KEDAH Darul Aman (KDA) dan Sri Pahang FC berhasil berkongsi satu mata berharga selepas merekodkan keputusan 2-2 dalam persembahan Liga Super 2024-2025 di Stadium Darul Aman dekat Alor Setar, Kedah pada Jumaat.
Skuad Sang Kenari yang sebelum ini terpalit dengan isu kewangan terlebih dahulu ketinggalan 0-1 hasil jaringan pemain tengah Tok Gajah, Sergio Aguero pada minit ke-52 perlawanan.
Bagaimanapun, pasukan Hijau Kuning berhasil mengikat kedudukan 1-1 enam minit kemudian hasil jaringan Halim Saari selepas menerima umpanan menarik ketua pasukannya, Sony Norde.
BACA LAGI: 'Last jumpa awal bulan hari itu je', Irfan Zakaria masih menanti Kedah lunaskan gaji tertunggak
BACA LAGI: Sudah dapat gaji ke belum? Status ‘Ok la tu 7 bulan’ Rizal Ghazali cetus tanda tanya
Seolah-olah mendapat tonik tambahan, pasukan kendalian Nafuzi Zain menambah jaringan apabila pemain sayapnya, Sukhrob Nurulloev berjaya menjaringkan gol pada minit ke-65 untuk tuan rumah berada di hadapan 2-1.
Hampir terduduk di bumi Darul Aman, Sri Pahang FC kembali menyusun permainan untuk memburu gol penyamaan dan ia berhasil apabila penyerangnya, Kpah Sherman meledak gol kedua pada minit ke-79 selepas menerima hantaran Mykola Ahapov.
Keputusan seri di laman lawan itu jelas tidak menggembirakan penyokong Tok Gajah apabila segelintir penyokong Sri Pahang melihat pasukan tersebut sepatutnya bijak memanfaatkan keadaan semasa Kedah.
Sesiapa yang mengikuti perkembangan bola sepak domestik pasti mengetahui bahawa skuad Hijau Kuning masih bergelut dengan masalah kewangan sehingga dilaporkan beberapa pemain utama memilih untuk memboikot sesi latihan.
Aguero mencatat selaku penjaring pertama pada perlawanan di Darul Aman itu. — Facebook/MFL
Selain itu, media sebelum ini melaporkan sebahagian pemain termasuk skuad bawahan Sang Kenari masih tidak menerima gaji, malah difahamkan potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut 'sangkut' sejak tahun lalu.
"Back to normal routine! Setelah berpesta gol di Temerloh minggu lepas, Sri Pahang kembali kepada rutin asal mereka apabila mencatat seri menentang pasukan penuh masalah, Kedah," kata penyokong, Otai Sukan.
"Dengan Kedah pun boleh seri. Sepatutnya boleh menang dengan Kedah, pemain Kedah tak turun latihan," tambah penyokong Sri Pahang, Azoom Bazuuka.
"Pemain Kedah sudahlah latihan dua hari sahaja, main dengan motivasi yang rendah pula itu," tambah penyokong Tok Gajah, Shamsuri Ismail.
Kesebelasan utama Sri Pahang ketika bertemu Kedah pada Jumaat. — Facebook/KDAFC
Tidak dinafikan skuad kendalian Fandi Ahmad juga sebelum ini dilaporkan mengalami isu tunggakan gaji namun masalah itu lama-kelamaan ia semakin pudar. Berbeza dengan isu kewangan Kedah yang masih menjadi topik hangat.
Dalam pada itu, keputusan berkenaan menyaksikan Sri Pahang ketika ini berada di kedudukan keenam carta liga dengan 11 mata manakala Kedah yang mengumpul sembilan mata di tangga ke-10. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram