SKUAD bimbingan Yusri Che Lah menamatkan penantian untuk merekodkan kemenangan pertama Liga Super di laman sendiri musim ini selepas menundukkan Kuala Lumpur (KL) City FC pada Sabtu.
Perlawanan itu boleh dikatakan seimbang pada babak pertama dengan beberapa peluang keemasan dimiliki kedua-dua pasukan, namun kecekapan penjaga gol memastikan kedudukan 0-0 kekal sehingga wisel ditiupkan.
Tetapi, penantian untuk menyaksikan gol pertama dalam pertembungan itu berakhir setelah penyerang Perak FC, Luka Milunovic menampan masuk hantaran tepat Azfar Fikri pada minit ke-62 permainan.
BACA LAGI: Ramai kecewa Perak lepaskan penyerang Korea tapi kekalkan Luka Milunovic
BACA LAGI: [VIDEO] 'Assist' sahaja tak cukup, bintang TBG dipesan buang sikap tamak
Sumbangan Luka amat penting demi kemenangan skuad TBG di laman sendiri. — Facebook/Perak FC
Kedudukan 1-0 berpihak kepada tuan rumah kekal sehingga penghujung perlawanan yang sekali gus menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) membawa pulang tiga mata penuh.
Sumbangan itu sudah tentu membawa keriangan buat Luka yang menjaringkan gol pertama musim ini dengan ia memberikan makna berharga buat peminat kelab Utara tanah air tersebut.
"Dalam dua perlawanan terakhir, kami amat berpuas hati dengan keputusan serta persembahan pasukan. Ketiadaan aksi selama tujuh minggu juga memberikan kami masa mencukupi bagi perlawanan ini.
"Suasana dalam pasukan dan di dalam bilik persalinan juga amat berbeza kerana ia sudah memberikan kami keyakinan dan kepercayaan pada diri sendiri di atas padang," katanya.
Lebih 2,000 penyokong menyaksikan kemenangan pertama skuad TBG di laman sendiri. — Facebook/Perak FC
Penyerang kelahiran Serbia berkenaan mula mendapat tempat dalam hati penyokong Perak FC dengan ketangkasan serta kesungguhannya di atas padang cukup penting dalam membolehkan skuad TBG merencanakan serangan.
Meskipun catatan jaringannya masih belum cukup memuaskan, Luka sudah tentu berharap dapat terus membantu skuad TBG yang kini berada di tangga ketujuh Liga Super selepas sembilan perlawanan.
Pemain berusia 31 tahun itu juga mahu memastikan pasukannya dapat meneruskan momentum diraih daripada dua perlawanan terakhir menjelang aksi menentang Sri Pahang FC pada Sabtu ini.
"Saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan rentak ini diteruskan dengan terus mencurahkan semangat dan tahap profesionalisme diperlukan setiap kali diturunkan.
"Sekiranya anda dapat memberikan kerja keras, hasilnya akan datang sama ada dengan segera atau tidak. Yang penting, kami akan terus percaya dengan pasukan ini," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram