'Nak boh gol macam mana lagi?', fans Sang Kenari betul-betul 'koyak' persembahan Milos Gordic


  • Podium
  • Jumaat, 20 Sep 2024

Perlawanan KDA FC menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat menghabiskan separuh masa pertama dengan keputusan seri. — Sri Pahang FC

HUJAN renyai menyaksikan perlawanan Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat berkesudahan seri 2-2..

Skuad Sang Kenari hadir dengan pasukan terbaik berbanding aksi yang lalu dengan hampir kesemua pemain utama sudah kembali ke dalam kesebelasan utama.

Ini sedikit melegakan selepas mereka tewas teruk dalam aksi sebelum ini menentang Kuala Lumpur City hasil kehadiran lambakan pemain muda.

BACA LAGI: Nafi tak bantu Kedah, kepak Kenari desak Radhi Mat Din lepaskan pegangan saham

BACA LAGI: 'Lihat, siapa yang kembali',lepas tinggalkan JDT, kelab England kembali sambut Forestieri

460808505_560905772957271_5577364285951654661_n

Keputusan seri perlawanan antara KDA FC dan Sri Pahang FC. — Facebook KDA FC

Dalam separuh masa pertama, KDA menunjukkan semangatnya ketika menentang skuad Sri Pahang di lamannya.

Selepas beberapa kali percubaan, kedua-dua pasukan dilihat gagal membuat sebarang jaringan gol dengan Kedah kelihatan lebih berani di hadapan pintu gol.

Serangan yang diketuai Milos Gordic dan Syafiq Ahmad kelihatan sedikit buntu untuk menewaskan penjaga gol Pahang, Azfar Arif yang bertindak cemerlang.

Salah satu tepisan terbaik dibuat pemain itu adalah ketika menggagalkan percubaan tepat dibuat Gordic yang kemudiannya berjaya ditangkap kemas di dakapannya.

Beralih pula ke separuh masa kedua yang menyaksikan aksi lebih agresif daripada kedua-dua pasukan pada malam ini.

Pada minit ke-51, Sri Pahang berjaya menghasilkan gol pertama hasil jaringan dilakukan oleh Sergio Aguero.

Tidak berdiam diri melihat kejayaan skuad itu, pemain tengah KDA FC, Halim Saari pantas membuat gol pertama selang beberapa minit kemudian.

Tindakan itu sekali gus membantu skuad tersebut menyamakan kedudukan 1-1 dalam ruang petak penalti pada minit ke-57.

Perlawanan diteruskan lagi dengan kelincahan pasukan Sri Pahang apabila penyerangnya, Kpah Sean Sherman berhasil menjaringkan gol kedua buat skuad itu.

Namun, KDA FC sekali lagi tidak berdiam diri dan terus mengikat kedudukan dengan jaringan gol kedua oleh Sukhrob Nurulloev pada minit ke-65.

Skuad Sang Kenari bagaimanapun cuba untuk menambah jaringan tetapi gagal di saat-saat akhir meskipun diberi masa tambahan dan sepakan percuma.

Rata-rata warganet pula mencadangkan agar skuad Sang Kenari membawa masuk Ebenezer Assifuah menggantikan Milos Gordic untuk mempercepatkan lagi proses KDA membuat gol.

"Nak boh gol macamana lagi? Aduh letih tunggu," kata Hafiz.

"Bawa masuk Assifuah ganti Gordic mesti game akan jadi laju," komen Airiel Mifzal.

"Masa kedua nampak lebih agresif selepas kena gol pertama, apa pun Alhamdulillah, teruskan momentum Kedah," komen Baim Aydaa.

"Boleh tukar dah kot Milos tu, jemu dah setiap perlawanan macam tak ada function je," ulas Zulhakimi Nordin.

Selepas ini, KDA FC akan menentang Terengganu FC di stadium sama pada 19 Oktober nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram