian di atas padang.

Tindakannya juga sekali lagi dapat disaksikan pada minit-minit akhir permainan ketika KL City FC menerima sepakan percuma yang amat dikhuatiri mengundang padah.

Bagaimanapun, kecekapan penjaga gol, Haziq Nadzli memastikan kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat ditiup, sekali gus memastikan Perak FC meraih kemenangan pertama Liga Super di laman sendiri.

Selepas ini, pasukan Utara tanah air berkenaan bakal berdepan Sri Pahang FC di tempat lawan pada 28 September dengan misi meneruskan rentak cemerlang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram