Kepayahan ketika kanak-kanak didik Haziq Nadzli berjuang dapatkan peluang


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Selasa, 24 Sep 2024

Ketangkasan Haziq ketika menentang skuad Warga Kota mendapat pujian daripada penyokong bola sepak tempatan. — Facebook/PerakFC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

SAYA bukan dari keluarga orang senang. Ayah saya dulu seorang kakitangan bahagian pendawaian dengan sebuah syarikat swasta. Waktu itu, saya nak beli sarung tangan pun tak ada duit,” cerita Haziq Nadzli mengenai kepayahan ketika masih bersekolah yang menjadi dorongannya hingga ke hari ini.

Sudah jadi lumrah hidup apabila susah, maka usaha lebih keras dituntut untuk merebut peluang yang memihak pemain lain yang lebih bernasib baik. Tapi kesusahan itu juga mengajarnya agar tidak mudah berputus asa dan sentiasa bersiap sedia apabila peluang yang dinanti-nantikannya datang.

Kerjaya bola sepaknya sepanjang dua tahun kebelakangan ini juga tidak banyak berbeza. Jatuh bangun sudah jadi kelaziman baginya. Sepanjang bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) musim lalu, dia hanya berpeluang sekali tersenarai dalam kalangan pemain gantian disebabkan persaingan sengit dalam pasukan.

Peluang itu menjengahnya apabila dia ditampilkan dalam senarai pemain simpanan JDT menentang Kelantan FC ketika Farizal Marlias mengambil alih daripada Syihan Hazmi Mohamed yang direhatkan selepas satu tugasan antarabangsa bersama Harimau Malaya.

BACA LAGI: 'Terima kasih TMJ', aksi cemerlang Haziq Nadzli buat fans Perak tersentuh

BACA LAGI: Milunovic wira tidak disangka-sangka akhiri kebuntuan Perak FC di tempat sendiri

WhatsApp Image 2024-09-24 at 19.58.35 (1)

Haziq mempamerkan beberapa aksi memukau dalam menyelamatkan pintu gol Perak daripada dibolosi. — Facebook/PerakFC

Selebihnya pula dia hanya menyertai skuad utama dalam latihan dan terus dinafikan tempat dalam senarai 20 pemain bagi perlawanan sejak ketibaan Syihan bagi menggantikan Farizal selaku pilihan pertama.

“Saya tidak mendapat peluang bersama barisan utama JDT tapi saya tetap bersyukur latihan keras bersama mereka sentiasa membuat saya dalam keadaan bersiap-sedia jika khidmat saya diperlukan,” kongsinya dengan Bola Pegun.

Nasibnya berubah musim ini apabila dia dipinjamkan JDT kepada Perak FC seperti diumumkan pada 3 Mac lalu -- mengakhiri tempohnya bersama kelab Harimau Selatan itu sejak 2016.

Cemerlang dalam perlawanan pramusim, terutama ketika menundukkan Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-0 di Stadium Perak pada 27 April lalu, musim 2024/25 ini seakan-akan bakal mengangkatnya bersama skuad The Bos Gaurus (TBG).

Dua kekalahan berturut-turut di peringkat permulaan musim – tewas 1-3 kepada Terengganu FC (A) pada 11 Mei dan 2-3 kepada PDRM FC (H) pada 18 Mei – menyaksikan tempatnya dirampas Ramadhan Hamid yang cemerlang ketika Perak FC mengukir kemenangan mengejut 2-0 ke atas KDA FC di Alor Setar pada 24 Mei.

“Saya salahkan diri sendiri kerana bolos enam gol dalam dua perlawanan pertama itu. Saya tahu saya tak perform dan kerana itu saya hilang tempat saya.

“Kalau Ramadhan main, saya OK je, tak ada rasa apa-apa, sakit hati ke, semua itu tak ada. Saya cakap dengan coach (Yusri Che Lah) kalau Ramadhan tengah perform, biar dia terus main. Hujung-hujungnya kemenangan pasukan adalah lebih penting daripada individu,” katanya.

WhatsApp Image 2024-09-24 at 20.07.41

Haziq dipinjamkan selama semusim ke Perak FC. — Facebook/PerakFC

Namun, Ramadhan juga melalui saat sukarnya apabila Perak FC tewas dalam empat perlawanan selepas itu – 1-2 kepada Terengganu FC (Piala Malaysia), 1-2 kepada Selangor FC, 0-2 kepada Penang FC dan 1-2 kepada Kuching City FC selain diselangi kemenangan 3-1 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC.

Yusri sendiri sebelum ini menggalakkan persaingan sengit di antara dua penjaga gol itu agar masing-masing sentiasa bekerja keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Di sebalik ketangkasannya dalam memastikan pintu gol Perak FC tidak bolos di Alor Setar itu, Ramadhan diberi ingatan agar jangan sesekali 'tidur' selepas ini atau akan kehilangan tempatnya semula kepada Haziq.

“Dan yang bagusnya Haziq sentiasa ‘mencucuk’ beliau... maksudnya (Ramadhan) tidak boleh ‘tidur’ kerana seandainya dia ‘tidur’ selepas ini, giliran Haziq akan masuk semula.

“Jadi, inilah yang saya katakan pemain reserve, seandainya dia lebih fokus untuk menanti bilakah masa terbaik, itu yang terjadi,” tambahnya mengenai Ramadhan, yang musim lalu digilirkan dengan Nur Hakeem Hamidun dan Aqil Razak di pintu gol PDRM FC.

Sejurus diberi peluang semula, Haziq bersyukur kerana tidak bolos ketika Perak FC menundukkan Negeri Sembilan FC (14 September) di tempat lawan dan Kuala Lumpur City FC (21 September) di hadapan penyokong sendiri – kedua-duanya dengan keputusan 1-0.

Mendapat pujian Yusri dan diangkat pengulas siaran langsung televisyen selaku pemain terbaik perlawanan dalam kemenangan terbaru itu, Haziq berharap untuk dapat terus meningkatkan keyakinannya di samping menjadikan kesilapan masa lalu sebagai proses mematangkan dirinya.

WhatsApp Image 2024-09-24 at 19.58.36

Ketangkasan Haziq turut mendapat pujian daripada penyokong bola sepak tempatan. — Facebook/PerakFC

“Perjalanan saya setakat musim ini, Alhamdulillah. Saya dah ada dua clean sheet. Saya mahu terus memandang ke hadapan dan seboleh-bolehnya tidak menoleh ke belakang lagi selepas ini,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu.

Kerana menoleh ke belakang akan mengingatkan pemain berusia 26 tahun ini kepada episod hitam bagaimana dia tertumbuk bola sepakan sudut Sasalak Haiprakhon ke gawang sendiri pada minit ke-39 untuk skuad bawah 22 tahun negara tunduk 0-1 kepada Thailand dalam final Sukan SEA di Stadium Shah Alam pada 29 Ogos 2017.

“Saya masih ingat sebelum gol itu, saya cuba menangkap bola dari satu sepakan sudut tapi terlepas disebabkan bola licin dalam hujan. Jadi, apabila datang satu lagi sepakan sudut selepas itu, saya enggan menangkapnya tapi cuba menumbuknya. Cuma malangnya saya tumbuk bola guna tangan kiri yang termasuk ke gol sendiri.

“Saya memang down lepas kekalahan itu. Tapi selepas itu saya berlatih keras memperbaiki teknik tumbukan agar tidak ulangi kesilapan yang sama lagi,” katanya.

Itulah juga yang dilakukannya bersama Perak FC dengan menjadikan kesilapan dalam dua perlawanan pertamanya untuk mengelakkan kemurungan yang sama daripada berulang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram