SLOT ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite mahupun ACL2 merupakan satu cita-cita hebat buat setiap pasukan Liga Super dengan ia memberi peluang bagi mereka membina reputasi lebih megah.
Namun, berdasarkan kuota ditetapkan konfederasi berkenaan, hanya dua pasukan tempatan berpeluang beraksi dalam kejohanan peringkat Asia itu setiap tahun.
Jadi, persaingan sudah tentu cukup hebat dapat dirasakan setiap musim dengan kedudukan dua teratas atau kejayaan di Piala FA atau Piala Malaysia merupakan cara untuk melayakkan diri.
BACA LAGI: 'JDT pasukan terbaik', Hector Bidoglio taruh harapan tinggi, yakin tundukkan kelab China
BACA LAGI: [VIDEO] Kuching City makin 'mengganas', bintang JDT sah perkuat The Cats
ACL2 diperkenalkan musim ini bagi menggantikan Piala AFC.
Musim ini, dua kelab teratas Liga Super 2023, JDT dan Selangor FC menempah slot ke ACL Elite dan ACL2 dengan ia pasti menawarkan cabaran hebat buat mereka.
Pemain yang tidak berpeluang beraksi dalam pertandingan anjuran AFC itu sudah tentu sedikit kecewa kerana masing-masing hanya mampu menonton perlawanan di kaca televisyen.
Malah, ada dalam kalangan import Liga Super yang pernah beraksi di pentas berkenaan bersama kelab sebelum ini, namun peluang terhad menyebabkan mereka kempunan untuk mempamerkan taring masing-masing di ACL Elite mahupun ACL2.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga import dalam arena bola sepak negara yang berpengalaman dalam kejohanan itu, tetapi tidak berpeluang sejak menyertai pasukan masing-masing.
1. Ko Kwang-min (Sabah FC)
Musim lalu, Sabah FC membuat pelaburan besar terhadap pasukan mereka demi meningkatkan kualiti skuad menjelang kempen Piala AFC dengan beberapa pemain baharu dibawa masuk.
Salah seorang daripadanya merupakan Ko Kwang-min yang merupakan rakan senegara kepada kapten pasukan, Park Tae-su dengan kedua-dua mereka berasal dari Korea Selatan.
Kemasukannya membawa keghairahan dalam kalangan peminat skuad Sang Badak yang cukup tertarik dengan kebolehan pemain pertahanan sayap tersebut dengan kelasakannya amat penting buat pasukan.
Kwang-min merupakan tonggak pertahanan skuad Sang Badak. — Facebook/Sabah FC
Namun, apa yang lebih menarik mengenai pemain berusia 35 itu adalah mengenai pengalamannya beraksi di peringkat tertinggi sepanjang beberapa tahun di negara kelahirannya.
Berdasarkan rekod, Kwang-min yang beraksi di FC Seoul untuk kira-kira 11 tahun pernah bermain dalam ACL sebanyak 35 penampilan dapat dicatatkannya sepanjang tempoh berkenaan.
Pencapaian terbaik baginya sepanjang beraksi dalam pertandingan itu adalah pada 2016 ketika kelab Korea Selatan itu mara ke pusingan separuh akhir, namun disingkirkan Jeonbuk Hyundai Motor.
2. Sukhrob Nurullaev (KDA FC)
Meskipun tidak memiliki sumber kewangan kukuh musim ini, Kedah Darul Aman (KDA) FC masih melakukan rombakan besar-besaran pada awal musim dengan membawa masuk beberapa wajah baharu.
Pemain sayap kelahiran Uzbekistan, Sukhrob Nurullaev merupakan salah seorang rekrut pasukan dengan kemasukannya menaikkan semangat penyokong Hijau Kuning.
Ini kerana pemain sayap itu pernah beraksi di ACL sepanjang bertahun-tahun mewakili kelab sekitar negara Asia Tengah tersebut, terutamanya buat FC Nasaf Qarshi.
Sukhrob gagal mengulangi rentak bersama skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Malah, pada kempen musim lalu, penyerang sayap terbabit diturunkan dalam kesemua aksi di peringkat kumpulan dengan dua gol berjaya dijaringkannya.
Bagaimanapun, prestasi itu gagal diulangi buat skuad Sang Kenari dengan dia masih belum membuka akaun jaringan buat kelab Utara tanah air berkenaan.
Tetapi, ketumpulan di hadapan pintu gol itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dielak memandangkan Kedah musim ini berdepan masalah pengurusan cukup meruncingkan.
3. Nurillo Tukhtasinov (Terengganu FC)
Pemain tengah Terengganu FC, Nurillo Tukhtasinov tidak berdepan sebarang masalah untuk menyesuaikan diri buat skuad Sang Penyu sejak menyertai mereka pada pertengahan musim 2023.
Kebolehannya untuk mencipta peluang merupakan salah satu kunci utama yang membolehkan kelab berkenaan bersaing dengan pasukan lebih berkualiti, seperti Selangor FC dan JDT.
Tetapi, sehingga kini, pemain berusia 27 tahun itu seperti sukar untuk membantu mereka layak ke pentas ACL selepas gagal berbuat demikian dalam Liga Super musim lalu.
Nurillo terus cemerlang buat skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Ini sudah tentu mengundang kekecewaan buatnya memandangkan dia pernah beraksi dalam pertandingan tersebut semasa beraksi buat pasukan Uzbekistan, Bunyodkor Tashknet.
Meskipun tidak membawa sebarang sumbangan di hadapan pintu gol, kepercayaan diberikan menyaksikan Nurillo diturunkan dalam lima aksi peringkat kumpulan musim lalu.
Jadi, sekiranya dia merindui suasana berentap di ACL, perubahan perlu dibawa ke Terengganu FC yang berdepan situasi samar untuk layak ke pertandingan itu musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram