Kualiti sukar dilupakan, 3 import termasuk enjin Kedah kembali warnai Liga M


  • Podium
  • Ahad, 22 Sep 2024

Atede (kanan) mencipta nama bersama skuad Sang Kenari pada separuh musim 2023. — Facebook/KDAFC

SETIAP kali jendela perpindahan berlangsung, ia akan menjadi ruang untuk pasukan Liga Malaysia (Liga M) khususnya yang bertanding Liga Super untuk menambah baik kelab masing-masing dengan merekrut tenaga baharu.

Terdapat beberapa pasukan yang sudah rancak membawa masuk pemain baharu dan ada di antaranya juga dikatakan sudah mulai mengintai bintang import bagi memperkukuhkan skuad masing-masing sebelum jendela ditutup pada Ahad.

Bukan sahaja merekrut bintang baharu, malah beberapa pasukan juga difahamkan sudah 'mengitar semula' pemain import dan dijangka bakal kembali selepas beberapa tahun meninggalkan saingan domestik sebelum ini.

BACA LAGI: Dulu beraksi di ACL, kini bintang Sabah, Kedah, Terengganu hanya jadi penonton

BACA LAGI: Sabah, Kuching, Terengganu untung besar jika sambar bintang tinggalkan Kedah

Polisi ‘kitar semula’ import ini sering terjadi dalam landskap bola sepak tanah air dan pemain berkenaan juga senang untuk 'dipujuk' kembali untuk beraksi di kancah Liga Malaysia.

Bukan hanya mudah termakan dengan pujukan, malah kualiti pemain import yang sudah dipinang oleh beberapa kelab Liga Super pada jendela perpindahan ini juga mempunyai kualiti yang sukar dilupakan.

Meskipun tidak bersama majikan lama mereka, Majoriti menyenaraikan tiga import yang berhasil memikat pasukan baharu dek kualiti mereka dan kini sudah menjejakkan kaki semula ke Malaysia;

1) Moses Atede

Tidak sampai semusim bersama pasukan Bahrain, Sitra Club, Moses Atede akhirnya kembali ke Liga Malaysia dengan menyertai Kuching City FC bagi memperkuatkan bahagian tengah pasukan Borneo itu.

Pemain tengah antarabangsa Bahrain berkenaan sebelum ini mencipta nama bersama skuad Sang Kenari pada separuh musim 2023 namun terpaksa mengucapkan selamat tinggal dek masalah kewangan yang melanda Sang Kenari.

Digelar sebagai enjin utama Kedah pada musim lalu, Atede mempunyai kawalan bola yang kemas dan pantas dalam membuat larian serta tenang saat memimpin barisan tengah Kedah menembusi ke benteng pertahanan lawan.

Bersama Kedah musim lalu, Atede telah beraksi dalam 13 perlawanan untuk saingan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala Cabaran. Satu gol berjaya direkodkan buat pemain berusia 27 tahun itu sepanjang musim lalu.

Dengan rekod yang memberangsangkan itu, tidak hairanlah jika penyokong Sang Kenari cemburu mendengar berita Atede menyertai skuad kendalian Aidil Sharin Sahak pada jendela perpindahan kedua ini.

2) Sebastian Avanzini

avanzini

Avanzini kini sah sebahagian keluarga skuad Jang Hobin Jang. — Facebook/NSFC

Pemain tengah bertahan kelahiran Itali, Sebastian Avanzini kini sah menyarung jersi Negeri Sembilan FC (NSFC) selepas dia diumumkan sebagai bintang baharu kelab untuk membantu skuad Jang meneruskan cabaran dalam saingan Liga Super 2024-2025.

Kehadirannya ke pasukan kendalian K Nanthakumar itu disambut baik oleh penyokong skuad Jang susulan rekod baik pemain berusia 29 tahun berkenaan bersama Kuala Lumpur (KL) City FC pada musim 2023.

Pemain memiliki ketinggian 1.85 meter itu merekodkan 31 penampilan dan menjaringkan dua gol serta empat bantuan gol, pernah membantu KL City layak ke pentas final Piala FA musim lalu.

Avanzini bukan saja boleh beraksi di bahagian tengah tetapi juga di bahagian bek kiri. Keupayaannya bermain di pelbagai posisi akan menambah kekuatan pasukan NSFC dalam saingan Liga Super musim ini.

Menjelang aksi menentang Penang FC di Stadium Bandaraya dekat George Town, Pulau Pinang, khidmat Avanzini dijangka akan digunakan dalam usaha membawa pulang tiga mata dan memperbaiki kedudukan dalam liga.

3) Washington Brandao

Selepas tiga tahun meninggalkan bumi Malaysia, Washington Brandao akhirnya kembali beraksi ke kancah domestik apabila memilih mewakili Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dalam baki saingan musim ini.

Penyerang kelahiran Brazil berkenaan pernah beraksi bersama Petaling Jaya (PJ) City FC selam dua musim pada tahun 2019 hingga 2020, sebelum berkelana ke saingan Vietnam dan Bangladesh.

Walaupun namanya tidak sepopular penyerang lain namun Brandao antara penggempur yang menyinar bersama skuad The Phoenix apabila meledak lapan gol dalam 22 aksi liga termasuk jaringan ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Julai 2019.

Penyerang tinggi lampai itu melengkapkan kuota import pasukan Pantai Timur berkenaan selepas sebelum ini KDN mengambil Layt Kharoub dari Palestin dan pemain kelahiran Myanmar, Aung Kaung Mann.

Kehadiran penyerang berpengalaman itu diharap dapat membantu KDN memperbaiki kedudukan liga yang kini menghuni tempat tercorot Liga Super dengan hanya memperoleh tiga mata hasil satu kemenangan selepas sembilan perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram