'Terima kasih TMJ', aksi cemerlang Haziq Nadzli buat fans Perak tersentuh


  • Podium
  • Selasa, 24 Sep 2024

Ketangkasan Haziq ketika menentang skuad Warga Kota mendapat pujian daripada penyokong bola sepak tempatan. — Facebook/PerakFC

KEMENANGAN 1-0 Perak FC ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC pada Sabtu lalu menamatkan penantian skuad bimbingan Yusri Che Lah untuk merekodkan kemenangan pertama Liga Super di laman sendiri.

Kejayaan mendapatkan tiga mata itu di Stadium Perak dekat Ipoh, Perak berkenaan dihasilkan menerusi percubaan dari Luka Milunovic yang menampan masuk hantaran tepat Azfar Fikri pada minit ke-62 permainan.

Selain penyerang import berkenaan, kredit juga wajar diberikan kepada kecekapan penjaga gol skuad The Bos Gaurus (TBG), Haziq Nadzli yang memastikan kedudukan kekal 1-0 sehingga wisel ditiupkan.

BACA LAGI: [VIDEO] KL Thunder ancaman utama, coach Selangor Pistons kongsi taktikal 'bahaya' aksi GP Terengganu

BACA LAGI: 'Give me my money', Sony Norde hantar mesej khas lepas puji rakan seperjuangan

Dalam perlawanan sengit itu, penjaga gawang yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta'zim (JDT) itu telah mempamerkan beberapa aksi memukau dalam menyelamatkan pintu gol Perak daripada dibolosi.

Ketangkasan Haziq turut mendapat pujian daripada penyokong bola sepak tempatan khususnya 'pemain ke-12' Perak yang percaya penjaga gol berusia 26 tahun itu telah mendapatkan semula prestasi kemuncaknya seperti dahulu.

Kecekapan Haziq itu membuatkan penyokong Perak FC mengucapkan terima kasih kepada majikannya, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana sudi meminjamkan khidmat Haziq.

"Terima kasih TMJ. Bagi pinjam Haziq, beraksi dengan sangat baik malam ini (Sabtu) seterusnya memberi kemenangan kepada pasukan kesayangan rakyat Perak, iaitu Perak FC. Alhamdulillah.

"Cuma nampak selepas sahaja wisel penamat, pemain begitu semangat meraikan kemenangan ini bersama jurulatih Yusri Che Lah.

"Abang simpulkan pemain begitu sayangkan Yusri Che Lah (YCL) dan percaya YCL mampu mengeluarkan aksi yang terbaik mereka. Moga ALLAH permudahkan segala urusan barisan pemain dan jurulatih. Yahoo Perak menang," kata penyokong Perak, Fath Rahman.

WhatsApp Image 2024-09-24 at 11.33.32

Haziq dipinjamkan selama semusim ke Perak FC. — Facebook/PerakFC

Untuk rekod, Haziq hadir ke Perak musim ini selepas dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk meraih lebih banyak minit permainan dan aksi bertemu The City Boys merupakan penampilan keempatnya.

Selain penyokong, persembahan Haziq juga mendapat pujian daripada pundit bola sepak yang juga jurulatih, Datuk Zainal Abidin Hassan, yang menyifatkan dia sebagai pemain terbaik perlawanan.

“Saya bersetuju (Haziq sebagai pemain terbaik perlawanan) khususnya pada separuh masa pertama, dua situasi satu lawan satu yang diselamatkan memberi keyakinan kepada dia sendiri dan juga pasukan,” jelas Zainal Abidin dalam siaran langsung di Astro Arena. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram