[VIDEO] Bukan angkara isu gaji, foto tular pemain Kedah kena 'sidai' akibat banjir


  • Podium
  • Sabtu, 21 Sep 2024

Beberapa pemain skuad Sang Kenari dilihat sedang menunggu bas menjelang aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC. — TikTok/@akaktudunghitam03

KEPUTUSAN seri 2-2 dalam aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC pada Jumaat tidak menceritakan kisah sebenar dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC di sebalik tabir.

Meskipun hampir kesemua pemain utama sudah kembali ke dalam skuad, pendedahan daripada Rizal Ghazali menceritakan masalah tunggakan gaji dialami skuad Hijau Kuning masih belum diselesaikan.

Perkara tersebut sudah tentu menjadi bahan bualan penyokong Sang Kenari yang mengharapkan pihak pengurusan kelab dapat mencari jalan penyelesaian segera.

BACA LAGI: Nafi tak bantu Kedah, kepak Kenari desak Radhi Mat Din lepaskan pegangan saham

BACA LAGI: 'Nak boh gol macam mana lagi?', fans Sang Kenari betul-betul 'koyak' persembahan Milos Gordic

Bagaimanapun, situasi menjadi semakin keruh apabila terdapat dakwaan mengatakan masalah kelewatan gaji itu turut dialami kakitangan lain dalam pasukan.

Ini selepas tular sekeping foto memaparkan pemain skuad Sang Kenari 'bersidai' di ruang menunggu sebuah hotel yang difahamkan lokasi penempatan pasukan sebelum aksi menentang Sri Pahang FC.

Perkara itu dimuat naik pengguna TikTok, @akaktudunghitam03 dengan gambar itu membuatkan orang ramai beranggapan pemandu bas KDA FC tidak menerima gaji.

Namun, sebelum isu berkenaan terus diperkatakan, rata-rata penyokong Hijau Kuning segera menepis dakwaan kononnya masalah itu turut dialami staf lain dengan mengatakan kelewatan itu berpunca daripada kejadian banjir di Kedah.

"Musim-musim banjir ni, merata-rata jalan ditutup. Bukan saja-saja bas nak lambat, elok padam sahajalah video ini kerana mengganggu 'periuk nasi' orang lain," kata Yana90.

"Suka mencari 'like' ke awak ni? Musim banjir pun mahu dipertikaikan? Saya saksi nampak bas tu lalu di Alor Setar kelmarin, minta lalu kepada pihak polis kerana jalan ditutup," kata Denne.

460723203_560911396290042_1784829632482560211_n

Kedah membawa pulang satu mata dari laman sendiri pada Jumaat. Facebook/KDA FC

Malah, seorang pengguna aplikasi itu turut mendakwa dirinya merupakan pemandu bas yang dimaksudkan dengan dia menyatakan kelewatan itu disebabkan bencana alam berkenaan.

"Maaf daripada saya, saya memandu semalam (Jumaat). Maaf kerana banjir yang tidak dapat dielakkan. Dua jalan saya cuba lalu untuk cepat. Maaf semua," kata Kanda Damburi.

Berdasarkan perkongsian terkini, beberapa staf pasukan dilaporkan menjadi mangsa isu tunggakan gaji Kedah dengan mereka tidak menerima bayaran untuk beberapa bulan.

Pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar sebelum ini mengesahkan masalah itu sekali lagi menghantui kelab tersebut sambil menegaskan pelbagai usaha dibuat untuk menyelesaikannya.

Skuad Sang Kenari ketika ini berada di tangga ke-10 Liga Super berikutan pemotongan mata yang dikenakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) terhadap mereka atas isu tunggakan gaji. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram