Milunovic wira tidak disangka-sangka akhiri kebuntuan Perak FC di tempat sendiri


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Ahad, 22 Sep 2024

Pasukan Perak FC dilihat begitu gembira selepas meraih kemenangan pertama di laman sendir aksi bertemu KL City FC pada Sabtu. — Facebook/Perakfc

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

LUKA Milunovic, yang dianggap pemain ‘flop’ musim lalu, masih kekal bersama Perak FC hari ini bukan atas pilihan, sebaliknya kerana tiada jalan keluar daripada kontraknya kecuali dia dibayar pampasan penamatan awal mengikut perjanjian.

Dalam pada skuad The Bos Gaurus (TBG) itu berkira-kira untuk membuat penggantian pemain sempena jendela perpindahan kedua yang berakhir hari ini, hasrat itu terpaksa dilupakan kerana kegagalan mendapatkan kelab yang mahukan khidmatnya.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, sebelum ini berkongsi dengan Bola Pegun bahawa ketua jurulatih, Yusri Che Lah, dibenar mendapatkan pemain import baharu asalkan dapat menjual daripada kalangan pemain import yang ada.

BACA LAGI: [VIDEO] KL Thunder ancaman utama, coach Selangor Pistons kongsi taktikal 'bahaya' aksi GP Terengganu

BACA LAGI: 'Give me my money', Sony Norde hantar mesej khas lepas puji rakan seperjuangan

WhatsApp Image 2024-09-22 at 19.30.18

Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah (kanan) berpuas hati dengan keputusan yang diraih di laman sendiri itu. — Facebook/Perakfc

“Seperti kebanyakan pasukan lain, bajet kita juga agak ketat. Jadi, kita tidak akan ambil pemain import baru kecualilah kita dapat jual antara import yang ada. Jika tidak ada penjualan yang dapat dilakukan, maka tidak adalah pembelian baharu,” kata Abdul Azim akhir bulan lalu.

Ketika itu, Milunovic – yang didatangkan sempena jendela perpindahan kedua musim lalu – dikenal pasti untuk dilepaskan. Ini diperkuatkan lagi dengan hakikat penyerang berusia 31 tahun dari Serbia itu dikhabarkan dirisik oleh sebuah kelab dalam Liga India.

Tunggu punya tunggu, kesudahannya tiada sebarang komitmen lanjut daripada kelab berkenaan, meninggalkan Perak FC tanpa pilihan selain mengekalkan khidmatnya sehingga kontrak dua tahunnya berakhir pada Julai depan.

Berkemampuan menyumbang hanya empat gol daripada lapan penampilan dalam separuh kedua liga musim lalu – tujuh daripadanya dalam kesebelasan permulaan -- bukanlah menghairankan jika penyerang itu dianggap mengecewakan.

Malah, peminat Perak FC turut tidak senang apabila khidmatnya dikekalkan sambil penyerang dari Korea Selatan, Seo seo-nung, dilepaskan pada akhir musim lalu untuk menyertai FC Mokpo dalam Liga K3 – satu keputusan yang didorong oleh kecederaan yang dialami pemain berusia 24 tahun itu.

Namun, kamera televisyen yang menunjukkan Yusri dan Milunovic berpelukan sejurus usai perlawanan yang menyaksikan skuad TBG itu unggul 1-0 ke atas Kuala Lumpur City FC di Stadium Perak malam tadi seolah-olah tersirat cerita kedua-duanya masih boleh memanfaatkan satu sama lain dalam memacu skuad TBG untuk terus mendaki dalam carta liga.

WhatsApp Image 2024-09-22 at 19.30.18 (1)

Luka Milunovic muncul wira membantu Perak FC meraih kemenangan di laman sendiri. — Facebook/Perakfc

Melakukan hanya penampilan kelimanya dalam jersi Perak musim ini – tiga daripadanya dalam kesebelasan permulaan – Milunovic memanfaatkan hantaran Azfar Fikri pada minit ke-62 untuk mudah menewaskan penjaga gol lawan, Azri Ghani.

Ia menamatkan kebuntuan skuad TBG itu yang tewas tiga perlawanan berturut-turut di halaman sendiri sebelum ini – 2-3 kepada PDRM FC, 0-2 kepada Penang FC dan 1-2 kepada Kuching City FC – di samping melonjakkan pasukan ke tangga ketujuh denga himpunan 12 mata.

Yusri, selain berpelukan dengan penyerangnya itu, tidak lokek merakamkan penghargaan kepada Milunovic – pernah bersama Melaka United dan Sabah FC pada 2019 – yang turut menamatkan kebuntuan jaringannya musim ini.

“Dalam dua perlawanan terakhir, saya nampak beliau agak komited dengan pasukan dan ini memberi saya lebih pilihan untuk beliau beraksi.

“Sebelum beliau menjaringkan gol, saya amat berharap beliau akan tampil 90 minit tetapi mungkin keghairahan meraikan jaringan mengakibatkan (kecederaan) hamstring. Saya amat risau kecederaan yang dialaminya sekarang ini.

“Saya harapkan keajaiban daripada bahagian perubatan pasukan dalam masa seminggu untuk Luka Milunovic (pulih) kerana saya sedar di Temerloh, satu perlawanan yang amat sukar menanti kami,” kata jurulatih itu dalam sidang media selepas perlawanan.

WhatsApp Image 2024-09-22 at 19.30.17

Wan Zack Haikal bin Wan Noor (kiri) dilihat gembira selepas Milunovic mencetak gol tunggal dalam aksi bertemu KL City FC. — Facebook/Perakfc

Malah, Yusri menolak tanggapan bahawa kemenangan 1-0 pasukannya ke atas Kuala Lumpur City FC kerana nasib semata-mata, sebaliknya menegaskan bahawa tiga mata berharga itu diperoleh melalui usaha keras dan komitmen pemainnya.

"Kita menghormati KL City, namun seperti yang saya katakan sebelum ini, fokus kita adalah untuk meraih tiga mata penuh. Pemain bekerja keras selama hampir 90 minit untuk mencapai kemenangan ini.

"Di atas kertas, KL City mempunyai kelebihan dengan pemain-pemain berpengalaman tetapi anak buah saya berjaya mengekang serangan mereka dan mencipta kemenangan. Saya berikan kredit penuh kepada pemain atas usaha mereka," katanya.

Jurulatih itu, yang gembira dengan enam mata selepas terdahulu menundukkan Negeri Sembilan FC 1-0, bagaimanapun enggan pemainnya dikhayalkan oleh dua kemenangan berturut-turut itu.

"Kita berharap pemain tidak hilang fokus atau terlalu selesa dengan dua kemenangan ini. Minggu depan, kita akan berkunjung ke Temerloh dan sasaran kita tetap tiga mata penuh.

"Sri Pahang FC menjaringkan tujuh gol dalam dua perlawanan sebelum ini, jadi kita akan memastikan semua pemain bersedia sepenuhnya untuk mengelak kesilapan yang memudahkan lawan menjaringkan gol," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram