'Jangan salahkan seseorang dalam pasukan', hantaran Insta Story Wan Zack cetus tanda tanya


  • Podium
  • Isnin, 20 Mei 2024

Wan Zack dalam satu hantaran di IG Story menyeru agar penyokong The Bos Gaurus tidak berhenti menyokong perjuangan Perak FC dalam kempen Liga Super. — Facebook/Perakfc

PERAK FC terus dirundung malang apabila tumbang buat kali kedua dalam kempen Liga Super 2024/25.

Pada perlawanan pertama berdepan Terengganu FC, skuad kendalian Yusri Che Lah itu terpaksa berputih mata apabila tewas 1-3 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 11 Mei lalu.

Nasib malang terus menimpa Perak dalam aksi tersebut selepas tonggak import, Luiz Henrique diarah keluar padang oleh pengadil, Suhaizi Shukri gara-gara layangan kad kuning kedua minit ke-76.

BACA LAGI: Selain Syafiq, loan TFC, 2 ex Sabah berisiko hilang kelab andai Kenari patah sayap

BACA LAGI: Adam Nor Azlin tamatkan kemarau gol 3 tahun, puas hati bantu Tok Gajah

Wan Zack

Hantaran yang dimuatnaik Wan Zack Haikal di IG Story peribadi miliknya. — Instagram/wanzackhaikalwannor

Selepas kekalahan pertama itu, anak-anak buah Yusri tampaknya masih gagal untuk menebus kekecewaan kepada penyokong apabila sekali lagi tewas di tangan PDRM FC dengan keputusan 2-3 di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu.

Susulan kekalahan itu, ramai penyokong The Bos Gaurus (TBG) mula mengkritik dan menyalahkan pihak pengurusan serta Ketua Jurulatih Perak FC itu berikutan prestasi kurang cemerlang yang ditampilkan dalam dua perlawanan sebelum ini.

Bagaimanapun, tampil mempertahankan pasukan, penyerang Perak FC, Wan Zack Haikal Wan Noor menegaskan kekalahan berturut-turut yang dialami mereka dalam liga bukanlah tanggungjawab seorang individu sahaja.

Wan Zack dalam satu hantaran di IG Story itu menekankan bahawa seluruh pasukan perlu memikul tanggungjawab bersama atas keputusan yang dicapai.

"Jangan hanya menyalahkan seseorang dalam pasukan, jika namanya sudah pasukan sudah tentu semua yang berada dalam pasukan perlu mengambil tanggungjawab ini.

"Ya, kami kalah tapi bukan hanya kritikan yang kami inginkan sebaliknya motivasi yang kami perlu.

"Maafkan kami dengan kekalahan berturut-turut. Kami perlukan anda semua untuk berikan kami sokongan tanpa henti dan berhenti menuding jari kepada sesiapa dalam pasukan.

"Kami sebagai pasukan Perak FC bertanggungjawab untuk kekalahan ini dan kami janji untuk bangkit, doakan kami untuk bangkit di perlawanan seterusnya," tulisnya di IG Story.

Selepas ini, Perak akan berkunjung ke Stadium Darul Aman, Kedah untuk perlawanan ketiga Liga Super berdepan Kedah Darul Aman FC pada 24 Mei nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram