KEMELUT pengurusan Kedah Darul Aman (KDA) FC akhirnya menemui kemuncaknya apabila beberapa pemain dilaporkan mahu meninggalkan pasukan itu pada jendela perpindahan kali ini.
Hal itu dapat disaksikan apabila dalam aksi Liga Super baru-baru ini, skuad Sang Kenari hanya dibarisi 'ubi muda' yang masing-masing kurang mendapat peluang bersama pasukan utama.
Langkah berkenaan dibuat sebagai tanda protes untuk memboikot perlawanan dengan harapan pihak pengurusan dapat mencari penyelesaian segera terhadap isu berkenaan.
BACA LAGI: Paulo Josue pecah rekod Fandi Ahmad, fans puji semangat juang skuad muda Kedah
Kalamullah menjadi pemain baharu meninggalkan Kedah. — Facebook/KDA FC
Bagaimanapun, dengan tiada sebarang perkembangan dikongsikan, harapan untuk Kedah kembali ke landasan seperti sukar direalisasikan melihat kepada perkembangan terkini pasukan.
Dua penjaga gol, Kalamullah al-Hafiz dan Fikri Che Soh serta pemain tengah import, Habib Haroon merupakan antara yang terawal berbuat demikian selepas berdepan masalah tunggakan gaji.
Namun, sekiranya isu berkenaan tidak diselesaikan, lebih ramai sudah tentu mengambil langkah tersebut demi memastikan kebajikan masing-masing terjaga.
Melihat kepada skuad Sang Kenari ketika ini, terdapat tiga calon yang akan mengangkat kaki skuad Sang Kenari pada masa terdekat dengan adanya kelab bersedia menyambar khidmatnya.
1. Rizal Ghazali (Sabah FC)
Kepulangan Rizal Ghazali ke skuad Sang Kenari pada awal musim 2024/25 mencetuskan kehangatan apabila penyokong cukup berpuas hati atas tindakan pantas pihak pengurusan Kedah untuk membawanya pulang.
Manakan tidak, dia yang sudah bertahun-tahun beraksi untuk kelab itu memilih untuk menyertai Sabah FC pada 2022 bersama seorang lagi legenda Kedah, Baddrol Bakhtiar yang kini sudah bersara.
Kesetiaan Rizal buat skuad Sang Kenari sekali lagi digugat. — Facebook/KDA FC
Tetapi, masalah dalaman dialami skuad Sang Kenari menyaksikan bek kanan tersebut tidak dapat beraksi dengan baik selain isu kecederaan yang sekali lagi menghantuinya.
Jadi, sekiranya KDA FC gagal menyelesaikan kemelut dalaman, Rizal sudah tentu akan memilih untuk meninggalkan kelab berkenaan dalam masa terdekat.
Sabah FC dilihat sebagai destinasi terbaik memandangkan mereka masih belum memiliki pemain pertahanan kanan yang berkualiti dengan Jafri Firdaus Chew sering diturunkan di posisi berkenaan.
2. Fadzrul Danel (Kuching City FC)
Nama Fazrul Danel pernah memuncak satu ketika dahulu apabila dia menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan akhir Piala FA 2019 untuk memastikan kemenangan milik skuad Sang Kenari.
Bagaimanapun, sejak momen tersebut, pemain itu kurang diingati kerana Kedah tidak dapat mengenal pasti posisi terbaiknya di bahagian tengah pasukan.
Fazrul (kiri) sukar mendapat tempat dalam skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Sekiranya situasi itu berterusan, terdapat kemungkinan Fadzrul sendiri akan meninggalkan pasukan berkenaan dengan isu dalaman hanya akan meningkatkan lagi kemahuan tersebut.
Peluang untuk kembali berganding di bawah Aidil Sharin Sahak di Kuching City FC merupakan pilihan terbaik buat pemain berusia 26 tahun itu untuk kembali ke tahap terbaik.
Tetapi, sekiranya skuad The Cats berasakan tiada tempat terbaik buatnya, pemain tengah terbabit sudah tentu terpaksa mencari destinasi baharu demi kelangsungan karier.
3. Ariff Farhan (Terengganu FC)
Sekiranya penyokong Hijau Kuning ditanya mengenai pemain terbaik musim ini, nama Ariff Farhan Md Isa pasti meniti bibir masing-masing selepas bek kiri itu beraksi cukup baik.
Meskipun tidak membawa sebarang kelainan terhadap jentera serangan pasukan, pemain berusia 28 tahun berkenaan memiliki kebolehan untuk mengasak lawan menggunakan fizikal tersendirinya.
Ariff merupakan antara pemain terbaik skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Ini merupakan satu elemen permainan yang amat penting bagi sebuah kelab Liga Super yang mahu mengukuhkan barisan pertahanan di bahagian sayap tanpa memerlukan bantuan dalam mencari jaringan.
Terengganu FC merupakan destinasi terbaik kerana pasukan berkenaan memerlukan seseorang yang konsisten di posisi berkenaan tanpa mengalami isu kecederaan.
Walaupun sudah memiliki Alif Zakaria dan Ubaidullah Shamsul Fazili, kehadiran pemain berpengalaman pasti dapat membawa persaingan sihat sepanjang musim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram